PH TIDAK PERLU PANIK DENGAN KERJASAMA UMNO – PAS













Melihat kepada reaksi kebanyakan pemimpin PH berhubung kerjasama rasmi yang termetrai antara UMNO dan Pas, dapat dirasa seperti ada nada panik daripada mereka.

Pengerusi PH, Tun Mahathir Mohamad mempersoalkan hubungan itu dengan mengatakan apakah Pas sudah menganggap UMNO sudah Islam berikutan pernah mengkafirkan parti Melayu itu sebelum ini?


Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng melihat kerjasama dua parti Melayu itu sebagai bertujuan memerangi bukan Melayu, meskipun kemudian mengubah perkataan memerangi itu kepada menyasarkan berikutan kecaman pelbagai pihak yang kurang senang dengan reaksinya yang dianggap keterlaluan.
Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali turut terkejut bagaimana Pas boleh bekerjasama dengan UMNO yang merupakan sebuah parti yang disifatkannya sudah rosak.

Pengarah Komunikasi Amanah, Khalid Samad melihat kerjasama UMNO dan Pas ibarat kerjasama antara “perompak dan penipu”
Liew Chin Tong, Ketua Strategik DAP mengibaratkan kerjasama UMNO – Pas seperti strategi “bumi hangus” yang mana percantuman dua parti Melayu itu bersama bantuan MCA dan MIC bersamanya adalah bertujuan menghapuskan semuanya untuk menang dalam apa jua keadaan.


Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Nga Kor Ming berkata, kerjasama UMNO dan Pas akan memecah-belahkan rakyat serta menjadikan negara ini seperti Taliban jika gabungan itu berjaya memperolehi kuasa mentadbir negara.
Beberapa pemimpin PH lain yang mengulas kerjasama itu juga turut memberi reaksi dengan nada yang hampir serupa.
Hanya Anwar Ibrahim yang kelihatan tidak panik dengan mengatakan bukan semua orang Melayu menyokong UMNO atau Pas, selain menegaskan kerjasama itu mesti dilawan dengan pemulihan ekonomi serta kepedulian yang lebih tinggi terhadap nasib rakyat.

Mengapa PH perlu panik dan memberi reaksi yang agak keterlaluan berhubung kerjasama UMNO – Pas itu.


Bukankah sebelum PRU14 lalu, PH juga mengecam Pas kerana memilih bersendirian bersama kuasa ketiga Gagasan Sejahteranya lantaran beranggapan jika parti itu bekerjasama secara langsung dengan UMNO yang menyebabkan hanya pertandingan satu lawan satu yang berlaku, maka BN akan lebih mudah dikalahkan?
Tetapi, dengan kesatuan kuasa rakyat yang mahukan perubahan, melalui pertandingan tiga penjuru pun UMNO tetap tumbang juga akhirnya.

Bermakna, bukan saja PH boleh menang sama ada berlaku pertandingan satu lawan satu atau tiga penjuru, yang penting kerjasama UMNO dan Pas sekarang ini adalah merupakan keinginan PH sendiri.

Kenapakah setelah memperolehi kuasa sebagai kerajaan, PH tiba-tiba panik dan tidak setuju dengan kerjasama UMNO dan Pas itu?
Tidakkah dengan pertandingan dua penjuru yang akan berlaku nanti, ditambah dengan kedudukan PH sebagai kerajaan kini, UMNO dan Pas yang sudah bersatu akan lebih mudah lagi untuk dihanguskan dalam pilihanraya akan datang?

Cabaran besar bagi PH sebenarnya bukanlah kerana wujudnya kerjasama UMNO dengan Pas atau berapa banyak parti yang bergabung untuk berlawan dengannya, tetapi sejauh manakah PH mampu menjadi kerajaan yang lebih baik, menunaikan janji dan memberi kesejahteraan kepada rakyat secara keseluruhannya.
Peringatan Anwar sebagai bakal Perdana Menteri ke-8 yang mahu PH segera memberi penekanan kepada aspek pemulihan ekonomi dan kepedulian kepada rakyat adalah sesuatu yang tepat dan tidak harus dipandang ringan oleh semua.
 
Jika rakyat selesa dengan kerajaan yang ada dan semua isu dapat ditangani dengan baik, tiada sebab sama sekali untuk mereka menukar kerajaan apabila pilihanraya diadakan.

Mudah kata, berbaki tempoh 4 tahun dua bulan sebelum pilihanraya umum akan datang, wujudnya kerjasama UMNO dan Pas ini haruslah dijadikan cermin oleh PH untuk mereka tampil lebih baik, lebih bergaya dan menepati janji-janji yang pernah dibuatnya sebelum ini.

Jangan panik dan segeralah bangun untuk buat kerja dengan lebih baik demi rakyat. Bersikap panik dan menyerang kerjasama itu hanya menunjukkan PH tidak sedia menjadi lebih baik atau tidak ingin menunaikan segala janji-janji kepada rakyat.
Kalau Tun Mahathir boleh bekerjasama dengan DAP dan kembali mencari Anwar yang pernah dipecat dan dipenjarakannya, apa hairannya Pas dan UMNO boleh berbaik juga? (Shahbudindotcom 09/03/2019)

No comments: