PENEMUAN TELAGA MINYAK YANG BESAR.PETRONAS NAFI



Petronas nafi Ku Li





KUALA LUMPUR 20 Mac - Syarikat minyak nasional, Petronas menafikan dakwaan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah bahawa pihaknya telah menemui lapangan minyak yang besar dan kemungkinan terbesar di dunia.


Menurut Bahagian Komunikasi Korporat syarikat itu, pihaknya tidak membuat sebarang penemuan seumpama itu.


''Sebarang kenyataan yang menyebut mengenai penemuan sedemikian adalah tidak benar," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.


Tengku Razaleigh ketika menjadi panel pada forum Royalti Minyak: Hak Perlembagaan? anjuran Majlis Peguam hari ini mendakwa, syarikat itu telah menemui satu lapangan minyak yang sangat besar, kemungkinan yang terbesar di dunia.


Bekas Pengerusi Petronas itu yang enggan mendedahkan butiran lanjut dan pihak yang memberi maklumat kepadanya berkata, beliau diberitahu bahawa tiada pengumuman dibuat mengenai penemuan lapangan minyak yang sangat besar itu.


''Saya diberitahu terdapat penemuan besar yang boleh memberi tekanan kepada harga minyak.


''Saya juga diberitahu ia merupakan lapangan minyak atau telaga minyak terbesar (bukan hanya) di sini tetapi juga di tempat-tempat lain di dunia. Saya tidak boleh dedah (lokasi)... saya tidak boleh beritahu anda," katanya.


Petronas yang ditubuhkan pada 1974 kini menjalankan aktiviti cari gali di 31 negara dan paling terbaru, konsortium yang disertai syarikat itu terpilih untuk memajukan dua blok medan minyak terbesar Venezuela dan menerokai medan minyak di Iraq yang diberi nama Majnoon.


Syarikat itu menyumbang kira-kira RM75 bilion setahun kepada Kerajaan Persekutuan iaitu bersamaan 42 peratus pendapatan tahunan Malaysia.

No comments: