GANTI ZAHID HAMIDI UNTUK PASTIKAN UMNO DAPAT KEMBALI SOKONGAN MELAYU – MP PKR

 

GANTI ZAHID HAMIDI UNTUK PASTIKAN UMNO DAPAT KEMBALI SOKONGAN MELAYU – MP PKR

Shahbudin Husin

31 January 2024


Hassan Karim daripada PKR berpendapat Umno perlu diterajui muka baharu, tidak hanya “menumpang dahan” Pakatan Harapan (PH) pimpinan Anwar Ibrahim yang diakuinya “rapuh” dalam berdepan PRU16.

Menurut Ahli Parlimen Pasir Gudang, rombakan pemimpin baharu yang segar, berintegriti dan berkarisma penting untuk mendapatkan undi Melayu – kumpulan sokongan paling corot diterima gabungan PH-Barisan Nasional (BN) kini.

Dari segi sokongan orang bukan Melayu, Hassan berkata gabungan PKR, Amanah, serta DAP yang menjadi anggota penting kerajaan perpaduan telah teruji dan bakal terus menikmatinya dengan syarat PH tidak “gila kuasa” sehingga lupa agenda progresif untuk membawa reformasi.

“(Yang) menjadi masalah kepada PH-BN ialah kemerosotan sokongan Melayu yang boleh diatasi jika Umno dapat membawa sokongan Melayu kepada gabungan itu.

“Dalam keadaan sekarang sukar selagi Umno dipimpin presidennya Zahid Hamidi. Selagi Zahid memimpin Umno, orang Melayu sukar kembali menyokong Umno, BN atau PH-BN,” katanya kepada FMT.

“Umno perlu rombakan pemimpin baharu segar, berintegriti, dan karisma untuk membawa balik sokongan Melayu kepada Umno, BN dan kini PH-BN. Jika tidak, Umno bawah Zahid akan menumpang di dahan PH pimpinan Anwar yang tidak kuat mana pun.”

Rabu lalu, Ketua Penerangan PAS Ahmad Fadhli Shaari mengeluarkan kenyataan sinis “bersetuju” bayangan diberikan Zahid bahawa kerjasama PH-BN akan kekal hingga selepas PRU16, yang didakwanya memudahkan pengundi Melayu membuat pendirian awal.

BN dan PH membentuk kerjasama menubuhkan kerajaan perpaduan bersama beberapa parti lain selepas tiada gabungan mampu menubuhkan kerajaan sendiri selepas PRU15.

Penganalisis berpendapat, berdasarkan keputusan PRN dan PRK pasca PRU15 menunjukkan sokongan Melayu terhadap Umno dikatakan semakin terhakis selepas hanya menang 19 daripada 108 kerusi DUN di enam negeri, Ogos tahun lalu.

Mengulas lanjut, Hassan berkata melaksanakan dasar pro rakyat seperti subsidi untuk kumpulan bawahan juga boleh menjadi “jalan lain” untuk PH-BN mendapat sokongan Melayu.

Namun, pada masa sama beliau bimbang kemarahan orang Melayu akan tercetus jika dilaksanakan rombakan drastik terhadap perkhidmatan awam seperti penamatan skim pencen untuk kakitangan baharu selain sistem lantikan kontrak yang didakwanya mungkin tidak berperlembagaan.

Minggu lalu, Zahid yang juga timbalan perdana menteri berkata pelantikan kontrak penjawat awam hanya untuk tempoh singkat sebelum Jemaah Menteri meluluskan dasar baharu pengambilan secara tetap tetapi tidak berpencen, namun mendapat caruman bawah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Sumber – https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2024/01/31/ganti-zahid-jangan-hanya-tumpang-dahan-rapuh-ph-umno-diberitahu/

 

No comments: