Sekretariat BERSIH 2.0 Mengadap YPDA Sekarang

KUALA LUMPUR 5 JULAI : Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih & Adil, Datuk Ambiga Sreenavasan ditemani Sasaterawan Negara, A. Samad Said dan Presiden Jamaah Islah Malaysia (JIM) Zaid Kamaruddin sebentar tadi memasuki Istana Negara, bagi mengadap Yang di- Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Pertemuan itu adalah bagi membincangkan isu penganjuran himpunan aman BERSIH 2.0 yang dijadulkan Sabtu ini.

Menurut sumber yang rapat dengan pihak penganjur, tidak ada ahli politik yang akan menyertai pertemuan berkenaan, lantaran ia tidak terlibat dengan penganjuran himpunan rakyat tersebut.

Ambiga, A. Samad dan Zaid sebelum itu dilihat menunggu di pondok pengawal sebelum dibenarkan masuk kira- kira dua petang tadi.

Ketiga- tiga mereka enggan memberikan apa- apa kenyataan bersabit pertemuan itu.

Kira-kira 15 anggota polis bertugas mengawal keselamatan di pintu masuk Istana negara.

Ambiga sebelum ini menyatakan hasratnya untuk mengadap baginda sultan untuk merungkai permasalah pokok yang hadapi rakyat yang hanya mahu diadakan reformasi dalam sistem pilihan raya di negara ini.

Ambiga juga menyatakan kesediaan seketariat BERSIH 2.0 untuk membatalkan himpunan aman itu jika itu yang dititahkan YDPA dengan jaminan hak rakyat terbela.

Tuanku Mizan Ahad lalu bertitah agar penganjuran himpunan BERSIH 2.0 dipertimbangkan semula agar tiada perkara yang tidak diingini berlaku.

Baginda juga menitahkan agar kerajaan pemerintah pimpinan Perdana Menteri Najib Razak menunaikan segala amanah rakyat dengan adil dan mengembalikan kepercayaan rakyat terhadap kerajaan serta mengelak daripada dimusuhi rakyat atas apa jua alasan pun.


[Lagi laporan menyusul]