WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berkata, beliau akan membuat satu keputusan akhir pada Jumaat berhubung rundingan dengan Iran bagi melanjutkan gencatan senjata, yang perlu merangkumi pembukaan Selat Hormuz serta memansuhkan keupayaan Tehran untuk menghasilkan senjata nuklear.
"Saya akan mengadakan mesyuarat sekarang di Bilik Situasi bagi membuat satu ketetapan akhir," katanya merujuk kepada pusat kawalan White House bagi memantau krisis global.
Beberapa sumber sebelum ini menyatakan satu perjanjian bakal dicapai bagi melanjutkan gencatan senjata yang berkuat kuasa sejak awal April untuk tempoh 60 hari lagi, bagi membolehkan penghantaran minyak dan gas disambung semula melalui laluan air strategik itu sementara perunding menangani isu rumit seperti program nuklear Iran.
"Iran mesti bersetuju bahawa mereka tidak akan sesekali memiliki Senjata atau Bom Nuklear. Selat Hormuz mesti dibuka serta-merta tanpa sebarang tol, untuk trafik perkapalan tanpa sekatan di kedua-dua arah," kata Trump sambil menambah bahawa bahan nuklear akan "digali keluar" oleh AS.
Setakat ini, tiada maklum balas segera daripada pihak Iran, namun ketua perundingnya, Mohammad Baqer Qalibaf sebelum ini membayangkan nada skeptikal.
"Kami tidak mempercayai jaminan dan kata-kata, hanya tindakan yang menjadi ukuran. Tiada sebarang tindakan akan diambil sebelum pihak di sana bertindak," kata Qalibaf dalam satu hantaran di media sosial tanpa mengulas lanjut.
"Pemenang bagi mana-mana perjanjian adalah pihak yang lebih bersiap sedia untuk menghadapi peperangan pada keesokan harinya."
Perang yang dilancarkan oleh AS dan Israel pada 28 Feb telah mengorbankan ribuan nyawa, terutamanya di Iran dan Lubnan, selain mencetuskan impak ekonomi global berikutan kenaikan harga tenaga ekoran tindakan Iran menutup Selat Hormuz secara berkesan.
Harga minyak dilaporkan merosot manakala pasaran saham meningkat pada Jumaat susulan potensi perjanjian berkenaan.
Dalam hantaran di platform Truth Social, Trump berkata, periuk api akan dialihkan dari selat itu dan kapal-kapal yang terkandas di sana boleh mula pulang ke tanah air: "Sampaikan salam kepada isteri, suami, ibu bapa, dan keluarga anda daripada saya, Presiden kegemaran anda!"
Beliau berkata, tiada pertukaran wang akan dilakukan "sehingga diberitahu kelak" - kemungkinan merujuk kepada tuntutan Iran untuk pembayaran tol di selat berkenaan, ganti rugi kemusnahan perang atau pelepasan dana Iran yang dibekukan di luar negara.
Sementara itu, Kazakhstan telah memberi isyarat sedia menerima simpanan uranium Iran yang diperkaya hampir ke tahap gred senjata sekiranya AS mencapai persetujuan dengan Iran, kata ketua badan pengawas nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Rafael Grossi kepada Financial Times.
Kazakhstan menempatkan bank uranium diperkaya pada kadar rendah yang dikawal secara antarabangsa bagi memastikan bekalan bahan api untuk stesen janakuasa dalam kalangan negara anggota Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA).
-- REUTERS
#1media4all #malaysianews #trendingmalaysianews

No comments:
Post a Comment