Kabinet mahu Zon Ekonomi Khas Johor - Singapura segera dibentuk


 

Kerajaan Persekutuan akan mengadakan mesyuarat bersama kerajaan negeri Johor bagi menyelaras beberapa dasar untuk memastikan pembentukan Zon Ekonomi Khas Johor - Singapura (JS-SEZ) dapat dipercepatkan.



Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata mesyuarat itu yang akan diadakan dalam masa terdekat yang dikendalikan oleh Kementerian Ekonomi dan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).



"Dalam mesyuarat Kabinet hari ini juga telah dibincangkan perkara antara lain mengenai pembentukan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura.



"Kerajaan Pusat akan menyelaras beberapa perkara bersama dengan kerajaan negeri Johor dan beberapa mesyuarat akan dimulakan dalam masa terdekat yang akan dikendalikan oleh Kementerian Ekonomi dan MITI," ujarnya dalam sidang akhbar pasca mesyuarat Kabinet di Putrajaya hari ini.



Fahmi yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan bagaimanapun menjelaskan, Kabinet tidak membincangkan secara spesifik berkenaan lokasi yang akan ditentukan sebagai JS-SEZ.



"Tiada maklumat khusus yang dibincangkan dalam mesyuarat Kabinet. Ia lebih kepada menetapkan dasar yang akan diatur dan diselaraskan oleh semua kementerian," katanya.



Awal bulan ini, Malaysia dan Singapura menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) JS-SEZ dalam usaha mengukuhkan jalinan ekonomi antara kedua-dua negara.



Dalam MoU itu, Malaysia dan Singapura akan berusaha untuk memudahkan urusan keluar masuk sempadan sekali gus menambah baik ekosistem dan kerjasama ekonomi.



Kedua-dua negara juga bersetuju untuk bekerja bersama dalam perjanjian JS-SEZ itu dan juga Pemukiman Pemimpin Malaysia-Singapura Ke-11 yang akan diadakan kelak.



Susulan MoU itu juga, Malaysia telah membuat keputusan menubuhkan sebuah agensi pemeriksaan sempadan tunggal di pintu masuk negara bagi memudahkan aliran keluar masuk antara Johor dan Singapura.



Hari ini Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengumumkan Datuk Seri Hazani Ghazali dilantik sebagai Ketua Pengarah Agensi Pintu Masuk dan Sempadan Malaysia (MCBA) yang pertama berkuat kuasa hari ini.