NAK HARAPKAN ORANG KITA TAK ADA LE- ORANG KITA SUKA BUAT TIKTOK FITNAH SAJA....KERJA SENANG..DOSA PAHALA SEBELAH...

 

Kurang pekerja antara faktor masalah bekalan telur ayam.




Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu berkata
 masalah utama pengeluar telur ayam selain kenaikan harga makanan
 adalah kekurangan pekerja.

SEREMBAN: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan akan mengatasi masalah kekurangan pekerja yang menjadi antara faktor kekurangan bekalan telur ayam menjelang Ramadan.

Menterinya Mohamad Sabu berkata pihaknya bersama Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Sumber Manusia sedang berusaha menambahkan pekerja dalam sektor pertanian dan sektor lain bagi tujuan itu.

“Kementerian sedang mengatasinya (masalah bekalan telur ayam), memang setiap kali menjelang perayaan, penggunaan telur ayam lebih tinggi, masalah kekurangan telur ini juga dihadapi negara lain.

“Kebimbangan tetap ada, masuk sahaja Ramadan, penggunaan telur dan bahan yang lain akan meningkat, sebab itu kita kena bincang dengan pihak pengusaha supaya melipat gandakan pengeluaran daripada sekarang, itu kita harapkan.

“Kalau mereka tidak cukup pekerja kita cuba (atasi) dengan memberi laluan mudah untuk menambahkan pekerja, masalah utama pengusaha selain kenaikan harga makanan adalah kekurangan pekerja,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Palestin Kuala Lumpur (ICPKL) 2023.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan media tempatan mengenai keluhan pengusaha kuih raya yang bimbang perniagaan mereka terjejas susulan kekurangan bekalan telur ayam menjelang musim perayaan Aidilfitri nanti.

Sementara itu Mohamad berkata kerajaan Malaysia akan terus menyokong dan bersuara dalam memperjuangkan hak rakyat Palestin.

Katanya program tentang kesedaran memperjuangkan rakyat Palestin perlu diteruskan dan kini semakin banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari negara Eropah memberikan sokongan kepada rakyat Palestin.

“Ahli Parlimen di Eropah juga berani mengecam sikap kerajaan mereka yang terus membantu kerajaan Israel yang membunuh rakyat Palestin setiap hari,” katanya.

Dalam pada itu Penasihat ICPKL 2023 Fauziah Mohd Hasan berkata 500 delegasi dari 20 negara turut menyertai program hari ini yang bertemakan “The Caged Eye”, iaitu simbolik solidariti kepada penderitaan tahanan rakyat Palestin dikurung dalam penjara rejim Zionis.

Fauziah berkata 4,450 warga Palestin dipenjara rejim Zionis termasuk 160 kanak-kanak dan 32 wanita.