MUHYIDDIN YASSIN DAN PN HARUS TERIMA HAKIKAT ANWAR IBRAHIM PUNYAI MAJORITI KUKUH SEBAGAI PM





1. Tindakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Muhyiddin Yassin menghina kewibawaan Yang di-Pertuan Agong (YDPA) terdahulu, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah amat mendukacitakan. Hakikatnya, Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10 selepas meneliti sokongan ahli-ahli Parlimen dan pandangan pakar-pakar Perlembagaan  dan Majlis Raja-raja. 


2. Pakatan Harapan selaku gabungan yang telah memenangi kerusi terbanyak dalam Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 iaitu 82 kerusi telah diberikan peluang membentuk kerajaan, namun PN dan Muhyiddin telah menolak pembentukan kerajaan perpaduan walaupun idea ini telah diutarakan YDPA ketika itu, Sultan Abdullah.


3. Anwar Ibrahim telah membuktikan bahawa beliau mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen menerusi usul percaya pada 19 Disember 2022, dan ketika ini disokong 153 ahli Parlimen. Tindakan ini adalah selari dengan maksud Perlembagaan Persekutuan terutama Perkara 40 (2) dan 43 (2). Namun, ketika berlaku langkah sheraton dan sepanjang pentadbiran Muhyiddin, tidak pula berlaku usul undi percaya di Parlimen, kenapa Muhyiddin tidak berani ketika itu?


4. Proses keabsahan sokongan majoriti seseorang PM ini adalah sangat penting dalam amalan demokrasi tulen bagi mewujudkan kestabilan politik dalam keadaan tidak ada mana-mana parti memperolehi majoriti cukup (112 kerusi Parlimen). Kestabilan politik di bawah pimpinan PM Anwar Ibrahim telah mendorong Malaysia mencatatkan kejayaan dalam pelbagai aspek. 


5. Antaranya, buat dua suku tahun berturut-turut, KDNK negara telah melangkaui jangkaan pakar. Paling baru, KDNK Malaysia melonjak 5.9% pada suku kedua 2024. Susulan itu, OCBC, RHB Research, Hong Leong Investment Bank Research dan BMI Research, antara lain, telah menaikkan ramalan pertumbuhan KDNK untuk tahun ini.


6. Pasaran saham Bursa Malaysia juga sedang melonjak. Sejak pertengahan 2023 sehingga sekarang, FBM KLCI telah meningkat lebih 19%. Ringgit pula telah mengukuh ke paras 4.37 berbanding US dollar dan ringgit adalah matawang paling berprestasi positif tahun ini dalam kalangan matawang Asia.


7. Muhyiddin dan PN harus berhenti membangkitkan isu keabsahan PM ini. Berhentilah daripada mengelirukan rakyat dengan fakta dan undang-undang yang tidak menyakinkan. Rakyat seharusnya dididik untuk fokus kepada usaha membangunkan negara dan pemulihan ekonomi. Agenda ini yang sedang diusahakan PM Anwar Ibrahim bersama pasukan kerajaan Perpaduan seharusnya mendapat sokongan dan pengiktirafan semua pihak. 


Muhammad Faiz Fadzil

Setiausaha Agong Amanah

20hb Ogos 2024



No comments: