Memendekkan sidang Parlimen satu bentuk penipuan, kata Anwar


Anwar Ibrahim turut mengingatkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan kerajaan supaya tidak memperalatkan Speaker Dewan Rakyat.

PETALING JAYA: Ketua pembangkang Anwar Ibrahim membidas tindakan kerajaan memendekkan sidang Parlimen selama lima hari seperti yang diumumkan semalam.

Beliau menyifatkan tindakan kerajaan itu satu bentuk penipuan.

“Memendekkan sidang, menyegerakan kelulusan beberapa undang-undang ordinan termasuk Ordinan Darurat dan tidak ada petunjuk akan ada perbahasan terbuka.

“Untuk apa sidang Parlimen ini?” soalnya di Facebooknya.

Semalam, Pejabat Perdana Menteri (PMO) berkata Parlimen akan bersidang untuk suatu “mesyuarat khas”, selama lima hari bagi Dewan Rakyat mulai 26 Julai manakala Dewan Negara pula selama tiga hari mulai 3 Ogos.

PMO memaklumkan kerajaan bersetuju menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk Mesyuarat Khas Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 itu.

Dalam pada itu, Anwar mengingatkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan kerajaan supaya tidak memperalatkan Speaker Dewan Rakyat.

Beliau turut mengingatkan, pembangkang tidak akan pandang ringan soal Covid-19, kebajikan rakyat, peruntukan pada rakyat dan salah guna kuasa.

“Ini bukan soal ringan. Jangan cuba mengguna peraturan cara sesuka hati tanpa menekankan prinsip asas demokrasi Parlimen.

“Iaitu menggunakan Parlimen sebagai medan bahas untuk jaga Perlembagaan negara, menyuarakan aspirasi rakyat dan menentukan pemerintahan itu absah,” katanya.

No comments: