Kenapa Anwar perlu segera masuk kabinet?


Mohd Nasaie Ismail  |  Diterbitkan   |  Dikemaskini 
ULASAN | Hasrat menulis isu ini sudah beberapa minggu tertangguh dan kebetulan Datuk Seri Anwar Ibrahim telah diumumkan menang tanpa bertanding sebagai calon Presiden PKR.
Sama ada beliau presiden atau tidak, Anwar perlu berada di dalam kabinet Tun Dr Mahathir Mohamad atas beberapa sebab.
Ketiadaan Anwar dalam kabinet dalam keadaan beliau bebas di luar memimpin PKR dan Pakatan Harapan (HARAPAN) membuka ruang kepada adu domba yang berterusan.
Suka atau tidak, beliau adalah tokoh utama HARAPAN sebaris dengan Mahathir selaku perdana menteri.
Malah namanya disebut sebagai calon perdana menteri selepas Mahathir.
Usaha ataupun sekadar rumus yang didendangkan bahawa Datuk Seri Azmin Ali yang akan menggantikan Mahathir merupakan satu isyarat yang tidak baik yang akan menggangu kestabilan kerajaan baru.
Tambahan, Azmin yang diberikan jawatan menteri kanan dengan pelbagai agensi penting diletakkan dibawah kementerian beliau yang sebelumnya di bawah Kementerian Kewangan ataupun Jabatan Perdana Menteri seolah-olah menghantar isyarat bahawa rumus itu adalah betul.
Walaupun hakikatnya tidak betul.
Dalam masa yang sama, Anwar juga dikatakan sedang mengusahakan pakatan baru dengan Umno dan PAS bagi membentuk kerajaan baru yang akan beliau ketuainya.
Penulis meyakini ia dongeng semata-mata, namun membiarkan Anwar di luar kabinet akan membentuk persepsi ia adalah betul.
Masuknya Anwar ke dalam kabinet akan memadam segala tohmahan yang berlaku.
Perbezaan yang boleh jadi wujud diantara Mahathir dengan Anwar akan selesai di meja mesyuarat mingguan kabinet.
Tidak wujud lagi perbezaan yang dihebahkan kepada media di luar sehingga menampakkan kerajaan baru ini tidak stabil.
Rakyat di luar yang mengundi menolak BN tidak mahu dengar politik dalaman sesama pemimpin negara, tetapi mereka dahagakan perubahan.
Jangan sangka BN yang tewas memberi makna bahawa HARAPAN tidak boleh dikalahkan.
Jika Umno tidak pernah sangka Mahathir boleh bekerjasama dengan Lim Kit Siang, Mohamad Sabu dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dalam pilihan raya yang lalu sehingga buat kali pertamanya BN tumbang, HARAPAN juga tidak boleh menyangka langsung tidak ada gerakan yang sama atau gerakan yang lain yang boleh menumbangkan atau setidaknya menggugat kerajaan mereka.
Jangan pandang enteng kepada pengundi HARAPAN sendiri yang ramainya merupakan golongan yang kritikal dengan kerajaan HARAPAN.
Mereka bukan beku dengan pegangan politik, tetapi cair dan boleh berubah bila-bila masa sahaja. Oleh itu hiruk-pikuk dalaman HARAPAN bukanlah sesuatu yang mereka hendak dengar.
Anwar sebagai menteri pembangunan luar bandar
Maka Anwar perlu masuk ke dalam dan sama-sama memimpin dengan Mahathir.
Di antara kelompok yang tidak sabar-sabar menanti perubahan yang akan dilakukan oleh kerajaan baru ini ialah masyarakat desa.
Mereka terdiri daripada warga Felda, peserta Felcra, pekebun kecil Risda, Lembaga Kemajuan Tengganu Tengah (KETENGAH), Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR), masyarakat kampung di Sabah dan Sarawak yang kebanyakannya terkesan dengan kos hidup dan jatuhnya harga komuditi seperti sawit dan getah perlu diberi perhatian sewajarnya.
Pengundi Felda yang berjumlah 1.6 juta orang telah membuat anjakan perubahan dalam pilihan raya yang lalu sehingga BN kehilangan majoriti di 39 daripada 54 parlimen Felda, dengan HARAPAN sahaja menang di 19 parlimen, Parti Warisan Sabah (WARISAN) dua parlimen, PAS di empat parlimen dan BN menang minoriti di 13 parlimen yang bertembung tiga penjuru.
21 kerusi HARAPAN dan WARISAN yang dimenangi di kawasan Felda itu membentuk kemenangan HARAPAN di peringkat pusat.
Mereka tidak boleh diabaikan begitu sahaja kerana sifat pengundinya yang cair kepartian.
Begitu juga dengan masyarakat desa yang lain yang ramai di kalangan mereka hidup di bawah paras kemiskinan.
Maka, Anwar perlu memainkan peranan dalam kabinet bagi menumpukan kepada perubahan dan pembangunan masyarakat desa tersebut.
Ia akan melengkapi tugas perdana menteri yang bergelut untuk memulihkan ekonomi negara yang sangat mencabar ketika ini.
Maka, jika Anwar menyertai kabinet dan menjadi timbalan perdana menteri sewajarnya beliau memegang juga kementerian yang berkaitan sama ada Kementerian Pembangunan Luar Bandar atau mewujudkan kementerian lain yang akan meletakkan agensi seperti Felda, Felcra, Risda, KESEDAR, KETENGAH, Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (KEJORA) dan agensi pembangunan rakyat desa di Sabah dan Sarawak di bawahnya.
Manakala Yang Berhormat (YB) Rina Harun boleh memegang jawatan di Kementerian Pembangunan Wanita dan Masyarakat bersesuaian dengan kedudukan beliau.
Begitu juga beliau boleh mengetuai Jawatankuasa Khas Kabinet berkaitan pembangunan masyarakat desa ini yang melibatkan beberapa kementerian seperti Kementerian Pertanian, Kementerian Luar Bandar, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan lain-lain kementerian yang akan memberi fokus mencari jalan menyelesaikan masalah rakyat bawahan dalam jangka masa pendek dan panjang.
Mungkin ini dilihat kerja yang tidak popular berbanding kementerian lain yang lebih kanan.
Namun kita boleh merujuk sejarah Tun Razak Hussein dan Tun Ghafar Baba yang memberi fokus khas kepada hal-hal tersebut sehingga ia memberi kesan.
Dalam tempoh hanya beberapa tahun menjadi perdana menteri, Tun Razak telah mengasaskan beberapa institusi penting membangunkan masyarakat desa seperti Felda dan Pertubuhan Peladang.
Anwar lama bermain dengan masyarakat desa semenjak di bangku Universiti Malaya (UM) lagi. Beliau lama dalam kerajaan dan lama juga menjadi pembangkang serta lama dalam penjara.
Moga ia satu ramuan yang baik untuk peka terhadap kehendak masyarakat desa.
Jadikan Morsi sebagai tauladan
Pembangkang ketika ini memainkan isu bangsa, raja dan agama yang tidak dapat tidak, sebilangannya berpunca daripada tindakan tidak cermat seorang dua dalam HARAPAN sendiri.
Kita memahami ia sekadar senjata yang lebih banyak persepsinya daripada kebenaran, namun dibiarkan terus tanpa satu kunci yang kuat akan menatijahkan suasana yang tidak harmoni.
Mungkin ada yang berbeza dengan mengatakan di bawah Malaysia Baru kita tidak boleh melayan lagi isu-isu sebegini.
Tetapi harus diingat perubahan besar yang hendak dilakukan akan tergendala apabila suasana tidak harmoni dibiarkan melanda negara.
Pedoman pemerintahan setahun Presiden Morsi di Mesir patut dijadikan tauladan.
Dikala beliau mengusahakan perubahan, di dalam jentera pentadbiran kerajaan masih dipenuhi penyokong-penyokong kerajaan lama yang melakukan sabotaj secara langsung atau tidak langsung.
Media yang dibiarkan bebas dalam keadaan minda rakyat belum terdidik juga menyumbang kepada suasana yang tidak stabil.
Kerajaan boleh menjawab kerosakan 61 tahun tidak boleh dibaiki dalam masa setahun, tetapi api kemarahan rakyat dibakar oleh media-media yang dibiarkan bebas itu atas nama demokrasi.
Maka di sinilah peranan boleh dimainkan Anwar setidaknya meletakkan seorang tokoh yang dilihat cakna kepada agama dan raja-raja disebelah perdana menteri bagi membuang ketakutan dan kegusaran golongan berkenaan.
Kesimpulannya, kehadiran Anwar dalam kabinet adalah perlu bagi mewujudkan kestabilan kerajaan baru agar perubahan dapat dilakukan tanpa gangguan yang banyak.
Ia tidak harus dilihat atau diusahakan agar kemasukan Anwar ini petanda beliau hendak menggantikan Mahathir dengan segera, tetapi pelengkap kepada kepimpinan sedia ada dan penutup kepada segala adu domba.

MOHD NASAIE ISMAIL merupakan Timbalan Presiden Persatuan Anak Peneroka Kebangsaan (ANAK) serta aktivis Felda dan Felcra. 
Tulisan ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.

SST AKAN TURUNKAN HARGA BARANG, MUKTAMAD

NAJIB HADAPI 125 TAHUN PENJARA JIKA SABIT KESALAHAN

NAJIB DIJANGKA BERDEPAN TUDUHAN LAGI

SEMUA TAK TAHU, APA YANG NAJIB TAHU?



1. Tak tahu....

2. Tak tahu....

3. Tak tahu....

4. Tak tahu....

Habis...kalau semua tak tahu, apa yang Najib tahu ketika jadi Perdana Menteri dulu? (ShahbudinHusin 07/08/2018)

NAJIB AKAN DIPANGGIL DAN DITAHAN ATAS PENGGUBAHAN WANG HARAM





Bung Moktar tarik balik perkataan ‘f*** you’, akui kurang sopan-VIDEO





ANWAR DITERIMA SEBAGAI PANAUNG ALUMNI UM

DSAI bukan sahaja dikunjungi beberapa tokoh agamawan tetapi juga kini mendapat pengiktirafan dari Sultan Perak bagi menaungi Alumni ketiga UM. Lantikan beliau disampaikan oleh Sultan Perak sendiri,Sultan Nazrin Shah.

Penubuhan PAUM pada sekitar tahun 1980an mempunyai matlamat yang jelas dalam membentuk sahsiah dan semangat kekitaaan selain menjaga kebajikan para alumni, dan penyertaan secara elektif dalam wacana wacana segar yang memberi dampak besar kepada masyarakat.

sementara itu pula DSAI juga dikunjumgi oleh tokoh pendakwah Amerika , iaitu Imam Suhaib Webb yang terkenal sebagai pendakwah yang cekal dan teguh dalam membawa risalah Islam.Mereka berbincang tentang Islam di US, dan menegaskan bahawa betapa peri pentingnya aspek kesederhanaan dalam kontek negara madani.

Manakala minggu lepas Tuanku Sultan Johor melawat DSAI di Turki dan bertanya khabar tentang kesihatan beliau.







Antara yang diterima DSAI sebagai alumni ke tiga Uni Malaya, perjumpaan bersama imam US dan lawatan Sultan Johor ke Turki.

HELMI ANTARA ARTIS ZAMAN REFORMASI KINI SERTAI DAP




Beliau menyertai protes dan ada didalam video laungan reformasi

Image may contain: 4 people, people smiling, people standing, suit and text




Melayu semakin menjauh daripada UMNO


Pemimpin UMNO seolah-olah mengakui sudah kehabisan modal politik apabila terus mempergunakan sentimen agama dan kaum untuk meraih simpati politik khususnya setelah tumbang pada Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu.
Tindakan mengapi-apikan dakyah jahat itu kata Ahli Parlimen Raub Tengku Zulpuri Shah bin Raja Puji semakin jelas pada Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Sungai Kandis minggu lalu apabila Ahli Parlimen Pasir Salak membuat tuduhan kononnya Putrajaya sudah ‘dikuasi Kristian’.
“Sejak tewas pilihan raya, kita dapat lihat perangai UMNO semakin menjadi-jadi mempergunakan sentimen perkauman dan agama untuk dapat sokongan khususnya daripada orang Melayu.
“Tapi kita sendiri dapat lihat bahawa orang Melayu sendiri semakin menjauhkan diri dari permainan politik sebegini, BN gagal di Sungai Kandis, pengundi Melayu tolak politik toksik seperti itu” katanya ketika dihubungi Roketkini.
Jelasnya, penolakan terhadap UMNO semakin jelas apabila semakin ramai orang Melayu beralih arah menyertai parti-parti politik lain seperti DAP, PKR, Amanah dan Bersatu.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Timbalan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli berkata, UMNO ibarat memperbodohkan diri sendiri apabila terus menggunakan sentimen perkauman untuk meraih simpati orang Melayu.
“Rakyat tahu, orang Melayu tahu, segala kerosakan, penyelewengan, rasuah yang berleluasa, penghakisan tanah-tanah rizab Melayu dan sebagainaya bukan disebabkan DAP atau pembangkang lain tapi akibat kegagalan serta kelemahan kerajaan BN yang ditunjangi UMNO selama ini.
“Rakyat lihat apa yang mereka lakukan selama ini, tak perlu tuduh orang lain,” katanya lagi

Kerajaan Kelantan digesa iktiraf tanah adat Orang Asli


Ahli Parlimen Batu Kawan Kasthuri Patto hari ini membangkitkan persoalan siapakah dalang di sebalik aksi ganas ‘samseng’ yang bertindak sesuka hati meroboh hadangan dan pondok milik masyarakat Orang Asli Temiar di Gua Musang baru-baru ini.
“Bagaimana mungkin syarikat swasta ini berkelakuan seolah-olah kebal? Bagaimana mereka ini boleh bertindak sesuka hati? Adakah wujud tangan ghaib yang terlibat sama bersekongkol dengan pihak syarikat tersebut?” soalnya dalam kenyataan.
Beliau berkata demikian mengulas kekecohan yang berlaku ekoran tindakan samseng yang dipercayai daripada syarikat perladangan Durian Musang King merobohkan hadangan kira-kira pada jam 6 petang kelmarin.
Lebih dikesalkan, tindakan tersebut berlaku dua hari selepas jaringan Orang Asli kawasan tersebut menerima kunjungan Timbalan Kementerian Pembangunan Luar Bandar Sivarasa Rasiah dan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) membincangkan penyelesaian hak tanah dan keselamatan komuniti di situ.
Tegas Kasthuri Kerajaan Negeri Kelantan pimpinan PAS perlu mengiktiraf, melindungi dan mempertahankan tanah adat yang didiami Masyarakat Orang Asli dan bukannya memberi kuasa kepada syarikat swasta untuk menceroboh atas alasan meningkatkan pendapatan negeri.
“Bagi menghentikan konfrontasi pihak-pihak syarikat dan masyarakat Orang Asli, kerajaan negeri perlu mengiktiraf hak masyarakat Temiar di sini sebagai penempatan mereka dan mengamalkan adat istiadat mereka tanpa sebarang halangan.
“Kerajaan negeri juga perlu mengkaji semula semua kontrak dan kelulusan yang diberikan kepada pihak swasta serta melarang semua bentuk pembalakan di rizab hutan yang didiami masyarakat Orang Asli,” katanya lagi. 

NAJIB DIJANGKA BERDEPAN TUDUHAN LAGI

PENIAGA BERLIAN LUBNAN KESAL DALAM TERPAKSA SAMAN ROSMAH

EQUANIMITY AKAN DIPAMERKAN, KEMUDIAN DILELONG

Tajuddin diberi masa 24 jam tarik balik kenyataan ‘Putrajaya dikuasai Kristian’


Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman digesa supaya menarik balik tuduhan jahat tidak berasas terhadap DAP dan kerajaan dalam masa 24 jam ekoran keceluparannya sewaktu berkempen dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sg Kandis baru-baru ini.
Gesaan oleh Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng ini dibuat berdasarkan dakwaan jahat pemimpin UMNO itu kononnya ‘Orang Kristian sudah mengambil alih kuasa di Putrajaya’.
“Saya menuntut Tajuddin sebagai pemimpin nasional Umno, untuk menarik balik tuduhan tidak berasas dan berniat jahat terhadap DAP dan pemimpinnya dalam masa 24 jam, atau UMNO mengambil tindakan tatatertib terhadap Tajuddin kerana menggalakkan politik bangsa dan agama berdasarkan pembohongan.
“Sekiranya Tajuddin enggan dan memilih untuk berdegil dalam menyebarkan politik pembohongan terhadap DAP, saya tidak mempunyai pilihan selain meminta pihak berkuasa mengambil tindakan jenayah terhadapnya,” katanya.
Lip Eng berkata, Tajuddin seharusnya menyertakan bukti-bukti sekiranya tuduhan celupar itu ternyata mempunyai sebarang unsur kebenaran.
“Sebagai seorang Ahli Parlimen kanan, Tajuddin tidak sepatutnya berbohong dan cuba menanamkan semangat kebencian antara masyarakat pelbagai kaum di Malaysia,” katanya.
Mengulas kemenangan Pakatan Harapan di Sungai Kandis, Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan itu berkata ia merupakan kemenangan moral kepada parti pemerintah.
Keputusan PRK DUN Sg Kandis menyaksikan calon UMNO-BN Datuk Mohd Lokman Noor Adam tewas apabila memperoleh 9,585 undi berbanding 15,427 oleh calon HARAPAN Ustaz Mohd Zawawi Ahmad Mughni
“Keputusan ini mencerminkan rakyat semakin menolak amalan politik kebencian oleh pembangkang. BN tewas di 14 daripada 19 pusat daerah mengundi di Sungai Kandis.
“Antaranya, termasuk di Kampung Jawa, di mana ucapan berbaur kebencian itu dibuat.
“Kemenangan HARAPAN pada PRK Sungai Kandis mencerminkan fakta bahawa pengundi Malaysia, khususnya orang Melayu, matang dan rasional,” katanya lagi. –