MB Kelantan dituduh dayus kerana tidak berani umum sendiri tutup gerai

 

ARIF BASHARUDIN

Setelah tular pengumuman tergempar pada Sabtu dari kerajaan Pas Kelantan yang mengharamkan operasi gerai jualan tepi jalan berkuat-kuasa hari ini (Ahad), rakyat mengecam MB Kelantan Datuk Ahmad Yakob sebagai dayus kerana tidak berani mengumumkan sendiri perkara itu.

Ini kerana, segala tindakan kerajaan negeri yang dilihat menyusahkan rakyat tidak pernah diumumkan sendiri oleh menteri besar yang juga Adun Pasir Pekan itu.

Dari awal lagi, segala pengumuman dari kerajaan berkaitan dengan sekatan untuk rakyat dibuat oleh Timbalan Menteri Besar Datuk Mohamad Amar atau Exco Dr Izani Hussin.

Dan yang terkini, pengumuman penutupan gerai tepi jalan yang selama ini menjadi punca rezeki rakyat Kelantan yang terkenal dengan suka berniaga itu dibuat oleh pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Kelantan, tanpa menyatakan siapakan orang yang bertanggungjawab itu.

Ia dibuat ketika pasaraya besar termasuk KB Mall dan Lotus Kota Bharu yang diistiharkan oleh HIDE sebagai kawasan merah, masih dibuka dan dikunjungi oleh orang ramai.

Dalam suatu hantaran yang dibuat oleh seorang pengguna Facebook Ezwan Shah Nordin, jelas kecaman itu dibuat atas alasan kegagalan, tidak berani bertanggungjawab dan ketidakcekapan Ahmad Yakob dalam mentadbir kerajaan negeri.

Menurut beliau, sejak dari perisytiharan PKP dilaksanakan di Kelantan, tiada sebarang pengumuman rasmi dibuat oleh MB Kelantan berhubung perkara itu dan hanya diserahkan bulat-bulat kepada Adun Kijang, Dr Izani Hussin.

Kesan dari sikap MB Kelantan itu akhirnya menyusahkan rakyat Kelantan terutama kepada golongan peniaga yang terkesan dengan pembatalan bazar Ramadan dan yang terbaru pengharaman gerai jualan tepi jalan, kata beliau.

Kritikan pedas yang dibuat oleh pengguna Facebook juga dapat dibaca dalam ruangan komen pada hantaran yang dimuat naik dalam laman sosial rasmi MB Kelantan itu, menggambarkan tahap kemarahan rakyat kepada kegagalan urustadbir kerajaan Kelantan yang sudah berpuluh tahun diperintah oleh Pas selama ini.

Menurut Ezwan, di awal pengumuman kerajaan negeri mengenai PKPB kepada PKP, beliau tidak mengkritik mahupun menbangkang kerana umum tahu isu Covid -19 di Kelantan semakin hari semakin parah.

“Namun sejak kerajaan negeri Kelantan mengumumkan PKP, saya menunggu daripada minggu pertama sehingga minggu kedua pengumuman rasmi daripada Menteri Besar Kelantan YB Datuk Ahmad Yakob namun tiada.

“YB begitu dayus kerana memberi laluan kepada YB ADUN Kijang YB Dr Izani Husin untuk membuat pengumuman berkaitan PKP. Dan memberi seribu satu masalah kepada rakyat Kelantan yang berharapkan hasil jualan bazar.

“Kesannya amat dirasai oleh penjaja tepi jalan malahan ada juga dengan isu saman kepada penjaja RM 50k dan ADUN Chempaka dan Panchor mendiamkan diri berkaitan isu tersebut. Ramadhan bukan alasan untuk tidak ambil tahu pasal rakyat,” tulis beliau lagi.

Kata Ezwan, beliau menunggu mekanisme yang terbaik daripada Adun Pasir Pekan itu untuk mengurangkan kes kebolehjangkitan Covid-19 jika adanya aliran trafik balik ke Kelantan.

“Jika pasar raya besar masih beroperasi dengan rancak dengan 2 pasar raya tersenarai sebagai pusat penyebaran kes melalui HIDE. Jika solat di masjid masih berlaku. Jika di pejabat masih ramai ke pejabat walaupun boleh Work For Home.

“Maka saya menunggu langkap proaktif daripada kerajaan negeri Kelantan untuk memastikan kes kebolehjangkitan Covid-19 dapat diturunkan secara drastik ataupun peringkat-peringkat.

“Jika tutup bazar dan gerai kes semakin meningkat, saranan saya Letak Jawatan YB,” kata beliau lagi mengulas penutupan gerai tepi jalan yang selama ini menjadi sumber rezeki utama rakyat Kelantan.