Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkongsi foto rambutnya digunting yang dilakukan seorang tukang gunting rambut di Facebook pada 28 April 2026. Foto Facebook Anwar Ibrahim
PUTRAJAYA, 29 Apr – Sekeping foto dikongsi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mencuri perhatian warganet apabila dilihat sedang menggunting rambut yang dikendalikan seorang tukang gunting di sebuah kedai, semalam.
Berlatar belakangkan muzik lagu ‘Bila Mama Pakai Celana’ nyanyian Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, Perdana Menteri kelihatan duduk secara santai memegang telefon bimbit sambil meneliti perkembangan semasa.
Aksi spontan Anwar mengundang pelbagai reaksi warganet yang terhibur dengan meninggalkan komen dan memuji penampilan beliau.
Antara komen ditinggalkan warganet pada hantaran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Facebook pada 28 April 2026.
Shazy Property menulis “My favorite barber in town. (Tukang gunting rambut kegemaran saya di bandar). Nanti I setappointment & booking (tetapkan temujanji & tempah) balik utk bulan depan,” tulisnya.
“I also cut my hair today what a coincidence (Saya juga potong rambut hari ini, kebetulan pula),” tulis Mei Qin.
“Wah hensem gila Datuk Seri. We love (Kami sayang) PMX,” kata Jerung Jinak.
Antara komen ditinggalkan warganet pada hantaran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Facebook pada 28 April 2026.
“Steady PMX. Sambil kita layan lagu Allahyarham Tan Sri P Ramlee yg mungkin dituju kepada golongan gila kuasa yg gagal nk tebuk atap di Nismilan 😁,” usik Ezra Azrin.
“Sabar dan tenang itulah antara sikap PMX yang paling tinggi dan kuat,” komen Muhammad Mas’ab.
Perkongsian tersebut jelas memperlihatkan sisi santai pemimpin nombor satu negara itu yang dekat di hati rakyat.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Lokman Noor Adam mengakui agak terkilan dengan tindakan 14 ADUN BN yang mencetuskan ketidakstabilan politik di Negeri Sembilan, menyifatkan ia boleh merosakkan hubungan baik antara Umno dan Pakatan Harapan di peringkat Persekutuan.
Beliau berkata, krisis yang dicetuskan 14 ADUN BN telah memberi implikasi negatif terhadap sokongan rakyat kepada parti itu, terutama dalam kalangan komuniti Cina dan India yang sebelum ini dilihat mula kembali menyokong BN.
“Memang dari segi implikasi tak bagus. Minta maaf cakap, saya sedikit terkilan sebab mood di bawah dah cantik. Komuniti Cina dan India yang dulu marah dah kembali dekat kita dan suka kita.
“Tiba-tiba bila berlaku krisis ini, ianya menjejaskan sokongan BN Umno,” katanya dalam satu ulasan video di Facebook beliau.
Lokman menyeru kepimpinan parti supaya lebih tegas dalam menangani isu ini, sambil menegaskan bahawa badan perhubungan negeri tidak boleh dibiarkan bertindak seperti “loose cannon” tanpa disiplin parti.
Loose cannon bermaksud seseorang atau kumpulan yang bertindak sendiri tanpa kawalan, tidak ikut arahan atau disiplin, dan tindakan mereka boleh mendatangkan bahaya atau malu kepada organisasi mereka sendiri.
“Saya harap kepimpinan parti lebih tegas. Kita tidak boleh kalau di peringkat negeri kita bekerjasama dengan PN, tetapi dekat Pusat pula bekerjasama dengan PH. Akhirnya ia akan merosakkan kerjasama yang membolehkan Malaysia hidup aman damai,” katanya.
Beliau turut memberi amaran bahawa tindakan tidak cermat segelintir pihak boleh meruntuhkan pencapaian ekonomi negara yang sedang berada pada landasan positif, termasuk nilai ringgit yang kukuh, prestasi Bursa Saham Kuala Lumpur yang baik, KDNK yang meningkat serta kadar jenayah yang semakin menurun.
Beliau berkata, BN bernasib baik kerana pada akhirnya keputusan akan dibuat oleh pucuk pimpinan utama, sekali gus mengekalkan hubungan baik dan kerjasama dua gabungan.
“Bila ada satu, dua langkah tak cermat, ia akhirnya merosakkan segala-galanya. Kita bernasib baik sebab akhirnya keputusan diambil pucuk pimpinan utama.
“Memang betul negeri boleh buat keputusan tapi akhirnya keputusan muktamad perlu lalui persetujuan di peringkat Persekutuan. Jangan risau, yakinlah kebijaksanaan Presiden Umno dan PMX. Kita takkan biarkan benda-benda kecil musnahkan hubungan kita di peringkat Persekutuan,” ujarnya lagi.
Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang memerintahkan Ahli Parlimen PAS/PN Kepala Batas, Siti Mastura Muhammad, membayar ganti rugi sebanyak RM750,000 dalam kes fitnah terhadap tiga pemimpin kanan DAP.
Panel tiga hakim sebulat suara menolak rayuan yang dikemukakan, sekali gus mengesahkan bahawa keputusan terdahulu adalah tepat dan berasas dari sudut undang-undang.
Panel tersebut dipengerusikan oleh Hakim Ahmad Kamal Shahid, bersama Hakim Evrol Mariette Peters dan Hakim Latifah Tahar.
Dalam penghakiman yang disampaikan, mahkamah menegaskan bahawa rayuan yang difailkan tidak mempunyai merit. Oleh itu, keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang bertarikh 4 Disember 2024 dikekalkan sepenuhnya tanpa sebarang pindaan.
Kes ini berpunca daripada satu ceramah politik yang diadakan di Kemaman, Terengganu pada 4 November 2023.
Dalam ceramah tersebut, Siti Mastura Muhammad didakwa membuat kenyataan yang mengaitkan tiga pemimpin DAP dengan bekas pemimpin Parti Komunis Malaya, Chin Peng, melalui dakwaan hubungan kekeluargaan.
Kenyataan tersebut kemudiannya menjadi asas kepada tindakan saman fitnah yang difailkan oleh pihak terlibat.
Tiga pemimpin yang terkesan ialah Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan Teresa Kok. Mahkamah sebelum ini mendapati bahawa dakwaan yang dibuat adalah tidak berasas dan telah menjejaskan reputasi serta integriti mereka sebagai pemimpin politik.
Oleh itu, ganti rugi yang diberikan dilihat sebagai wajar bagi menampung kerosakan yang dialami akibat fitnah tersebut.
Keputusan Mahkamah Rayuan ini dilihat sebagai satu peringatan jelas terhadap semua pihak, khususnya ahli politik, agar lebih berhati-hati dalam membuat kenyataan di ruang awam.
Dalam era maklumat yang pantas tersebar, sebarang dakwaan yang tidak disokong fakta boleh membawa implikasi undang-undang yang serius.
Kes ini juga menegaskan bahawa kebebasan bersuara tidak boleh disalahgunakan sehingga menjejaskan reputasi individu lain tanpa bukti yang kukuh.
SAYANG SEKALI, ZAHID HAMIDI MELEPASKAN PELUANG JADI HERO PENYATUAN MELAYU
29 April 2026
Dalam konteks lain yang jauh lebih penting, penarikan sokongan UMNO Negeri Sembilan terhadap Menteri Besar negeri itu, Aminuddin Harun sebenarnya berupaya memisahkan UMNO daripada kepungan gelaran UMDAP yang selama ini meresahkan parti itu.
Dengan menjatuhkan kerajaan Negeri Sembilan melalui kerjasama dengan PN untuk menubuhkan kerajaan baharu, DAP secara automatik turut hilang kuasa di di negeri tersebut.
Selepas berjaya menjadikan DAP tiada lagi kuasa di Negeri Sembilan, UMNO boleh menjarakkan lagi hubungannya dengan parti itu Perak dan Pahang pula.
Di Perak ean Pahang, walaupun jika UMNO beralih kepada bekerjasama dengan PN dan meninggalkan PH/DAP, mereka masih boleh kekal memegang jawatan Menteri Besar seperti sekarang.
Selanjutnya, dalam PRN Melaka dan Johor selepas ini, UMNO meneruskan lagi kerjasamanya dengan PN.
Melalui kerjasama itu, UMNO/BN dengan sokongan PN, dijangka tidak sukar mengekalkan kemenangan dua pertiganya di kedua-dua negeri berkenaan.
Dalam perkiraan yang tak sangat susah, UMNO bersama PN akhirnya mampu mengangkat kuasa Melayu menjadi dominan di Negeri Sembilan, Perak, Pahang, Melaka dan Johor.
Dengan bersandarkan kejayaan tersebut, UMNO dan PN boleh meneruskan lagi kerjasama mereka untuk berlawan satu lawan satu dengan PKR/DAP/PH pada PRU16 akan datang.
Dalam pertembungan itu nanti, diyakini dengan seyakin-yakinnya bahawa BN dan PN mampu memperolehi kemenangan bergaya lagi selesa dan dapat membentuk kerajaan baharu mengenepikan PKR/DAP/PH.
Akhrinya kuasa Melayu dengan disokong oleh bukan Melayu seperti mana era kerajaan BN dan kerajaan Perikatan menguasai negara suatu ketika dahulu kembali menguasai negara ini.
Semua itu mampu dijadikan kenyataan jika tindakan UMNO Negeri Sembilan menarik sokongan terhadap kerajaan PH di Negeri Sembilan disokong sepenuhnya oleh UMNO Pusat dan Zahid Hamidi.
Melalui perubahan di Negeri Sembilan, ia sebetulnya mampu menjadi pemangkin kepada perubahan yang lebih besar dan bermakna di seluruh negara.
Sayangnya, semua itu tidak berlaku dan dalam kemelut di Negeri Sembilan, Zahid Hamidi, selain gagal memastikan pertukaran kerajaan berlaku, beliau juga nampaknya masih mahu merujuk kepada cikgunya iaitu Anwar Ibrahim terlebih dahulu untuk menyelesaikan apa yang berlaku.
Sudahnya, bukan saja kemelut di Negeri Sembilan masih tidak selesai sehingga kini, bahkan hubungan UMNO dengan PH juga mula bermasalah.
Kecaman, kutukan dan ancaman daripada PH kepada UMNO bukan saja berlaku di Negeri Sembilan, malah telah merebak kepada negeri lain seperti Selangor, Johor dan pemimpin PH di peringkat Pusat juga tidak segan lagi melakukannya.
Aksi berbalas kenyataan antara Pemuda UMNO dan AMK PKR juga ternampak semakin agresif.
Dalam keadaan ini, UMNO sekarang ini bukan saja semakin tidak dipercayai oleh PH dan digelar kawan yang suka makan kawan, malah pastinya penyokong PKR dan penyokong DAP tidak mahu lagi memberi undi kepada calon UMNO/BN pada PRU akan datang.
Akhirnya, selain UMNO/BN berpotensi kalah lebih teruk pada PRU akan datang, bahkan Zahid Hamidi terlepas peluang keemasan untuk tampil sebagai hero penyatuan Melayu.
Jika Zahid Hamidi berjaya memastikan kerajaan bertukar di Negeri Sembilan dan Jalaluddin Alias jadi Menteri Besar, seterusnya kerjasama UMNO dan PN terbentuk di beberapa negeri lain dan seterusnya memastikan gabungan dua parti itu dapat mengambil alih kerajaan, di samping gelaran hero penyatuan Melayu dapat dirangkulnyq, silap-silap jawatan Perdana Menteri ke-11 turut jatuh ke riba Ahli Parlimen Bagan Datuk itu.
Tapi, sayang seribu kali sayang, Zahid Hamidi melepaskan peluang keemasan yang telah terhidang. - ShahbudinHusin 29April2026.
Apa sebenarnya Jalal mahu?’, Pengerusi UMNO Negeri Sembilan ini teruk kena kecam netizen
Harapandaily
Tindakan Pengerusi Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias yang menarik sokongan terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun terus mengundang kecaman di media sosial.
Seorang pengguna Facebook, Mohd Zamri Rosli, secara terbuka mempersoalkan motif sebenar di sebalik langkah tersebut, yang disifatkan tidak konsisten dan sukar difahami.
Menurut anak jati Negeri Sembilan itu, alasan yang dikemukakan berhubung dakwaan Menteri Besar gagal mengurus adat dan perlembagaan negeri juga tidak meyakinkan.
“Kalau Menteri Besar tidak betul, kenapa Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan masih mengekalkan beliau untuk terus menjalankan tugas seperti biasa?” soalnya di ruangan komentar dalam satu hantaran Jalaluddin di Facebookhari ini.
Zamri turut membangkitkan persoalan sama ada tindakan menarik sokongan itu bertujuan mendesak agar keputusan tertentu dibuat terhadap institusi kepimpinan negeri, atau sekadar permainan politik semata-mata.
Beliau menegaskan bahawa Aminuddin sebelum ini telah menyatakan segala tindakan diambil adalah selaras dengan perlembagaan negeri, malah sudah menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan bagi menjelaskan keadaan semasa.
Tidak logik
Dalam masa sama, Zamri menyifatkan alasan yang diberikan Jalaluddin sebagai tidak logik, selain menuntut penjelasan lebih jelas mengenai hala tuju sebenar tindakan tersebut.
“Apo nawaitu sebonar ekau (Jalaluddin) nak tarik sokongan kat kerajaan Nismilan?
“Kalau setakat cakap MB tak pandai urus adat dan perlembagaan negeri tu, den tak percayo doh.
“Sebab Tok Min (Aminuddin) dah cakap semuo dio ikot perlembagaan negeri dan Tok Min dah menghadap Duli Yamtuan.
“Tok Min pun redho kalau takdo rezeki sebagai MB. Dio serah pada Allah Yang Maha Kuaso,” katanya yang meraih ratusan tanda ‘suka’ kalangan netizen lain.
Nada sama disuarakan Hanif Ahmad yang mempersoalkan kewajaran Jalaluddin untuk menghadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir selepas mengumumkan penarikan sokongan terhadap Tok Min.
“Tok Min sebelum ini mempertahankan Yang Dipertuan Besar kerana didakwa dipecat secara tidak sah. Namun akhirnya, kamu (Jalaluddin) pula menarik sokongan untuk menjatuhkan Tok Min.
“Selepas itu, kamu mahu menghadap Yang Dipertuan Besar untuk menjadi Menteri Besar?
“Sia-sia saja kena ludah nanti depan istana.. kerja gila.. Kamu ni tiada penasihat ke?” tempelaknya lagi.
Terdahulu, Jalaluddin yang juga Pengerusi BN Negeri Sembilan berkata, pihaknya sudah menghantar permohonan untuk mengadap Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bagi memaklumkan mengenai penarikan sokongan terhadap Menteri Besar, petang semalam.
Dalam sidang media di Wisma UMNO Negeri Sembilan sama hari ini, ADUN Pertang yang juga Exco kanan itu menafikan bahawa dirinya mahu menjadi Menteri Besar susulan tindakan Barisan Nasional (BN) menarik sokongan terhadap pimpinan Aminuddin.
Negeri Sembilan kini berdepan kebuntuan politik yang dijangka boleh berlarutan untuk jangka masa tertentu apabila perubahan kerajaan dilihat sukar berlaku dalam tempoh terdekat akibat kekangan dari sudut perlembagaan.
Krisis ini tercetus selepas 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN menarik sokongan terhadap Menteri Besar, Aminuddin Harun, sekali gus membuka kemungkinan kepada perubahan kepimpinan.
Namun, walaupun sokongan beralih arah, langkah untuk menyingkirkan Menteri Besar sedia ada dilihat seakan-akan buntu.
Dua cara
erdapat dua cara untuk menggantikan Menteri Besar yang sedang berkhidmat.
Cara pertama ialah membuktikan sokongan majoriti di hadapan Yang di-Pertuan Besar, yang mempunyai kuasa perlembagaan untuk melantik ketua kerajaan baru.
Cara kedua ialah membentang dan meluluskan usul undi tidak percaya di Dewan Undangan Negeri.
Setakat ini, kedua-dua pilihan tersebut nampaknya tidak dapat dilaksanakan.
ADS
Pilihan pertama berdepan komplikasi berkait sistem unik Negeri Sembilan, di mana Yang di-Pertuan Besar – Tuanku Muhriz ibni Almarhum Tuanku Munawir – dipilih oleh Undang berempat.
Pada 20 April, Undang yang empat mengadakan sidang media bagi menyingkirkan Tuanku Muhriz dan menggantikannya dengan Tunku Nadzaruddin Tuanku Ja’afar sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang baru.
ADS
Namun, Aminuddin menyatakan bahawa pengisytiharan tersebut tidak sah kerana salah seorang daripada Undang berkenaan, Mubarak Thahak, telah dipecat lebih awal. Ini menyebabkan para Undang terbabit mendakwa menteri besar berbohong dan menggesa DUN menyingkirkannya.
Semalam, BN Negeri Sembilan menarik sokongan terhadap Aminuddin kerana didakwa gagal menguruskan isu berkenaan.
Pengerusinya, Jalaluddin Alias, turut menegaskan bahawa mereka menyokong sepenuhnya dan mempertahankan institusi adat, perlembagaan serta undang-undang yang mengawal pentadbiran negeri.
Nasib Tuanku Muhriz dan Aminuddin ketika ini saling berkait dari sudut politik. Keengganan Aminuddin mengiktiraf tindakan Undang untuk menyingkirkan Yang di-Pertuan Besar menjadi punca Umno menarik sokongan.
Jika Yang di-Pertuan Besar bersetuju dengan pihak yang mahu menggantikan Menteri Besar yang mempertahankannya, tindakan itu akan dilihat bercanggah dengan kepentingan baginda sendiri.
Keadaan ini bertambah rumit kerana Perlembagaan Negeri menetapkan bahawa walaupun Undang melihat ada sebab untuk menyingkirkan Yamtuan, pengisytiharan itu mesti ditandatangani oleh Undang dan Menteri Besar.
ADS
Dengan kata lain, tandatangan Menteri Besar diperlukan dari sudut perlembagaan untuk mengesahkan penyingkiran tersebut.
Selagi Aminuddin kekal memegang jawatan, tandatangan itu tidak akan diperoleh – sekali gus memberi sebab kepada Tuanku Muhriz untuk mengekalkannya.
Laluan di sidang DUN
Laluan melalui Dewan Undangan Negeri juga terhalang.
Persidangan DUN Negeri Sembilan dijadualkan berlangsung dari 23 hingga 29 April. Namun selepas istiadat pembukaan pada 23 April, sidang ditangguhkan serta-merta ke satu tarikh yang belum ditetapkan.
Aminuddin semalam berkata penangguhan itu dicadangkan oleh Umno, yang sepatutnya boleh mengemukakan usul undi tidak percaya semasa sidang berlangsung.
Selagi sidang ditangguhkan, sebarang usaha untuk menguji sokongan majoriti tidak dapat diteruskan.
Keadaan ini kekal walaupun Umno berjaya mendapatkan sokongan lima Adun PN.
Kerajaan minoriti
Kebuntuan ini membolehkan Aminuddin terus mentadbir kerajaan negeri sebagai kerajaan minoriti – satu keadaan yang diakuinya secara terbuka.
Perkembangan dalam tempoh 24 jam lalu juga menunjukkan ketidaktentuan dalam strategi Umno sendiri.
Dalam satu kenyataan bersama malam tadi, Adun BN Negeri Sembilan pada awalnya mengalu-alukan sokongan daripada Adun PN dan mendakwa jumlah itu mencukupi untuk membentuk kerajaan dengan majoriti mudah.
Namun hari ini, Jalaluddin dilihat mengubah pendirian dengan menggesa pembubaran DUN bagi memberi laluan kepada pilihan raya baru.
Tempoh enam bulan hadkan pilihan
Menurut Perlembagaan Negeri Sembilan, Dewan Undangan Negeri mesti bersidang sekurang-kurangnya sekali setiap enam bulan.
Ini bermakna penangguhan boleh berlanjutan hingga 23 Oktober – enam bulan selepas sidang 23 April.
Penangguhan ini memberi masa kepada pentadbiran Aminuddin, tetapi tidak menyelesaikan masalah ketidakstabilan yang menjadi punca krisis.
Ujian paling getir dijangka berlaku apabila belanjawan negeri dibentangkan.
Dalam sistem berparlimen, kegagalan meluluskan belanjawan dianggap sebagai undi tidak percaya.
Jika kerajaan minoriti Aminuddin gagal meluluskan belanjawan negeri, dia perlu meletakkan jawatan. Ini menunjukkan tempoh pentadbiran semasa mungkin hanya mampu bertahan sehingga sidang DUN berikutnya.
Implikasi di peringkat persekutuan
Kebuntuan ini turut memberi kesan di peringkat Persekutuan.
Keretakan kerjasama antara Umno dan PH di peringkat negeri boleh menjejaskan hubungan mereka di Putrajaya.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dijangka bertemu bagi membincangkan jalan penyelesaian, dengan perhatian tertumpu sama ada pertemuan itu mampu memecahkan kebuntuan atau sebaliknya.
Ahmad Zahid secara terbuka menjauhkan diri daripada langkah tersebut, namun ramai berpendapat bahawa Umno Negeri Sembilan tidak akan mengambil tindakan drastik tanpa sekurang-kurangnya mendapat restu daripada kepimpinan tertinggi parti.
Menariknya, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan yang juga merupakan Adun Rantau, tidak menghadiri sidang media bersama Jalaluddin semalam.
Bagaimanapun, perkembangan seterusnya masih bergantung kepada perkembangan politik pada masa ini dan sebarang penjajaran semula secara mendadak boleh mempercepatkan penyelesaian krisis ini.
Petang ini, Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil menyiarkan gambar di media sosialnya menunjukkan pertemuan santai antara Anwar, Ahmad Zahid, Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, dan Saifuddin Nasution dari PKR.
Bagaimanapun, butiran mengenai pertemuan itu masih belum jelas.