Kajian dapati Pas bakal hilang 6 hingga 8 ribu undi Cina Sg. Besar


CEO Ilham Centre Hisomuddin BakarCEO Ilham Centre Hisomuddin BakarRata-rata pengundi Cina di Parlimen Sungai Besar yang ditemui oleh Ilham Centre dalam tinjauan lapangan badan kajian politik itu baru-baru ini menyatakan penolakan mereka secara berterus-terang terhadap Pas.
Pengerusi Eksekutifnya, Hisomudin Bakar berkata, reaksi spontan pengundi Tionghoa di parlimen tersebut dipercayai ekoran perubahan dasar kepimpinan Pas termasuk bertindak keluar daripada blok pembangkang sekaligus memecahkan gabungan Pakatan Rakyat.
“Pengundi Cina sudah tentu tak akan undi Pas. Melalui pertemuan dengan penduduk Cina di Sungai Besar, bila ditanya kepada mereka, berapa peratus Cina boleh bagi (undi) pada Pas, mereka ada yang jawab, kalau dapat 1 peratus pun, Cina buta saja yang undi Pas,” ujarnya.
Berkongsi hasil pemerhatiannya pada forum “Tiga Penjuru: Pembangkang Rugi?” di Gerak Budaya, Petaling Jaya malam tadi, beliau memberitahu, pengundi Cina di Parlimen Sungai Besar jelas marah dengan pendirian politik Pas.
“Jadi, ke mana pengundi cina pergi? Kepada Amanah kebarangkalian tinggi, atau dapat nombor dua (jumlah undi). Jika kena dengan strategi, Amanah juga akan meraih undi daripada kelompok atas pagar yang sebelum ini mengundi Pas atas tiket pakatan pembangkang,” jelasnya.
Walau bagaimanapun, Hisomudin mengakui pihaknya tidak terlalu optimis dengan jumlah undi yang diterima Amanah sekiranya peratusan pengundi Cina keluar mengundi merosot atau pengundi muda di luar Sungai Besar enggan pulang untuk mengundi.
Mengulas perkembangan semasa Pas di Sungai Besar, beliau berpendapat parti diterajui Datuk Seri Hadi Awang itu sedang mengalami banyak masalah.
“Suramnya kempen Pas di Sungai Besar setakat ini. Pas tak buka lagi 40 cawangan. 15 cawangan saja yang buat (mengadakan) mesyuarat. Itupun tak buka UPU (Unit Peti Undi) mereka.
“Mereka sudah tahu keputusan (PRK). Pas dijangka hilang 6,000 hingga 8,000 undi daripada pengundi Cina,” ujarnya.
Melihat potensi yang ada pada Amanah ekoran kemelut Pas itu, menurutnya, situasi tersebut berbeza di antara Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar.
“Ada kelompok harummanis (masih ahli Pas tetapi kritis terhadap parti) yang masih belum keluar. Kelompok ini lebih ramai di Sungai Besar berbanding Kuala Kangsar. Pada peringkat awal lalu, mereka yang masuk Amanah ini ramainya adalah guru dan aktivis Pas,” katanya lagi.
Sementara itu, pemilihan Budiman Mohd Zohdi sebagai calon bertanding di Sungai Besar, ujarnya, keputusan BN itu lebih bersandarkan faktor populariti.
“Budiman dia ini begitu popular termasuk kalangan mat-mat rempit. Umno ingin mengambil jalan mudah kerana calon sudah dikenali. Kita juga perlu memahami cara berfikir penduduk tempatan yang tegar pemikirannya sama ada di sebelah Umno mahupun Pas,” tambahnya lagi.
Forum anjuran Lensa Anak Muda Malaysia (Lensa) selama kira-kira dua jam itu tetap diteruskan dalam keadaan bergelap dan panas akibat terputusnya bekalan elektrik ketika memasuki jam kedua program tersebut.
Walau bagaimanapun, pentas forum masih diterangi sedikit cahaya apabila beberapa peserta secara spontan menyalakan fungsi lampu pada telefon pintar masing-masing.

Husam dipindah ke kerusi pembangkang di Dun Kelantan


Adun Salor Datuk Husam MusaAdun Salor Datuk Husam Musa
Kedudukan kerusi bekas Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa hari ini secara rasminya telah diubah dan tidak berada di kerusi Adun Pas.
Speaker Dun Kelantan, Datuk Abdullah Ya'cob berkata, perpindahan tersebut berkuatkuasa hari ini sempena Persidangan Kali Kedua Bagi Tempoh Penggal Keempat Dun Kelantan hari ini.
"Kita letak Husam di kerusi bebas yang berada sebaris dengan barisan kerusi pembangkang. Pemakluman mengenai perkara itu dibuat sejak dua minggu sebelum persidangan bermula.
"Ini sudah menjadi perkara biasa apabila individu itu tidak lagi menjadi ahli Pas mahupun parti yang memerintah kerajaan," katanya kepada media di luar dewan sebentar tadi.
Bagaimanapun untuk hari pertama persidangan hari ini Husam tidak hadir.

Azhar, Ahmad Termizi disebut-sebut calon Amanah PRK serentak

JANGAN  LUPA  YB NIZAR  PENTING  DI PERAK....




Azhar, Ahmad Termizi disebut-sebut calon Amanah PRK serentak
Majliis presiden Pakatan Harapan adalah pemilik kata putus siapa bertanding
Menjelang pengumuman calon Pakatan Harapan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar malam ini dan Kuala Kangsar esok, teka-teki bagi kedua-dua calon hampir terjawab.
Di Sungai Besar nama Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Parlimen Sungai Besar, Azhar Abdul Shukur disebut-sebut akan diumumkan malam ini.
Malaysiadateline difahamkan, nama Azhar, 50, yang juga anak tempatan dan bekas guru itu calon tunggal yang dikemukakan Amanah Selangor kepada Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional.
"Apapun, keputusan akhir hanya akan ditentukan oleh Amanah Nasional," kata sumber yang rapat dengan Amanah Selangor kepada Malaysiadateline.
Bagi PRK Kuala Kangsar, dua nama disebut-sebut iaitu bekas pensyarah Profesor Dr Ahmad Termizi Ramli dan seorang anak muda Hasnul Zulkarnain yang juga Ketua Parlimen Amanah Kuala Kangsar.
Sementara itu, Malaysiadateline juga difahamkan bahawa Jawatankuasa Pimpinan Amanah Nasional mengadakan mesyuarat khas pagi ini bagi memuktamadkan calon bagi kedua-dua PRK itu yang akan diumumkan pada majlis berasingan malam ini dan esok.
Majlis Pengisytiharan calon Sg. Besar malam ini akan berlangsung di Dewan Sri Sekinchan, manakala bag Kuala Kangsar malam esok akan berlangsung di Kota Lama Kanan, Jambatan Sayong.
Pengisytiharan kedua-dua calon Amanah bagi mewakili Pakatan Harapan ini akan disempurnakan oleh Presiden PKR Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.
Khamis lalu, mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan telah membuat keputusan bahawa mereka akan menghantar calon bagi kedua-dua PRK itu selepas rundingan dengan Pas menemui jalan buntu.

Sumbang tanah mahal tanda penghormatan kepada Mahkamah Syariah, tetapi projek lewat 21 bulan

guan eng

GEORGE TOWN, 1 JUN: Kerajaan Negeri Pulau Pinang menzahirkan rasa kecewa dengan kelewatan 21 bulan projek Ibu Pejabat Mahkamah Syariah Negeri, meski telah diberi tempoh lanjut sebanyak dua kali.
Kompleks tersebut yang sepatutnya siap pada 1 Oktober 2014, hanya siap setakat 87 peratus pada penghujung April, ekoran masalah kewangan dan pengurusan syarikat kontraktor IHS Utara Malaysia Sdn Bhd.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam lawatan kerjanya ke tapak projek yang belum siap itu, mempersoalkan kelewatan projek terbabit yang dikerjakan secara usaha sama antara Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang dan juga agensi Kerajaan Pusat.
Bercakap kepada pemberita, Guan Eng memberitahu bahawa Yang Di Pertua Negeri Tun Dato’ Seri Utama Abdul Rahman Abbas juga turut menyuarakan kebimbangan terhadap kelewatan projek tersebut, selain orang ramai yang menyangka ia salah Kerajaan Negeri.
Kes istimewa, penghormatan buat Mahkamah Syariah
‘Kita sumbangkan tanah kerajaan negeri yang begitu mahal nilainya sebagai pengiktirafan dan tanda kita menghormati institusi mahkamah syariah,’ ujar beliau kepada Roketkini selepas sessi taklimat oleh Jabatan Kerja Raya yang mengelola projek terbabit.
Menurutnya, bukanlah menjadi amalan untuk sesebuah kerajaan negeri untuk memperuntukkan tanah yang mempunyai nilai tinggi untuk tujuan membangunkan mahkamah.
‘Ini kes istimewa. Kita buat pengecualian kerana ini mahkamah syariah,’ jelas beliau sambil menambah bahawa tanah seluas 2.93 ekar di simpang Jalan Scotland dan Jalan Batu Gantung itu dianggar bernilai RM81 juta.
Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP membuat lawatan kerja hari ini bersama Timbalan Ketua Menteri Datuk Abd Rashid Hasnon, Exco Datuk Abdul Malik Kassim, ditemani wakil-wakil Ahli Majlis DAP dari Selangor dan Pulau Pinang.
Projek yang menelan kos hampir RM30 juta ini telah diberikan Perakuan Kelambatan dan Kelanjutan Masa sebanyak dua kali pada 1 Januari 2015 dan 28 April tahun yang sama. Namun setakat kelewatan sehingga 29 April 2016, pihak kontraktor telah dikenakan Denda Ganti Rugi Ditetapkan sebanyak RM2,163,603.
“Sememangnya kita bersimpati dengan badan kehakiman syariah di sini, tapi Kerajaan Negeri yang terpaksa berdepan dengan rakyat dan menjelaskannya.
“Saya harap, tiada lagi penangguhan selepas ini memandangkan sebelum ini sudah dua kali mengalami kelewatan, ini adalah muktahir, projek ini akan siap menjelang 30 Jun 2016 nanti seperti yang dijanjikan.
“Saya sudah tidak mahu lagi janji demi janji diberikan tetapi tidak ditunaikan,” tegasnya.- Roketkini.com

Kerajaan Pulau Pinang teruskan sumbangan berkala RM600 seorang untuk 2,396 pemandu teksi


Guan Eng-Teksi
BUTTERWORTH, 1  Jun 2016 : Seramai 2,396 pemandu teksi menerima insentif RM600 seorang daripada Kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang hari ini sebagai menghargai khidmat mereka kepada rakyat.
Insentif yang disampaikan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, hari ini merupakan pemberian kedua untuk tahun ini, serta yang kelapan sejak diperkenalkan pada 2013.
Menurut Guan Eng, sejak 2013, RM4.663 juta telah diperuntukkan oleh kerajaan negeri untuk semua pemandu teksi yang sah berdaftar di Pulau Pinang.
“Semua pembayaran ini berjaya diteruskan kerana kerajaan negeri menjalankan pentadbiran bersih yang tidak makan wang untuk memastikan rakyat boleh mendapat wang.
“Tiada negeri lain di Malaysia selain Pulau Pinang yang menyediakan bayaran insentif kepada semua pemandu teksi yang berdaftar,” ujarnya dalam majlis penyampaian insentif itu di Seberang Perai Arena dekat sini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Air Putih berkata, kerajaan negeri sedia mendengar setiap keluhan pemandu-pemandu teksi negeri itu kerana telah berperanan sebagai duta kecil negeri Pulau Pinang.
“Sebagai contoh, kerajaan negeri faham dengan kesesakan lalu lintas yang dihadapi oleh rakyat negeri ini.
“Atas sebab itu, kerajaan negeri telah mengambil inisiatif memulakan kajian menyeluruh berkenaan keadaan semasa sistem pengangkutan dan lalu lintas di Pulau Pinang,” jelasnya.
Ia antara lain terkandung di dalam Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang yang merangkumi bas, teksi, kereta kabel, LRT/monorel dan feri atau teksi air yang menelan belanja RM27 bilion. – Roketkini.com

BN HADAPI LALUAN SUKAR TARIK PENGUNDI DI KUALA KANGSAR

HIDUP MELAYU PAS UMNO



Selama ini, Pas selalu berbangga dengan perjuangan Islam yang dibawanya dan menolak sama sekali sebarang bentuk pengagungan terhadap bangsa.

Bagi Pas, perjuangan mengenai bangsa adalah assabiyah dan tidak termasuk dalam senarai yang dibenarkan oleh Islam.

Malah, kerap juga kita mendengar, di akhirat nanti yang ditanya malaikat ialah keIslaman seseorang dan bukan sama ada seseorang itu Melayu, Cina, India atau  sebagainya.
Sebab itu, jubah dan kopiah putih adalah tradisi pakaian yang amat dibanggakan dalam Pas kerana ia dilihat lebih melambangkan keIslaman yang tiada tolok bandingnya berbanding berbaju Melayu dan bersampin.

Tetapi sejak berbaik-baik dengan UMNO, Pas nampaknya sudah mula berbeza.

Buat pertama kali di Muktamar Pemuda Pas yang berlangsung di Kelantan, ciri-ciri pakaian Melayu telah ditampilkan. 
Pimpinan Pemuda Pas, Nik Abduh Nil Aziz dan lain-lain barisan kepimpinannya tampil segak dengan pakaian seperti pahlawan Melayu, siap dengan tanjak dan keris terselit di pinggang.

Mujur tidak ada adegan cium keris, kalau tidak, sebiji macam Pemuda UMNO.

Tuan Ibrahim Tuan Man, Timbalan Presiden Pas yang menjadi perasmi muktamar juga hadir lengkap sepersalinan bak Pahlawan Melayu zaman dulu-dulu.
Sebelum ini, jika kita masih ingat,  Hadi Awang juga rela berpakaian Melayu merah jambu sedondon dengan Najib Razak di sebuah majlis multaqa ulama sedangkan selama ini pakaian yang menjadi kebiasaan Presiden Pas ialah jubah yang kerapkali  dipakai bersama kot berwarna gelap.

Apa sudah jadi kepada Pas sebenarnya? Kenapa baru sekarang mahu menunjuk ciri-ciri keMelayuan sedangkan berpuluh-puluh tahun lamanya hanya ciri Islam yang ditekankan?

Apa tujuan perubahan ke arah Melayu ini dilaksanakan? 

Tidak memadaikan dengan Islam saja dijadikan modal dendangan dalam perjuangan, lalu soal bangsa juga mahu diheret sama?

Apakah Pas akan mula menyeimbangkan resepi  agama dan assabiyah dalam hidangan perjuangannya selepas ini atau sewalnya bermula di Sungai Besar dan Kuala Kangsar?
Mungkinkah selain Allahu Akbar, kita juga bakal mendengar laungan Hidup Melayu di mana-mana program Pas tidak lama lagi?

Akhirnya, mana satu slogan yang betul - "Pas ganti UMNO" atau "Pas bersama UMNO?" (SH 31/05/2016).

PILIHAN PALING SESUAI - PKR DI SUNGAI BESAR, AMANAH DI KUALA KANGSAR


Di Sungai Besar, UMNO terlebih dahulu mengumumkan nama calonnya dengan menamakan Adun Sungai Panjang, Budiman Mohd Zuhdi untuk bertanding dalam pilihanraya kecil yang akan diadakan pada 18 Jun depan.

Kemudian Pas mengumumkan  Adun Meru, Dr Rani Osman sebagai ayam tambatannya untuk bertanding di kerusi Parlimen tersebut.

UMNO letak Adun, Pas pun ikut letak Adun.

Di Kuala Kangsar pula, Pas yang lebih dahulu mengumumkan seorang wanita iaitu Dr Najihatussalehah Ahmad sebagai calonnya.

Apabila UMNO mengumumkan calonnya, mereka juga memilih seorang wanita iaitu Mastura Mohd Yazid, balu Wan Khairil Wan Ahmad untuk dipertaruhkan bertanding di kerusi yang pernah diisi oleh suaminya sejak 2013 yang lalu.

Pas letak wanita, UMNO juga ikut letak wanita.

Mula-mula Pas tiru UMNO, kemudian UMNO pula tiru Pas.

Secara formal tidak ternampak wujud kerjasama antara kedua-dua parti itu, tetapi dalam soal calon seperti tersirat elemen senada, seirama dan saling bahu membahu antara Pas dan UMNO.

Meletakkan Dr Rani dan Dr Najihatussalehah, kedua-duanya orang luar Sungai Besar dan Kuala Kangsar sedangkan ada calon tempatan yang lebih sesuai, memperlihatkan Pas hanya ingin memecahkan undi dan bukan untuk menang kerusi.

Di Sungai Besar, jika pun Pas ingin meletakkan Adun juga sebagai calonnya, memilih Salehan Mukhyi, wakil rakyat Sabak yang berjiran sebelah dengan Sungai Besar adalah lebih tepat berbanding Dr Rani yang didatangkan lebih jauh iaitu dari Meru.

Begitu juga di Kuala Kangsar, memilih Raja Ahmad Iskandar Raja Yakob, Yang Dipertua Pas kawasan tersebut sebagai calon akan memberi banyak kelebihan kepada Pas jika dibandingkan dengan Dr Najihatussalehah yang berasal dari Pasir Salak.

Tetapi Pas seperti menolak untuk meletakkan calon yang boleh menang di kedua-dua kawasan itu.

Bermakna sekarang pertandingan tiga penjuru tidak lagi dapat dielakkan. Hanya menunggu Pakatan Harapan saja yang belum mengumumkan siapa calonnya.

Adakah Amanah akan bertanding di kedua-dua kerusi itu atau salah satunya akan ditandingi oleh PKR?

Melihat kepada calon UMNO dan Pas yang diketengahkan, peluang Pakatan Harapan untuk menang adalah terbuka di kedua-dua kawasan itu dengan syarat dapat meletakkan calon yang betul dan memastikan undi bukan Melayu benar-benar berpihak kepada mereka.

Berdasarkan UMNO meletakkan Budiman dan Pas meletakkan Dr Rani di Sungai Besar, seiring dengan Pas pula menjadi sebahagian daripada komponen dalam kerajaan negeri, maka lebih sesuai jika PKR bertanding di situ.

Walaupun berlaga sesama sendiri, ia akan memberi kelebihan kepada PKR kerana kerajaan negeri Selangor sedang diketuai Azmin daripada parti tersebut. Meletakkan calon PKR juga seolah-olah untuk menambah seorang lagi wakil kerajaan negeri untuk  bersuara di dalam Parlimen.

Ditambah dengan salah satu DUN dalam Sungai Besar sudah pun dikuasai oleh DAP melalui Adunnya, Ng Suee Lim, kelebihan mendapatkan undi bukan Melayu yang berjumlah 33 peratus nyata berpihak calon PKR yang mewakili Pakatan Harapan.

Namun demikian, sekiranya Amanah mahu diberi peluang bertanding di Sungai Besar, maka parti itu mesti meletakkan kalangan pemimpin utamanya sebagai calon. Lebih baik dan ternampak keberanian jika Mohamad Sabu sendiri yang bertanding.

Di Kuala Kangsar, sebagaimana yang sudah dimaklumi bahawa calon BN, Mastura Mohd Yazid sudah mula dilihat sebagai beban dan mendatangkan banyak masalah, manakala calon Pas pula bukan dipilih untuk menang, ia memberi umpama tuah terbuka buat Pakatan Harapan.

Calon yang paling sesuai mewakili Pakatan Harapan di kawasan itu ialah Nizar Jamaluddin, bekas Menteri Besar Perak sebelum ini. Beliau dikenali ramai di seluruh Perak dan ada rekod kerja sebagai pemimpin yang cukup membanggakan.

Dengan Mastura berasal dari Negeri Sembilan, malah masih ahli UMNO Chembong dalam bahagian Rembau,  Dr Najihatussalehah dari Pasir Salak dan Nizar sebagai Adun Changkat Jering, bekas Menteri Besar Perak itu ternyata lebih hampir dengan Kuala Kangsar berbanding pesaing-pesaingnya.

Calon yang betul, kelemahan calon lawan, kedudukan Pas yang bukan lagi pembangkang berwibawa, banyaknya isu berkaitan Najib Razak yang boleh dimanfaatkan sebagai bahan kempen serta bantuan kempen oleh Tun Mahathir dan grup Selamatkan Malaysia, kecuali memang sudah ditakdirkan Tuhan,  di atas kertas semua kelebihan adalah berpihak kepada Pakatan Harapan sama di Sungai Besar mahu pun di Kuala Kangsar. (SH 31/05/2016).

PEMIMPIN MCA, MIC, GERAKAN HANYA BERETORIK TENTANG HUDUD – TINJAUAN

DEKLARASI RAKYAT SAHKAN TANDATANGAN TULIN, TOLAK DAKWAAN PEMALSUAN

TUMPOR YEOP, AHLI UMNO NEGERI SEMBILAN TANDING DI KUALE KANGSOR....

PRK K. Kangsar: Anak jati minta tukar calon



Maklumat yang diterima lewat malam tadi mengatakan calon BN pada pilihanraya kecil Kuala Kangsar iaitu Mastura Yazid, balu Wan Khairil Wan Ahmad, adalah ahli dan AJK UMNO cawangan Chembong dalam bahagian Rembau, Negeri Sembilan.

Ini bermakna, buat pertama kalinya, bukan saja ahli UMNO di luar Kuala Kangsar, bahkan daripada luar negeri Perak dipilih sebagai calon untuk bertanding di kawasan tersebut.

Tiadakah seorang pun daripada ribuan ahli UMNO Kuala Kangsar yang  sesuai untuk dijadikan calon?

Tiadakah juga seorang daripada ratusan ribu ahli UMNO daripada 24 Bahagian di seluruh Perak yang layak untuk dipertimbangkan menjadi Ahli Parlimen Kuala Kangsar?

Kalau pun pemilihan Mastura kerana beliau seorang profesional, apakah di Kuala Kangsar dan Perak tiada seorang pun yang berkelulusan tinggi begitu?

Berbeza dengan parti-parti lain, UMNO adalah parti yang bersifat tempatan dan menguasai kerajaan dan oleh yang demikian, ia mempunyai struktur yang lengkap di setiap bahagian bagi mengisi pelbagai ruang dan peluang yang sudah tersedia sebagai sebuah kerajaan.

Parti-parti lain, disebabkan mereka tidak bermula sebagai sebuah kerajaan, maka soal calon tempatan atau calon luar tidak pernah berbangkit sama sekali.

Mereka yang berjuang atau bersengkang mata dalam UMNO, selain untuk mengekalkan kuasa, matlamat lain juga ialah untuk mengejar kedudukan sebagai wakil rakyat, exco kerajaan negeri, timbalan menteri, menteri serta pelbagai nikmat lain yang ada dalam pentadbiran kerajaan negeri mahu pun pusat.

Lantaran itu, dalam soal pemilihan calon wakil rakyat, adalah kelaziman ahli daripada bahagian itu sendiri yang akan dipilih. Kalau pun calon tersebut daripada luar, ia biasanya masih daripada negeri yang sama.

Hanya dalam kes-kes terpilih seperti Syed Hamid Albar dan Aziz Shamsuddin misalnya, pernah berlaku orang negeri lain bertanding di negeri lain. Syed Hamid ketika mula bertanding di Kota Tinggi adalah pemimpin UMNO di Bukit Bintang, tetapi kemudian terus berpindah keahlian ke Kota Tinggi. Aziz Shamsuddin pula dari Gopeng bertanding di Shah Alam.

UMNO memang merasakan hak untuk bertanding di sebuah DUN atau Parlimen atau hak ahli bahagian tersebut. Kecuali dalam kes-kes tertentu dan jarang-jarang berlaku, calon daripada luar yang dipilih sebagai calon.

Sebab itu, boleh dikatakan 99 peratus calon-calon UMNO dalam pilihanraya adalah orang tempatan, baik yang berjawatan dalam parti mahupun daripada kalangan yang agak dikenali oleh masyarakat setempat.

Lebih-lebih lagi dalam pilihanraya kecil, anak tempatan lazimnya lebih diutamakan kerana merekalah yang lebih tahu dan faham segala-galanya tentang kawasan yang mereka bertanding itu.

Sekiranya benar Mastura masih ahli UMNO dalam bahagian Rembau, ini adalah anjakan paradigma yang mengkagumkan sekali, bukan saja buat UMNO Kuala Kangsar tetapi juga buat UMNO Perak secara keseluruhannya.

Untuk masa-masa akan datang, oleh kerana UMNO Perak mempunyai 24 bahagian dan lebih besar daripada Negeri Sembilan yang ada 8 bahagian, mereka bukan saja boleh terus menerima kehadiran calon-calon luar, bahkan juga mesti mampu mengekspot anak jatinya sendiri bertanding di negeri-negeri lain.

Kalau tidak, naya orang Perak dan Kuale Kangsor yeop..tumpor le kite...

Atau mungkinkah Tengku Adnan Tengku Mansor, Setiausaha Agung UMNO akan segera melakukan "silap mata" mengenai keahlian UMNO Mastura? (SH 29/05/2016).