KUALA LUMPUR – Kegagalan Zuraida Kamaruddin merasmikan majlis pelancaran Ops Selamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia 2020 hari ini menimbulkan spekulasi.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Rembau, Mohd Effendi Mat Aris mendakwa Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu yang juga Naib Presiden PKR itu takut dengan bayang-bayang sendiri apabila terdapat demonstrasi aman di majlis berkenaan yang menyokong beliau dipecat daripada PKR.
“Rakyat sudah meluat dengan sikap beberapa menteri dalam kerajaan Pakatan Harapan dan jika ada suara yang meminta seseorang itu dipecat adalah gara-gara kerana sikap mereka yang semakin angkuh dan jauh dari idealisme parti mahupun amanah kepada rakyat.
“Tidak hairanlah sekiranya Zuraida gagal hadir ke majlis hari ini kerana takut akan suara reformasi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Mohd Effendi berkata Zuraida sepatutnya hadir merasmikan Ops Selamat di Rumah Rehat dan Rawat Dengkil di Arah Selatan Lebuhraya Elite, Dengkil hari ini.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Ampang itu tidak hadir dengan alasan terdapat hal rasmi lain yang lebih penting.
Difahamkan semasa majlis berlangsung, seramai 250 peserta bermotosikal tiba dengan membawa sepanduk ‘Pecat Zuraida’ bersama-sama mereka.
Sebelum ini, tindakan sama dilakukan beberapa individu yang membuat himpunan aman di pejabat KPKT mengenai kegagalannya dalam menangani isu seperti Projek Rumah Selangorku iaitu Pangsapuri Residensi Jaya di Cheras. – MalaysiaGazette