Husam Musa AMANAH-PAS Pemain Simpanan Kerajaan BN Najib Razak 1MDB Di Kelantan
VIDEO MENARIK: KISAH PAS MAKAN KELILING DANCERAMAH HUSAM MUSA
Husam Musa AMANAH-PAS Pemain Simpanan Kerajaan BN Najib Razak 1MDB Di Kelantan
HENTI BELI PT EAGLE, CARI DI MANA MODAL RM2 BILION? – ANAK
Henti beli PT Eagle, cari di mana modal RM2 bilion? – ANAK
Kerajaan digesa campur tangan agar Felda menerusi anak syarikat, Felda Investment Corporation(FIC) Properties, membatalkan perjanjian jual beli kepentingan 37% dalam ladang PT Eagle High Plantation, milik Rajawali Group yang berpengkalan di Jakarta.
Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan(Anak) Mazlan Aliman berkata, sesuatu yang melucukan apabila Felda Global Venture Holding(FGVH) pada tahun 2015 beria ia mahu membeli kepentingan diatas ladang seluas 320,000 hektar itu dan membatalkannya, kini, FIC pula berbuat demikian.
“Untuk pengetahuan, Pengerusi kepada FGVH dan FIC adalah orang yang sama, Tan Sri Isa Samad,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Justeru ujarnya, yakin proses due diligence(jika dibuat) yang mengambilkira soal perundangan, kedudukan saham dan aset serta penilaian atas ladang tidak dilakukan dengan telus.
“Kita bimbang pembelian Ladang PT Eagle High Plantation yang nilainya begitu mahal dibuat atas agenda peribadi. Kita juga maklum, empayar Rajawali Group yang dimiliki Peter Sondakh ada kaitan dengan pemimpin utama Malaysia.
“Adalah lebih baik FIC fokus kepada memperkasa bidang perhotelan dan hartanah seperti core business mereka yang pada ketika ini pun sedang dipersoalkan tahap pencapaiannya.
“Bahkan, FIC baru sahaja mengambilalih projek Perumahan Generasi Baru Felda(PGBF) dari Felda Engineering Sdn Bhd. Lebih baik selesaikan segera masalah 11,000 unit rumah Gen 2 yang terbengkalai,” ujarnya.
Anak juga berpandangan jika FGVH yang dikatakan mempunyai kepakaran dalam bidang perladangan membuat keputusan membatalkan pembelian, apa kelebihan yang ada pada FIC?
“Adalah amat malang dan menyedihkan di kala isu kritikal seperti FGV, pembayaran hasil, hutang peneroka, penipuan kadar perahan Gred, ketidakstabilan harga getah dan perumahan Generasi Baru Felda sedang menyelubungi warga Felda, Datuk Seri Mohd Najib Razak dan Tan Sri Isa Samad yang bertanggungjawab keatas Felda tidak sensitif langsung bahkan semakin ghairah melakukan pelaburan baru.
“Setakat mana gembar gembur kejayaan FGV, yang kini warga Felda menanggung akibatnya? Sejauh mana bayaran balik pinjaman RM6 bilion dilakukan kepada KWSP?
“Anak ingin bertanya, jika pembelian ini dimuktamadkan, di mana US$505.4(RM2.26 bilion) mahu diperolehi?Adakah pinjaman baru dilakukan?” soalnya.
Katanya lagi, pertubuhan itu akan menggerakkan kempen dengan dokongan parti politik dan NGO bagi mempastikan pembelian ladang Pt Eagle High Plantation ini dibatalkan.
“Cukup lah derita dan airmata para peneroka akibat percaturan salah penyenaraian FGV di Bursa Malaysia pada 28 Jun 2012 lalu.
“Berapa nilai saham FGV hari ini?,” soalnya lagi.
2016: RINGGIT MEROSOT, EKSPORT TAK BERTAMBAH, PENGANGGURAN MEMUNCAK
2016: Ringgit merosot, eksport tak bertambah, pengangguran memuncak
Tinggal empat hari sahaja lagi sebelum memasuki tahun baharu 2017. Tahun 2016 akan diingati dengan pelbagai peristiwa ekonomi, sosial dan politik yang buruk di Malaysia
Bagi Pengarah Komunikasi AMANAH Selangor, Jamzuri Ardani tahun 2016 malap dan menyaksikan seramai 70,000 dari 14 juta tenaga kerja negara tidak mempunyai pekerjaan berikutan kadar pengangguran meningkat 0.5 peratus berbanding dua tahun lepas menjadikannya 3.5 peratus pada tahun ini.
Dari sudut asas ekonomi pula, katanya, kejatuhan nilai ringgit sepatutnya meningkatkan permintaan barangan keluaran tempatan untuk dieksport ke luar negara, tetapi ianya tidak berlaku.
“Malah, lebih banyak majikan dari kalangan syarikat-syarikat asing yang gulung tikar. Ramai pekerja yang hilang pekerjaan.
“Syarikat tempatan juga banyak yang tidak mampu bertahan akibat kos perniagaan yang terus meningkat,” ujar beliau ketika dihubungi Amanahdaily.
Jamzuri berkata, golongan professional sudah mula membuka gerai jualan untuk menyambung kehidupan yang semakin menghimpit.
Kerajaan yang menjadi majikan terbesar negara pula katanya, mula membekukan perjawatan baru dan hanya menggantikan kakitangan yang bersara.
Tambah beliau lagi, tindakan Kesatuan Sekerja Kakitangan Awam yang mahukan lanjutan umur persaraan pula hanya lebih memburukkan keadaan.
“Kos pendidikan tinggi semakin meningkat, tetapi nilai kelulusan dan ijazah para graduan semakin mengecil akibat peluang pekerjaan yang semakin menyempit,” tegas beliau.
“Mampukah kerajaan pimpinan (Dato Seri) Najib Razak membawa negara keluar dari himpitan ekonomi dan sosial yang semakin menekan rakyat ini?
“Saya tidak nampak sikap kerajaan dan Najib boleh membantu menangani masalah ini. PM masih berada dalam ‘denial syndrome’.
“Dia masih melihat rakyat masih mampu makan KFC, mampu pergi bercuti, dan mampu membeli belah di pasaraya-pasaraya,” ujar beliau.
Padahal, kata Jamzani, kesempitan rakyat terus berada dalam lingkaran “blind spot” PM dan ini sikap yang amat membimbangkan beliau.
Katanya, Najib masih berfikir bahawa pemberian BR1M adalah jawapan kepada masalah ini dan beliau bukan sahaja silap, malah sangat tidak betul.
“Saya menyeru semua karyawan politik negara memberikan fokus kepada masa depan negara, masalah rakyat, krisis ekonomi dan sosial, dan perpaduan rakyat.
“Negara ini mesti diselamatkan!” tegas beliau lagi. Amanah daily
DI MANA LEBIH BANYAK PAHALA, BERIBADAH ATAU MELAWAN RASUAH?
Mufti Perak, Harussani Zakaria dilaporkan meminta Tun Mahathir Mohamad supaya berhenti daripada terus mencari jalan untuk menjatuhkan kerajaan pimpinan Najib Razak, sebaliknya menggunakan baki usia yang ada untuk memperbaiki serta meningkatkan amalan seharian.
Saya nasihatkan berhentilah mencari jalan yang bukan-bukan untuk menjatuhkan orang lain, lebih baik beramal di hujung usia yang masih ada, kata beliau.
Seperti biasa, inilah selalunya wajah sebenar para mufti, kecuali seorang dua iaitu diam atau tidak berani menegur segala kebejatan pemerintah, tetapi pantas membuka mulut kepada orang lain yang berani mengkritik kerajaan?
Apakah saranan agar memperbaiki amalan sendiri itu suatu perkara yang betul dan perlu diutamakan pada pandangan ulama dan agamawan apabila berdepan kekalutan yang kronik dalam negara?
Apakah Harussani faham mengenai skandal 1MDB, SRC International, pemecatan Peguam Negara, perlambakan kontrak-kontrak kerajaan pada harga tinggi kepada China, pembelian Eagle High oleh Felda yang lebih RM1.43 bilion berbanding harga pasaran serta seribu satu kemungkaran yang lain yang berlaku silih berganti?
Bila Harussani mahu menegur Najib berkaitan semua perkara di atas, termasuk berkaitan pembaziran serta kemewahan melampau yang menjadi budaya keluarga Perdana Menteri sejak menduduki Seri Perdana?
Tidakkah apabila Tun Mahathir bersuara, beliau sebenarnya telah melakukan amalan fardu kifayah yang turut mendatangkan pahala, bukan saja kepada dirinya tetapi juga kepada orang lain?
Selain itu, mana Harussani tahu Tun Mahathir tidak memperbaiki dan meningkatkan amalan peribadinya di hujung usia?
Apakah pahala dan bekalan ke akhirat hanya ada di atas sejadah sahaja?
Antara meningkat dan memperbaiki amalan peribadi dengan berjuang dalam konteks yang lebih besar untuk menyelamatkan negara, yang manakah memberi pahala lebih besar?
Apabila Harussani menegur Tun Mahathir, sebenarnya rakyat negara ini lebih banyak lagi pertanyaan untuk ditujukan kepadanya sehingga ada yang bertanya, sudah cukupkah amalan peribadi mufti itu sendiri untuk menampung dosa atas sikapnya yang lebih condong kepada kerajaan kleptokrasi sekarang ini?
Apakah menegur Tun Mahathir yang sedang berjuang menyelamatkan negara memberi pahala lebih besar bagi Harussani berbanding bersekongkol dan mengampu kerajaan dan pemimpinnya yang terang-terang kesalahannya diperkatakan di seluruh dunia? (SH 28/12/2016).
WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI: TIGA PENJURU PUN BOLEH MEMBUATKAN NAJIB KECUNDANG ...
WARTAWAN RASMI LAMAN REFORMASI: TIGA PENJURU PUN BOLEH MEMBUATKAN NAJIB KECUNDANG ...: Berdasarkan congakan di atas kertas dan sifir matematik yang mudah, sesiapa pun akan mengatakan pertandingan tiga penjuru dalam p...
TINJAUAN PENDAPAT: ANWAR MASIH DIHARAPKAN JADI PM
Tinjauan pendapat: Anwar masih diharapkan jadi PM
Datuk Seri Anwar Ibrahim masih popular dalam kalangan masyarakat Malaysia dan relevan dalam perkembangan politik terkini, berdasarkan tinjauan pendapat.
Institut Darul Ehsan (IDE) mendapati 40% responden bersetuju bahawa Anwar perlu menerajui pimpinan Kerajaan Malaysia untuk mengembalikan kecemerlangan negara.
44% responden juga bersetuju bahawa pembebasan DSAI mampu menyatukan kembali parti-parti yang menentang BN dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Ketokohan beliau juga terserlah apabila digandingkan dalam soalan berhubung dengan tokoh pembangkang yang mampu menjadi pemimpin Malaysia.
Anwar menduduki tangga tertinggi 30% lebih popular selepas Tun Dr Mahathir Mohamad dan tokoh-tokoh lain.
Beliau juga menduduki tangga tertinggi sebanyak 29% menjadi pilihan pengundi Belia Selangor.
Melihat kepada perincian sokongan berdasarkan kaum, Anwar masih lagi tinggi merentasi 3 kaum terbesar iaitu Melayu, Cina dan India.
Tinjauan ini dijalankan pada 26 Ogos 2016 hingga awal September 2016 melibatkan 1761 orang responden.
Tinjauan dilakukan secara bersemuka melibatkan kaum Melayu, Cina dan India di 56 Dewan Undangan Negari (Dun) Selangor.
JENTERA PAS BERHIJRAH KE AMANAH, SEDIA HADAPI PRU – MAT SABU
Jentera Pas berhijrah ke Amanah, sedia hadapi PRU – Mat Sabu
Parti Amanah Negara (Amanah) yakin parti itu serta Pakatan Harapan tidak akan berhadapan dengan masalah kekurangan jentera pilihan raya bagi menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Menurut Presiden Amanah Mohamad Sabu, hal itu kerana kebanyakan jentera Pas telah beralih ke Amanah dan akan bergrak kerja untuk Pakatan Harapan pada PRU14.
Tegas beliau, kini jentera pilihanraya itu kini sudah berhijrah bersama Amanah dan parti-parti yang menunjangi Pakatan Harapan tidak perlu gusar, bimbang ketiadaan jentera yang mantap untuk menangani segala kerja pilihanraya dalam PRU14 nanti.
“Dulu-dulu PKR letak poster di markas-markas Pas dan jentera pilihan raya Paslah yang telah menyempurnakan kerja-kerja menampal poster, mengedar risalah dan lain-lain kerja pilihan raya.
“Kini jentera pilihan raya itu sudah berhijrah bersama Amanah dan parti-parti yang menunjangi Pakatan Harapan tidak perlu gusar, bimbang ketiadaan jentera yang mantap untuk menangani segala kerja pilihan raya dalam PRU14 nanti,” katanya ketika berucap merasmikan temu rapat Biro Pilihan Raya Amanah Nasional di Klang hari ini.
Beliau juga berkata, selain jentera pilihan raya Pas juga kehilangan penceramah-penceramah yang biasa memenuhi program ceramah parti itu suatu ketika dahulu.
“Orang tanya, mengapa Pas tak ada buat ceramah lagi macam dulu-dulu. Macam mana nak ada, semua penceramah sudah berada dalam Amanah.
“Ada juga orang tanya, mengapa Pas sekarang dah tak ada program-program pilihan raya. Macam mana nak ada, semua jentera pilihan raya sekarang sudah duduk dalam Amanah,” katanya.
TIGA PENJURU PUN BOLEH MEMBUATKAN NAJIB KECUNDANG JUGA
Berdasarkan congakan di atas kertas dan sifir matematik yang mudah, sesiapa pun akan mengatakan pertandingan tiga penjuru dalam pilihanraya akan datang bakal menzahirkan kepada dua kemungkinan.
Pertama, UMNO dan BN akan mendapat kelebihan serta mampu terus mengekalkan kuasanya sebagai kerajaan.
Kedua, Pas bakal memenangi lebih banyak kerusi dan lebih terdedah kepada kemungkinan menjadi kuasa penentu kepada BN dan Pakatan Harapan jika masing-masing kekurangan kerusi untuk membentuk kerajaan.
Hampir tidak ada yang menaruh keyakinan bahawa pertandingan tiga penjuru akan turut sama memberi kelebihan kepada Pakatan Harapan yang kini telah bekerjasama secara rasmi dengan PPBM yang dipengerusikan oleh Tun Mahathir Mohamad.
Rata-ratanya mengatakan pertandingan tiga penjuru hanya memusnahkan harapan pembangkang untuk mengambil alih kerajaan dan menyingkirkan Najib Razak.
Atas sebab yang samalah maka PPBM masih berusaha untuk memujuk Pas agar sedia bekerjasama dan menjadikan formula satu lawan satu melawan BN menjadi kenyataan.
Atas sebab yang sama jugalah Najib dan UMNO begitu membelai dan menjaga hati Pas agar parti itu kekal dengan pendiriannya ingin bersendirian.
Sehingga ini, bekerjasama atas nama Islam seperti Akta 355 atau Rohingya adalah antara pendekatan Najib dan UMNO terhadap Pas untuk menjarakkannya daripada bersama pembangkang dan agar terus bertanding sebagai blok ketiga.
Melihat keadaan yang sama, Pas juga lebih ingin bersendirian kerana sepertimana yang pernah disebut oleh Tuan Ibrahim Tuan Man, jika BN dan parti-parti pembangkang masing-masing tidak cukup kerusi untuk menubuhkan kerajaan selepas pilihanraya nanti, kedudukan Pas akan menjadi rebutan dan harganya menjadi lebih mahal.
Benarkah semua congakan dan sifir matematik itu akan menjadi kenyataan?
Membuat pilihan dalam pilihanraya akan datang sepatutnya menjadi perkara yang paling mudah bagi rakyat Malaysia. Asas pilihan sebenarnya hanyalah antara baik dengan jahat, buruk dengan cantik dan hitam dengan putih.
Jika pun ada yang mengatakan kerajaan baru yang bakal mengambil alih nanti belum tentu lebih baik daripada BN yang sudah memerintah lebih 60 tahun, sekurang-kurangnya kejahatan dan amalan pencurian mereka belum lagi terbukti.
Maka, apakah kita masih mahu mengekalkan kerajaan yang telah terbukti banyak menyusahkan rakyat dan pemimpinnya pula semerbak di seluruh dunia dikaitkan dengan amalan rasuah dan kleptokrasi berbanding dengan bakal kerajaan yang belum terbukti gelap mata terhadap kuasa?
Petunjuk bagaimana rakyat memilih pemimpin dan kerajaan baru yang dilihat tegas, berprinsip dan mempunyai aura pembaharuan terbukti dalam pemilihan Presiden di Filipina dan Amerika Syarikat baru-baru ini.
Rodrigo Duterte bukanlah sosok yang popular pada awalnya, tetapi ketegasannya untuk memerangi jenayah, malah sehingga membunuh mereka yang terlibat dengan rasuah dan pengedaran dadah membuatkan beliau akhirnya menjadi pilihan rakyat Filipina.
Begitu juga dengan Donald Trump, beliau sentiasa tidak popular dan di belakang berbanding Hillary Clinton, namun ketegasannya mahu mengembalikan kegemilangan Amerika melalui beberapa janji yang dianggap drastik telah menjadikannya pilihan rakyat negara itu.
Di Malaysia, perkara yang sama tidak mustahil akan berlaku. Sama ada dua penjuru atau tiga penjuru, jika Pakatan Harapan bersama PPBM sentiasa konsisten dalam perjuangan untuk memerangi rasuah, membawa semua pesalahnya ke mahkamah, mengembalikan negara gemilang semula, yakinlah rakyat pasti akan bersama dengannya.
Dengan kempen untuk menyelamatkan negara itu, bukan saja Najib, UMNO dan BN akan ditolak, malah Pas yang ghairah bertanding sendirian dengan harapan sama ada membantu kerajaan yang ada terus kekal berkuasa atau ingin menjadikan harga mereka mahal nilainya, kedua-duanya pasti akan ditolak sama.
Ini kerana rakyat hanya memilih satu antara dua dan tidak mungkin memilih dua antara tiga. Pas yang hanya bertanding 70 kerusi dan tidak mampu membentuk kerajaan secara sendirian, adalah lebih mungkin ditolak juga bersama pihak yang dianggap jahat, hitam dan tidak baik itu.
Rakyat juga sedar, kadangkala hanya dengan pertukaran kerajaan memungkinkan kekotoran dalam negara dapat dibersihkan dengan lebih baik lagi. (SH 18/12/2016).
TAK MAKSUM PULAK!!
ADAKAH INI FITNAH-BUKAN ORANG LAIN CAKAP..AHLI PAS YANG CAKAP
Dalam nada yang lebih lunak dan berhemah, Naib Presiden Pas, Idris Ahmad mengakui parti itu dan ahlinya tidak maksum dan tetap boleh dikritik sekiranya mereka melakukan sebarang kesilapan.
Beliau juga bersikap terbuka jika ada mana-mana pihak yang membenci parti berkenaan.
ADAKAH INI FITNAH
Bagaimanapun Idris mengingatkan, ia bukan bermakna parti serta anggotanya boleh difitnah dengan maklumat yang salah.
Ohhhh....sedar pulak tidak maksum!
Tetapi, kenapa meletakkan syarat kepada pihak mesti menjauhi DAP dan Amanah sebelum pun perundingan ke arah kerjasama diadakan?
Tidakkah ia seolah-olah Pas dan pemimpinya maksum sehingga hanya mereka syarat mereka yang mesti dipatuhi?
Kenapa juga meletakkan syarat wajib "jangan kacau 70 kerusi kami" kepada parti-parti lain yang mahu bekerjasama?
Apakah Pas begitu maksum sehingga 70 kerusi yang ditandinginya pada 2013 lalu tidak boleh diusik sama-sekali, walaupun hakikatnya hanya menang 21 saja daripadanya?
Apakah kenyataan pemimpin-pemimpin Pas agar menjauhi DAP dan Amanah serta mahu 70 kerusi yang didakwa miliknya tidak diganggu, merupakan fitnah dan berupa maklumat yang salah?
Kata tak maksum, tapi kenapa lagak dan gaya selama ini seolah-olah sangat maksum dan semua orang lain tidak maksum? (SH 14/12/2016).
PAS TIDAK KELIRU, JAWATAN TIMBALAN PERDANA MENTERI SEDANG MENUNGGU...
Walaupun dikecam oleh Tun Mahathir Mohamad sebagai parti yang keliru, Pas tidak mustahil akan memilih untuk terus menjadi parti yang keliru dan mengelirukan sehingga pilihanraya umum akan datang.
Dengan menjadi parti yang keliru, Pas bukan saja dapat mengelirukan rakyat, bahkan penyokongnya sendiri akan turut dikelirukan.
Mengelirukan rakyat, terutama penyokong Pas di kampung-kampung adalah perkara yang paling diharapkan oleh Najib Razak kerana dengan kekeliruan itulah yang akan menyebabkan UMNO dan BN mampu menang pilihanraya dan dapat terus berkuasa.
Tetapi, adakah Hadi Awang keliru dengan pendiriannya itu?
Jawabnya, tentu saja tidak.
Pas adalah parti politik dan Hadi adalah pemimpin politik. Pas dan Hadi tidak berbeza dengan parti politik atau pemimpin politik yang lain yang ada di dunia moden ini. Semua mereka adalah sama.
Parti politik dan orang politik sentiasa kemaruk kuasa. Cuma kadang-kadang mereka pandai mengelirukan rakyat di sebalik keinginan terhadap kuasa itu.
Apabila Pas kekal menjadi parti yang keliru dan pertandingan menjadi tiga penjuru, kebarangkalian untuk UMNO dan BN menang lebih kerusi dalam PRU 14 nanti adalah tinggi kerana kejayaannya mengelirukan pengundi.
Dengan pengundi keliru kerana sesama pembangkang berlawan tiga penjuru, UMNO dan BN sebagai kerajaan sedia ada lebih mudah lagi menjalankan kerja-kerja pengeliruan mereka bagi tujuan mengekalkan kuasa.
Tetapi, disebabkan parti-parti komponen BN seperti MCA, MIC dan Gerakan "sudah mati" serta kerusi-kerusi di Sabah dan Sarawak dijangka turut mengalami perubahan, Najib mungkin tidak mampu menubuhkan kerajaan secara sendirian dalam konteks BN.
Dengan kedudukan pengundi keliru, terkeliru atau sengaja dikelirukan, Pas sebaliknya mampu mengekalkan kemenangan di kawasan-kawasan di mana ia sedia kuat selama ini.
Dengan itu, selain Najib dan UMNO boleh terus berkuasa, Pas juga mampu terus berkokok di Kelantan, Terengganu dan kawasan-kawasan majoriti Melayu yang lain.
Namun, berikutan ketidakmampuan menubuhkan kerajaan itu, Najib dan UMNO tidak ada pilihan selain mengajak Pas mewujudkan kerjasama bagi menubuhkan kerajaan campuran.
Hubungan yang sudah sedia terjalin antara Najib dan Hadi serta mungkin juga disebabkan bantuan-bantuan lain yang diberikan kepada Pas sewaktu pilihanraya diadakan, akan menjadikan proses menubuhkan kerajaan campuran itu lebih mudah serta mustahil ditolak.
Jika dengan persetujuan Pas itu menyebabkan Najib dapat kekal lagi sebagai Perdana Menteri, Hadi sudah pasti lebih layak diberikan jawatan Timbalan Perdana Menteri berbanding Zahid Hamidi. Hadi sudah dianggap lebih berjasa besar jika dibandingkan dengan Zahid Hamidi.
Untuk mengukuhkan lagi kerjasama itu, beberapa pemimpin Pas lain akan turut dijadikan menteri dan timbalan menteri.
Dengan Hadi menjadi Timbalan Perdana Menteri, ia secara sendirinya menyebabkan Zahid Hamidi tercicir daripada jawatannya. Adalah suatu pembaziran pula kiranya diwujudkan dua jawatan Timbalan Perdana Menteri dalam satu masa, lebih-lebih lagi jika kedua-duanya adalah pemimpin Melayu.
Mencicirkan pemimpin UMNO sendiri daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri secara automatik juga mengelakkan Najib daripada ancaman dan gugatan untuk terus berkuasa dengan lebih lama. Sesiapa pun yang menjadi Timbalan Presiden UMNO selepas itu, Najib tidak perlu bimbang lagi dengannya.
Beliau boleh memilih sendiri bila waktu mahu bersara atau mahu berkuasa hingga ke hujung nyawa.
Ini kerana Timbalan Presiden UMNO bukan lagi penjawat nombor dua dalam kerajaan, sebaliknya hanya menteri biasa yang tidak boleh menggugat sama-sekali kedudukan Perdana Menteri. Kerusi Timbalan Perdana Menteri sudah jadi milik Pas sebagai rakan kongsi.
Perlahan-lahan seterusnya, Najib mempunyai cukup ruang dan masa untuk mengatur Hishammuddin, sepupunya untuk mengambil alih tempatnya nanti. Maka, selamatlah Najib daripada sebarang pendakwaan untuk selama-lamanya.
Hanya Pas yang keliru, tetapi Hadi dan Najib tidak keliru apabila sama-sama setuju untuk menjadikan parti Islam itu terus keliru. (SH 11/12/2016).
LIVE PERSIDANGAN AMANAH HARI KE 2
https://www.facebook.com/ghbmediatv/?fref=ts
GHB MEDIA TV shared Parti Amanah Negara's live video. SKROLL KE BAWAH
PRU: Amanah setuju tanding bawah 1 logo
| December 10, 2016
Mohamad Sabu berkata ia sekali gus memudahkan pembangkang menumbangkan Umno dan BN dalam pilihan raya akan datang.
SHAH ALAM: Amanah bersetuju gabungan parti pembangkang di bawah Pakatan Harapan (PH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) bertanding di bawah satu logo, kata Mohamad Sabu.
Presiden Amanah itu berkata usaha tersebut sebagai persediaan pembangkang menumbangkan Umno dan BN pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.
“Amanah bersama PH dan PPBM komited untuk menubuhkan kesatuan pembangkang bagi menghadapi Umno-BN pada PRU14 dengan penetapan 1 logo, 1 manifesto dan gerak kerja,” katanya ketika berucap merasmikan Konvensyen Nasional Amanah di Shah Alam hari ini.
Bulan lalu, Penasihat PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad ketika berucap pada Konvensyen PH berkata pembangkang harus bertanding di bawah 1 logo dan 1 manifesto seperti BN untuk menang pilihan raya akan datang.
Katanya, kunci kejayaan parti pembangkang pada pilihan raya akan datang ialah penyatuan semua parti.
Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata bagi memastikan Umno tumbang, seluruh parti pembangkang perlu membentuk kerjasama politik yang tersusun serta mempunyai hala tuju jelas.
“Sesebuah kerjasama politik yang ingin menjadi pesaing kepada Umno, BN perlu mempunyai struktur dan dasar yang jelas, serta diikat dengan perjanjian dan persefahaman utuh.
“Hanya kerjasama politik seperti ini yang memberi jawapan kepada dilema politik di negara kita,” katanya.
Turut hadir dalam konvensyen Amanah ialah Dr Mahathir, Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar dan Penasihat DAP Lim Kit Siang.
APA KHABAR KELUARGA RIZA AZIZ?
Sebagaimana yang dilaporkan oleh Reuters, keluarga Jho Low gagal dalam usaha mereka untuk menangguhkan perbicaraan di AS yang bertujuan untuk menyita harta-harta milik hartawan tersebut yang sudah ditetapkan pada 12 Disember ini.
Keluarga Jho Low memohon penangguhan kepada 23 Januari 2017 bagi membolehkan mereka ke mahkamah New Zealand dan Kepulauan Cayman untuk mencuba dan mendapatkan harta serta aset lain dipindahkan kepada pemegang amanah yang baharu.
Hakim tidak memberikan sebarang sebab dalam menolak usul keluarga Jho Low itu, tetapi pihak pendakwaraya membantah penangguhan pendengaran itu dengan alasan ia sudah lima bulan berlalu sejak Jabatan Kehakiman AS memfailkan saman sivil yang mendakwa lebih AS$3.5 bilion dana milik 1MDB telah diselewengkan.
Dalam saman sivil untuk menyita harta serta aset oleh Jabatan Kehakiman AS itu, nama Riza Aziz, anak tiri Najib Razak adalah antara yang turut dinamakan bersama Jho Low, selain dua individu lain yang dikaitkan dengan IPIC dan Aabar iaitu Khadem Al-Qubaisi dan Mohamed Al-Badawy.
Kenapa kita tidak mendengar apa-apa berita mengenai keluarga Riza Aziz menjelang pendengaran pada 12 Disember ini?
Tidak mahukah keluarga Riza Aziz memohon penangguhan juga sepertimana yang dilakukan oleh keluarga Jho Low?
Apakah dengan tidak memohon penangguhan itu bermakna Riza Aziz dan keluarganya sudah bersedia dengan pendengaran pada 12 Disember nanti?
Adakah Riza akan hadir dan sedia melawan di mahkamah untuk mempertahankan hartanah dan aset lainnya yang mahu dirampas itu atau membiarkan saja perbicaraan berjalan dan seterusnya merelakan segala miliknya yang sudah disenaraikan sebelum ini disita oleh pihak berkuasa AS?
Bermula 12 Disember ini, bau busuk 1MDB akan semerbak lagi ke seluruh dunia.
Syabas dan tahniah kepada Najib serta sekalian yang masih gigih menpertahankannya. (SH 09/12/2016).
PEMBATALAN JEMPUTAN KE ISTANA: RAJA-RAJA MELAYU PERLU CAMPUR TANGAN – MAHFUZ
Pembatalan jemputan ke istana: Raja-Raja Melayu perlu campur tangan – Mahfuz
Pembatalan jemputan untuk Tun Dr Mahathir Mohammad bagi majlis melafas dan menanda tangani surat sumpah memegang jawatan Yang Di Pertuan Agong dan Timbalan Yang Di Pertuan Agong baharu pada 13 Disember 2016 ini semakin kontroversi dan mengundang rasa sinis rakyat.
Demikian kata ahli parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar. Menurut beliau, surat pembatalan tersebut yang dihantar oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu telah menjadi satu lagi episod politik buruk buat Malaysia kerana cubaan ahli politik mencemar Majlis Raja Raja.
“Jika tidak dijemput dari awal tidak menjadi masalah tetapi tindakan membatal selepas jemputan dibuat mencemar nama baik Majlis Raja Raja Melayu khususnya Institusi Yang DiPertuan Agong.
“Tindakan pembatalan tersebut memperlihatkan segelintir pemimpin negara cuba mengheret raja-raja dalam pertarungan politik mereka dengan Tun Mahathir.
“Apa yang mahu ditakutkan dengan kehadiran Tun pada majlis melafas dan menanda tanggani surat sumpah tersebut?
“Apakah dengan kehadiran Tun akan mencacatkan dan merosakan majlis bersejarah itu atau kehadiran beliau menjadikan majlis melafaz sumpah jawatan Yang Di Pertuan Agong tidak sah?
“Saya mengharapkan ke bawah Duli Tuanku Raja-Raja Melayu campur tangan untuk membatalkan surat pembatalan kepada Tun Mahathir,” kata Mahfuz dalam satu kenyataan.
Menurutnya lagi, walaupun sebagai ahli politik terdapat perbezaan pendapat antara beliau dan Tun Mahathir namun layanan yang telah diberikan kepada tokoh negarawan yang diakui banyak berjasa terhadap negara itu tidak sepatutnya sedemikian buruk.
Tun Mahathir, kata Mahfuz, dinobatkan sebagai “Bapa Pemodenan Malaysia” kerana membangunkan Malaysia menjadi sebuah negara industri yang disegani dalam kalangan negara-negara membangun”.
“Saya harap Tun Mahathir menerima cabaran untuk disipukan dengan menghadirkan diri ke majlis tersebut walaupun tidak disediakan kerusi tetapi boleh memilih berdiri atau bersila dilantai sebagai meraikan majlis tersebut.
“Biar dunia tahu siapa sebenarnya yang akan tersipu akibat dari tindakan politik buruk kleptokrat itu,” sinis Mahfuz.
RUNDINGAN PPBM SERTAI PH, 13 DISEMBER
Rundingan PPBM sertai PH, 13 Disember
Para pemimpin tertinggi Pakatan Harapan (HARAPAN) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) akan bermesyuarat minggu depan bagi membincangkan kerjasama rasmi menjelang pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
Ketua Sekretariat HARAPAN Datuk Saifuddin Abdullah berkata, butiran tepat akan dimuktamadkan semasa mesyuarat pada 13 Disember ini di ibu pejabat PKR.
“Mesyuarat itu dijangka membincangkan kerjasama politik antara keempat-empat parti sebagai sebahagian daripada proses untuk memungkinkan pertandingan satu lawan satu antara pembangkang dan Barisan Nasional,” katanya pada sidang akhbar susulan mesyuarat sekretariat HARAPAN di ibu pejabat DAP Kuala Lumpur.
HARAPAN kini dianggotai oleh DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (AMANAH).
Sambil menyifatkan kehadiran Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad pada konvensyen HARAPAN bulan lepas dan persidangan kebangsaan DAP pada Ahad lalu sebagai tanda-tanda positif, Saifuddin melahirkan keyakinan isu-isu lebih serius akan dibincangkan lebih lanjut pada mesyuarat itu.
“Kehadiran itu hanya untuk bertanya khabar, memberi ucapan…tetapi yang ini adalah pertemuan antara pemimpin tertinggi empat parti.
“Jadi, saya menjangkakan isu-isu yang lebih serius akan dibincangkan. Dan bagi saya, perkara yang dibincangkan akan menjadi langkah seterusnya untuk membentuk pakatan pembangkang dan memastikan pertandingan satu lawan satu pada PRU-14,” jelas beliau.
Ketika ditanya sama ada HARAPAN akan membuka pintunya kepada bekas sekutu PAS, Saifuddin berkata, mesyuarat 13 Disember ini akan hanya terdiri daripada pemimpin HARAPAN dan BERSATU.
Pada masa yang sama, beliau juga menegaskan bahawa matlamat HARAPAN agar akhirnya menyatukan semua parti pembangkang dalam ‘satu gabungan besar yang kuat dan kukuh’.
“Ia sentiasa di fikiran kami. Tetapi anda tahu, kadang-kadang orang mengambil masa untuk membuat keputusan. Tetapi masa tidak memihak kepada kita.
“Terdapat begitu banyak parti-parti pembangkang yang lain. Nasib baik anda tidak bertanya kepada saya tentang Sabah,” katanya berjenaka.
PRU 14 PENENTU MALAYSIA BERGERAK KE HADAPAN ATAU HADAPI KETIDAKTENTUAN – PENGANALISIS
PRU 14 penentu Malaysia bergerak ke hadapan atau hadapi ketidaktentuan – Penganalisis
“Pilihanraya Umum Ke-14 (PRU14) akan membawa perubahan yang amat besar kepada Malaysia dan kita akan menyaksikan sama ada negara akan maju ke hadapan atau pun mundur, sebab pertembungan di antara BN dengan Pakatan Harapan (PH) kali ini akan menentukan pihak yang kalah tidak akan berupaya bangun lagi,” kata Albert Teh, seorang penganalisis politik dari sebuah badan bukan-kerajaan kepada Suara pakatan daily.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas tentang senario politik hari ini yang jelas menunjukkan bahawa semua pihak iaitu parti politik, golongan usahawan serta rakyat biasa sudah agak pasti PRU14 akan diadakan pada tahun hadapan sebelum bulan Mei.
“Senario politik terkini sudah pun tidak memihak kepada PM Najib kerana imej negara yang sudah terjejas. Krisis keyakinan yang mendalam dalam kalangan pelabur asing serta tempatan semakin meluas terhadap kepimpinan BN.
“Selepas Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini, para pelabur jelas melihat pemimpin negara ini tiada hala tuju seperti sedang sesat di tengah lautan dan bahtera itu pula mengalami kebocoran,” sambung beliau.
Albert juga bersetuju parti-parti komponen seperti MCA, MIC dan Gerakan tidak lagi mampu membantu BN. Maka katanya, Umno terpaksa meminta pertolongan dari PAS.
“Ini bermakna PAS boleh bertindak sebagai ‘spoiler’ dan memecahbelahkan undi masyarakat Melayu.
“Oleh itu adalah bijak jika Amanah bertanding di kawasan Melayu bandar, PKR bertanding di kawasan sub bandar dan PPBM bertanding di kawasan kampung atau mana-mana kawasan kubu Umno,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Komunikasi Amanah Ir Khalid Samad berkata PH harus memberitahu orang Melayu bahawa PAS adalah ‘Si Pemecah-belah undi’ jika PAS meletakkan calon di semua kawasan di mana calon PH bertanding.
“Cuma sedikit masalah pada masa kini PAS masih ada 1 kaki dalam perahu PH dan 1 kaki lagi masuk perahu BN,” sinisnya.
NAIB PRESIDEN AMANAH PULA ISYTIHAR HARTA
Naib Presiden Amanah pula isytihar harta
Dilihat mencontohi teladan ditunjukkan Rafizi Ramli, hari ini Naib Presiden Parti Amanah Negara, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa membuat pengisytiharan hartanya di George Town, Pulau Pinang.
Katanya langkah itu diambil bagi membolehkan beliau bersikap telus kepada masyarakat.
Semasa sidang media tadi Mujahid berkata elaun bulanan diterimanya sebagai anggota parlimen Parit Buntar ialah RM25,700.
Daripada jumlah itu beliau membayar pinjaman perumahan bernilai RM1,218.03 dan RM4,000 adalah sumbangan kepada parti dan RM325 potongan cukai berjadual.
Ia menjadikan pendapatan bersihnya setiap bulan sebagai anggota parlimen ialah RM20,156.97.
Perbelanjaan bulanan Mujahid pula termasuk RM5,300 untuk pusat khidmatnya di Parit Buntar dan RM5,000 bagi membiayai program di kawasan diwakilinya.
Beliau juga mempunyai tanggungan hutang bulanan RM2,446.53 untuk sebuah kereta Honda Accord, barayan semula pinjaman peribadi bagi tempoh dua tahun dari Bank Islam (RMRM2,656.53) dan RM1,500 untuk kad kredit.
Untuk ketiga-tiga akaun bank, jumlah simpanan keseluruhan anak bekas presiden PAS itu ialah RM6,854.
Aset keseluruhan Mujahid bernilai RM423,000 termasuk sebuah rumah dua tingkat di Parit Buntar bernilai RM291,000, Honda Accord (RM110,000) dan sebuah Proton Saga (RM22,000).
Bekas pensyarah universiti itu berkata beliau pernah mengusahakan sebuah syarikat penerbitan sebelum ini namun ia tidak lagi beroperasi.
Katanya, beliau mempunyai tiga anak masing-masing berusia 20, 23 dan 25 tahun, manakala isterinya bekerja sebagai guru.
Sambil mengucapkan terima kasih kepada Rafizi atas inisiatif dilakukannya sebelum ini Mujahid berkata apa yang dilakukan itu adalah menunaikan tanggungjawab sebagai wakil rakyat yang perlu berkhidmat kepada orang ramai.
“Sebagai pihak yang menginginkan ketelusan, ini adalah langkah pertama perlu dibuat – maklumkan kepada umum apa yang kita ada supaya kita tidak dipersoalkan,” katanya.
Malaysiakini pada 29 November lalu melaporkan gesaan anggota parlimen Pandan, Rafizi, supaya anggota parlimen dan pegawai kanan kerajaan membuat pengisytiharan harta sebagai satu daripada cara mengelak seseorang daripada terlibat dalam sebarang salah laku atau rasuah.
Rafizi yang juga naib presiden PKR memberitahu beliau akan menulis surat kepada semua anggota parlimen dan pegawai atasan kerajaan untuk mencadangkan kepada mereka melakukan pengisytiharan harta.
Sehari kemudian Rafizi mengadakan sidang media untuk mengisytiharkan harta serta aset dimilikinya.
Mengenai pembabitannya dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di Pulau Pinang, Mujahid berkata beliau menyandang tiga jawatan iaitu pengarah bukan eksekutif Syarikat Usaha Tarbiyah Sdn Bhd, pengarah Yayasan Islam Pulau Pinang dan timbalan pengerusi Perpustakan Awam Pulau Pinang.
Katanya beliau tidak mendapat sebarang bayaran daripada kedudukan itu kecuali elaun RM200 bagi setiap kali menghadiri mesyuarat.
Mengenai isterinya Mujahid memberitahu wanita terbabit memiliki sebuah rumah dan kereta.
“Saya cuma mahu bertanggungjawab dan telus dalam bayaran yang diterima sebagai wakil rakyat.
“Saya tidak mendapat bayaran ini jika bukan kerana menjadi pilihan rakyat. Dengan pengisytiharan ini orang ramai boleh tahu bagaimana saya berbelanja,” katanya.
Subscribe to:
Posts (Atom)




