Pembatalan jemputan ke istana: Raja-Raja Melayu perlu campur tangan – Mahfuz
Pembatalan jemputan untuk Tun Dr Mahathir Mohammad bagi majlis melafas dan menanda tangani surat sumpah memegang jawatan Yang Di Pertuan Agong dan Timbalan Yang Di Pertuan Agong baharu pada 13 Disember 2016 ini semakin kontroversi dan mengundang rasa sinis rakyat.
Demikian kata ahli parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar. Menurut beliau, surat pembatalan tersebut yang dihantar oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja Melayu telah menjadi satu lagi episod politik buruk buat Malaysia kerana cubaan ahli politik mencemar Majlis Raja Raja.
“Jika tidak dijemput dari awal tidak menjadi masalah tetapi tindakan membatal selepas jemputan dibuat mencemar nama baik Majlis Raja Raja Melayu khususnya Institusi Yang DiPertuan Agong.
“Tindakan pembatalan tersebut memperlihatkan segelintir pemimpin negara cuba mengheret raja-raja dalam pertarungan politik mereka dengan Tun Mahathir.
“Apa yang mahu ditakutkan dengan kehadiran Tun pada majlis melafas dan menanda tanggani surat sumpah tersebut?
“Apakah dengan kehadiran Tun akan mencacatkan dan merosakan majlis bersejarah itu atau kehadiran beliau menjadikan majlis melafaz sumpah jawatan Yang Di Pertuan Agong tidak sah?
“Saya mengharapkan ke bawah Duli Tuanku Raja-Raja Melayu campur tangan untuk membatalkan surat pembatalan kepada Tun Mahathir,” kata Mahfuz dalam satu kenyataan.
Menurutnya lagi, walaupun sebagai ahli politik terdapat perbezaan pendapat antara beliau dan Tun Mahathir namun layanan yang telah diberikan kepada tokoh negarawan yang diakui banyak berjasa terhadap negara itu tidak sepatutnya sedemikian buruk.
Tun Mahathir, kata Mahfuz, dinobatkan sebagai “Bapa Pemodenan Malaysia” kerana membangunkan Malaysia menjadi sebuah negara industri yang disegani dalam kalangan negara-negara membangun”.
“Saya harap Tun Mahathir menerima cabaran untuk disipukan dengan menghadirkan diri ke majlis tersebut walaupun tidak disediakan kerusi tetapi boleh memilih berdiri atau bersila dilantai sebagai meraikan majlis tersebut.
“Biar dunia tahu siapa sebenarnya yang akan tersipu akibat dari tindakan politik buruk kleptokrat itu,” sinis Mahfuz.