Nazri Hamdan
Lima perkara yang paling menarik dalam Belanjawan 2027 pada saya yang patut diberi perhatian:
——-
Pertama; cara kerajaan cuba mengimbangi bantuan rakyat, kenaikan pendapatan dan disiplin fiskal.
Jumlah belanjawan RM459.8 bilion, dengan RM376.8 bilion untuk perbelanjaan mengurus dan RM83 bilion untuk pembangunan.
Hasil pula diunjurkan RM380.8 bilion, jadi secara mudah ada jurang kira-kira RM79 bilion yang perlu dibiayai melalui pinjaman dan sumber lain.
Sasaran defisit 3.3% daripada KDNK menunjukkan kerajaan masih mahu mengecilkan defisit, walaupun belanja naik 3.6%.
Kesan rangsangan kepada ekonomi bergantung pada sama ada wang itu benar-benar menghasilkan perkhidmatan dan projek yang produktif.
——-
Kedua, kenaikan gaji minimum daripada RM1,700 kepada RM2,000 mulai Jun 2027 ialah kenaikan RM300, atau kira-kira 17.6%.
Kalau sebuah syarikat ada 10 pekerja yang semuanya bergaji minimum, kos gaji kasar tambahannya sekitar RM3,000 sebulan atau RM36,000 setahun, belum termasuk caruman majikan.
Pekerja pula mendapat tambahan kasar RM3,600 setahun seorang.
Ini boleh menguatkan perbelanjaan isi rumah, tetapi syarikat perlu ada ruang untuk menampung kos itu tanpa menaikkan harga atau mengurangkan pengambilan pekerja.
Pengecualian PMKS dengan hasil jualan bawah RM50 juta memberi ruang penyesuaian kepada sebahagian perniagaan.
Sementara tu gaji lantai RM2,500 untuk pekerja separa mahir dan graduan cuba menangani isu gaji yang tidak sepadan dengan kemahiran.
——-
Ketiga, pakej cukai individu memberi tumpuan besar kepada M40.
Had pelepasan asas naik daripada RM9,000 kepada RM12,000, dan kadar cukai turun satu mata peratusan bagi banjaran pendapatan bercukai RM70,000 hingga RM150,000.
Sebagai simulasi mudah, tambahan pelepasan RM3,000 boleh menjimatkan kira-kira RM540 setahun bagi pembayar cukai pada kadar marginal 18%, sebelum mengambil kira potongan kadar cukai yang lain.
Jadi angka kerajaan sehingga RM1,600 lebihan pendapatan boleh guna ialah had maksimum yang diumumkan, bukannya jumlah yang semua pembayar cukai akan terima.
Langkah ini boleh menambah sedikit wang untuk dibelanjakan, tetapi kesannya berbeza mengikut pendapatan dan pelepasan yang dituntut.
——-
Keempat, STR dan SARA menerima RM16 bilion, naik daripada RM15 bilion pada 2026.
Sembilan juta penerima STR boleh mendapat SARA sehingga RM150 sebulan, bersamaan maksimum RM1,800 setahun bagi penerima yang layak pada kadar itu.
Bukan penerima STR berumur 18 tahun ke atas pula diumumkan menerima RM100 sebanyak dua kali.
Katakanlah penerima yang mendapat kadar maksimum RM150 sebulan mempunyai tambahan kuasa beli sehingga RM1,800 setahun, manakala kumpulan bukan penerima STR menerima RM200 keseluruhan.
Bantuan bersasar begini berpotensi cepat masuk ke perbelanjaan keperluan, tetapi kesan jangka panjangnya bergantung pada sama ada pendapatan dan pekerjaan turut meningkat.
——-
Kelima, peruntukan wilayah dan infrastruktur boleh menentukan sama ada pertumbuhan sampai ke kawasan di luar pusat ekonomi utama.
Sabah menerima RM18.7 bilion dan Sarawak RM16.2 bilion, termasuk RM3.3 bilion untuk jaringan jalan raya Borneo.
Johor Bahru pula mendapat persetujuan pelaksanaan e-ART menjelang pembukaan RTS Link, sementara RM100 juta disediakan untuk kolam takungan dan penyelenggaraan sungai di Lembah Klang.
Projek seperti ini boleh membuka kerja kepada kontraktor dan memudahkan pergerakan pekerja serta barangan.
Akan tetapi manfaat ekonominya hanya terasa jika projek dilaksanakan mengikut jadual dan menyelesaikan masalah sebenar, seperti kesesakan dan banjir.
——-
Secara keseluruhan, Belanjawan 2027 menunjukkan kerajaan cuba merangsang ekonomi sambil menjaga kedudukan fiskal.
Peruntukan RM459.8 bilion merangkumi RM83 bilion untuk pembangunan, dengan sasaran defisit dikurangkan kepada 3.3% daripada KDNK.
Pada masa sama, kerajaan mahu tambah pendapatan melalui gaji minimum RM2,000, ringankan beban M40 melalui pelepasan cukai dan salurkan RM16 bilion kepada STR serta SARA.
Jadi arah utama ialah bantu kuasa beli rakyat dan biayai pembangunan, sambil memastikan perbelanjaan itu tidak menggagalkan usaha mengawal defisit.
No comments:
Post a Comment