'MB Kedah mendukacitakan rakyat' - Mahfuz






Menteri Besar (MB) Kedah Datuk Seri Sanusi Md Nor dianggap memalukan rakyat negeri itu dengan perlakuannya mempersenda Sultan Selangor dalam ceramah baru baru ini.


Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah, Datuk Mahfuz Omar berkata demikian dalam majlis Jelajah Perpaduan Madani dan Pelancaran Jentera Perpaduan Kedah di Guar Chempedak, malam tadi.


"Saya berasa malu bagi anak negeri Kedah, kami memiliki MB yang sangat mendukacitakan kami.


"Saya sedih kita menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Ogos nanti, kemudian menjelang 66 tahun kemerdekaan negara. Kemerdekaan yang dibentuk atas nama berbilang bangsa perpaduan negara kita


"Kita membentuk Perlembagaan negara pada 1956 - 1957 menjadi Perlembagaan rasmi yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan


"Kedua, persoalan kesetiaan kita kepada raja dan negara. Tetapi hari ini selepas 66 tahun merdeka ada pula manusia sedang berusaha merobek Perlembagaan negara," katanya.


Menurut Mahfuz, raja raja Melayu telah diletakkan di tempat istimewa dalam Perlembagaan negara namun setelah 6 dekad merdeka ada pula pemimpin cuba mempersenda sultan


"Sanggup menghina Ke Bawah Duli Sultan Selangor. Bayangkan Sultan Selangor baru balik dari menunaikan fardu haji yang sepatutnya disambut, hatta Sanusi pemimpin Kedah pergi ke Selangor. Sepatutnya dia pergi mengambil barakah dari kepulangan Sultan Selangor tetapi dia pergi dia hina Sultan Selangor, dihina pula ciptaan Allah ke atas MB Selangor.


"Soal berapa inci (ketinggian MB Selangor) ini anugerah Allah, pemberian Allah, bukan kehendak manusia tetapi inilah kita berhadapan dengan seorang MB yang memalukan rakyat negeri Kedah," katanya lagi.


Sekarang zaman idea lawan idea, pembangkang miskin idea - Fadhlina





 Oleh: Noraini Nordin


Ketua Wanita KEADILAN Pusat, Fadhlina Sidek menyelar sikap pembangkang di Pulau Pinang yang asyik memainkan isu azan setiap kali tiba musim pilihanraya.


Kata Fadhlina dalam forum terbitan Media Perpaduan baru baru ini, isu azan kononnya tidak boleh dikumandangkan di Pulau Pinang biar pun direkayasa oleh pembangkang, namun mereka masih cuba 'mencuci otak' sebilangan orang Melayu mengunakan isu lapuk tersebut.


Sambil menyifatkan dakwaan itu sebagai fitnah, beliau menyoal bagaimanakah rakyat Pulau Pinang sembahyang sekiranya tiada azan dikumandangkan?


"Setiap kali pilihanraya, isu inilah yang sentiasa dimainkan.


"Azan sudah tentu ada pada setiap kali masuk waktu Zohor, Asar, Maghrib, Isyak dan Subuh.


"Tetapi dengan mengulang-ulang isu azan itu, ia hanya menunjukkan pihak pembangkang khususnya di Pulau Pinang ini miskin idea dan miskin dalam berkempen," tegasnya yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal.


Menurut Fadhlina, sekarang adalah zaman idea lawan idea, bukan berlawan tentang azan.


"Kalau itu saja isu yang mereka mainkan, apa level mereka itu?" soalnya.


Beliau berhujah demikian dalam program Bicara Rakyat - Malaysia Di ambang PRN 2023 anjuaran Media Perpaduan pada 12 Julai lalu.


Program yang turut mengundang Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said di Auditorium UMNO, WTC, Kuala Lumpur.


Oleh itu, tanggapan atau tuduhan bahawa kononnya Fadhlina mempertikaikan azan sebagaimana diviral dalam poster-poster yang kini tersebar di media sosial adalah tidak benar sama sekali.


Tiada sepatah kata pun diungkapan Fadhlina mempertikaikan azan dalam forum tersebut, tetapi yang dipertikaikannya hanyalah pihak pembangkang yang tidak henti-henti memainkan cerita tidak benar kononnya azan tidak boleh dikumandangkan di Pulau Pinang.


Fadhlina yang juga Menteri Pendidikan dalam hal itu berkata, dengan sekadar mampu memainkan isu azan, ia menunjukkan pembangkang tidak mampu berbahas isu berkaitan polisi, kebajikan dan ekonomi untuk kepentingan rakyat negeri tersebut.


"Sepatutnya di dalam Dewan Undangan Negeri atau di Parlimen, isu yang menjadi keutamaan ialah berkaitan polisi dan untuk kepentingan rakyat,” tambahnya lagi.


Dalam hal berkaitan, Fadhlina juga mengingatkan bahawa apa jua asas yang diangkat oleh kerajaan, selain ia selari dengan peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan, tidak ada isu sama sekali terkait dengan ancaman kepada kedudukan Islam di negara ini.


Oleh itu, tegas beliau, sama sekali tidak betul gambaran kononnya kerajaan yang ada ini tidak cukup Islam hanya semata-mata kerana mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.


Kata beliau, hanya pemimpin Melayu yang bangsat saja yang tidak pandai mempertahankan Melayu, Islam dan Perlembagaan Persekutuan.