UMNO-PAS tidak suka orang Melayu dapat rumah PPR?


Ada kira-kira 400 pemohon menunggu untuk mendapat rumah flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Manggis di Pulau Pinang. Majoriti adalah orang Melayu. Ramai yang telah menanti giliran mereka sejak tujuh tahun lamanya!

Impian sebahagian kecil daripada mereka bakal dicapai apabila ada kekosongan bagi 22 unit rumah PPR tersebut. Namun, kegembiraan mereka dicemari politik perkauman UMNO.

Penghuni di 22 unit PPR tersebut telah diminta pindah kerana mereka telah melanggar syarat-syarat kelayakan. Antara syarat tersebut adalah:
  • Tidak boleh berkahwin dengan warga asing;
  • Pendapatan isi keluarga tidak boleh melebihi RM1,500 sebulan; dan
  • Tidak boleh menyewakan rumah berkenaan kepada orang lain.

Setelah melanggar syarat dan diberi tempoh selama 365 hari atau setahun, mereka tetap enggan pindah. Apabila tiba hari mereka perlu mengosongkannya, pihak-pihak tertentu telah menjadikan mereka sebagai “mangsa” pengusiran, kononnya.

Hujah pimpinan UMNO Pulau Pinang yang disokong oleh PAS adalah kononnya kerajaan negeri bertindak zalim menghalau penghuni Melayu. Ini fitnah perkauman.

Apa yang mereka tidak ceritakan adalah penghuni tersebut telah melanggar syarat, termasuk yang sudah mewah hidup sehingga mampu melancong ke luar negara.

Juga mereka tidak ceritakan bahawa penghuni tersebut membuat untung dengan menyewakan unit kepada orang lain. Malah, lapan penyewa didapati telah mempunyai rumah sendiri, namun menyewakan unit PPR mereka kepada orang lain.

Ada juga yang tidak mahu membayar wang sewa sejak 1990, iaitu sejak hampir 30 tahun menetap di PPR berkenaan! Sedangkan sewanya hanya RM100 sebulan.

Paling penting, pejuang kaum yang memanipulasi isu itu menyembunyikan hakikat bahawa yang bakal masuk menggantikan penghuni yang melanggar syarat-syarat adalah orang Melayu juga.

Jadi, Melayu yang sudah tidak layak akan digantikan dengan Melayu yang layak. Apa masalahnya? Bukankah ini mengikut peraturan dan undang-undang?

Mengapa mereka sanggup menyembunyikan kebenaran? Apakah kerana politik kaum mereka sanggup melihat Melayu yang layak dipinggirkan, dan sebaliknya membela orang yang menyalahgunakan keistimewaan?

Kerajaan Negeri Pulau Pinang prihatin dengan warga miskin, maka projek PPR diwujudkan untuk membantu mereka mendapatkan tempat berteduh sementara pendapatan mereka kembali stabil dan pulih. Namun hasrat murni ini telah disalah guna sesetengah pihak.

Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow hari ini dilaporkan berkata penghuni yang diminta mengosongkan rumah mereka sebenarnya akan disediakan kemudahan lain.

Mengapa ini didiamkan oleh para penyokong UMNO dan PAS? Menurut Chow,  golongan penghasut tersebut telah mengeruhkan keadaan, sekali gus menjejaskan usaha kerajaan negeri untuk membantu orang Melayu.

Dalam kacau-bilau perkauman yang dimainkan UMNO-PAS dalam isu ini – seperti kucing nampak ikan, menunggu peluang untuk membaham –  persoalan yang penting kini – Adakah UMNO-PAS sebenarnya tidak suka orang Melayu dapat rumah PPR?


No comments: