Perpecahan PAS tidak dapat dielak, selepas isu MB Selangor kini hudud pula


PAS memerlukan faktor penyatuan yang bakal memulihkan suasana tegang di dalam parti itu yang dilihatkan semakin meruncing. – Gambar fail The Malaysian Insider, 24 Disember, 2014. 

PAS memerlukan faktor penyatuan yang bakal memulihkan suasana tegang di dalam parti itu yang dilihatkan semakin meruncing. – Gambar fail The Malaysian Insider, 24 Disember, 2014.

Perpecahan PAS dan Pakatan Rakyat (PR) kini semakin melebar dengan isu hudud selepas perbezaan pendapat yang sangat ketara dalam isu pertukaran menteri besar Selangor sebelum ini.

Kenyataan Timbalan Mursyidul Am Datuk Dr Haron Din yang tahaluf siasi (kerjasama politik) antara PAS dengan DAP sudah 'koyak' apabila parti itu terus mempertikaikan hudud mendapat sokongan daripada menteri besar Kelantan yang juga pemangku ketua Dewan Ulama PAS.

Datuk Ahmad Yakub berkata, PAS bersedia menilai semula tahaluf siyasi yang dibuat antara parti komponen PR berikutan tindakan DAP yang berterusan mempertikaikan pelaksanaan hudud di Kelantan.

“Apa-apa perjanjian atau kerjasama boleh dinilai semula apabila menampakkan sesuatu tindakan yang mampu mencetuskan ketegangan.
  “Penilaian semula ini supaya kita boleh melihat di mana titik tolak tahaluf siyasi itu dalam konteks yang sebenar,” katanya kepada media selepas merasmikan Majlis Graduasi Tahfiz Yayasan Islam Kelantan (Yik), semalam, lapor Sinar Harian.

Sebelum ini, dalam Multaqa Ulama yang dianjurkan Dewan Ulama PAS di Alor Setar, cadangan mengkaji semula tahaluf siasi diluluskan dalam bentuk resolusi perhimpunan itu.

Namun ia mendapat tentangan sebahagian pimpinan PAS yang yakin kerjasama politik ini menguntungkan PAS.

Kini, perbezaan politik yang ketara sedang melanda PAS menyebabkan kepimpinannya dengan jelas berpecah kepada dua kumpulan, pro PR dan satu lagi mahu berpisah atau menjauhkan diri.

Pandangan Haron berkenaan tahaluf siasi yang koyak bukan datang begitu saja. Sebelum beliau, AJK PAS Pusat yang juga Ahli Parlimen Temerloh Nasrudin Hassan berkata, tahaluf siyasi sudah memasuki fasa 'haram'.
Kedua-dua kenyataan ini disiarkan di muka depan media yang memusuhi PAS dan mahukan parti Islam itu berpecah iaitu Utusan Malaysia.
Kini pandangan mereka berdua disambut positif menteri besar Kelantan, individu yang dikira agak sederhana sebelum ini.

Dalam masa yang sama, beberapa pemimpin PAS berkata PAS pusat tidak dibawa berbincang dalam isu pindaan kepada Kanun Jenayah Syariah yang akan dibuat melalui sidang khas Dewan Undangan Negeri Kelantan pada 29 Disember ini.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat Khalid Samad mengesahkan perkara tersebut tidak dibincangkan atau dibangkitkan dalam mesyuarat terakhir pada 15 Disember baru-baru ini.

"Isu itu tidak pernah dibincangkan dalam mesyuarat terakhir.

"Kami hanya debat tentang rang yang sepatutnya dibawa ke Parlimen atau tentang bagaimana ia sepatutnya dilakukan," katanya kepada The Malaysian Insider.

Mesyuarat terakhir PAS Pusat adalah pada 15 Disember sedangkan menteri besar Kelantan membuat pengumuman sidang khas itu pada 14 Disember iaitu sehari sebelum mesyuarat.
Seramai 23 daripada 38 ahli Jawatankuasa PAS Pusat jelas memihak kepada kerjasama dengan PR. Mereka ini dicop sebagai 'jebon' oleh pihak yang pro ulama dalam PAS.

Portal Malaysiakini melaporkan, seorang anggota Jawatankuasa PAS Pusat berkata mereka tidak pernah bersetuju membawa Rang Undang-undang Persendirian Kelantan berkaitan hudud ke Parlimen.
Sedangkan Ahmad berkata, persidangan itu diadakan bagi mengkemaskini enakmen sedia ada sebelum dibawa untuk mendapat kelulusan di persidangan Parlimen.

“Pindaan itu untuk melayakkan Kelantan membawa usul persendirian ke Parlimen bagi membolehkan ia dijalankan di negeri ini.

“Private bill itu akan meminda Perkara 76A Perlembagaan Persekutuan bagi mendapat kebenaran Parlimen untuk melaksanakan undang-undang tersebut di Kelantan," lapor laman web PAS.org.
Inilah suasana yang berlaku dalam PAS sekarang, kucar-kacir. Bukan sahaja antara PAS dengan PR tetapi juga dalam PAS sendiri.

Bagi seorang pemimpin kanan PAS yang selama ini selalu berusaha menjadi kuasa pendamai antara kumpulan yang berbeza ini, ia sudah membosankan.

"Biarlah, dah mereka nak pecah," kata beliau kepada The Malaysian Insider, jawapan yang membayangkan sudah hilangnya harapan untuk membentulkan apa yang tidak betul itu.

Apakah pemilihan pucuk kepimpinan PAS yang dijangka pada Jun tahun depan bakal memulihkan PAS atau masing-masing mengambil jalan sendiri selepas itu?

"Semua kini preparing for war," kata pemimpin PAS berkenaan yang bermaksud semua sedang bersedia untuk “berperang”, enam bulan dari sekarang.

Faktor penyatu sangat diperlukan oleh PAS dan perlu dicari segera sebelum nasi menjadi bubur dan tidak boleh diubat lagi. – 24 Disember, 2014.


No comments: