BARU MAIN MATA ATAU TAK MAHU KONGSI KUASA?


Sebelum ini, Timbalan Presiden UMNO, Mohamad Hassan secara terbuka mengumumkan UMNO dan Pas sudah bersanding secara rasmi.
Ia berikutan persetujuan kedua-dua parti untuk saling bekerjasama bagi berlawan dengan PH yang didalamnya ada PKR, DAP, Amanah dan Bersatu.
Susulan pengumuman persandingan itu, Mohamad Hassan juga berjaya memujuk MCA dan MIC agar tidak meninggalkan BN.
Dengan yang demikian, gabungan BN menjadikan didalamnya ada UMNO, MCA, MIC dan juga Pas.
Di waktu yang sama, UMNO turut melontarkan cadangan untuk mewujudkan kerajaan campuran di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perlis sebagai tanda rasminya perkahwinan tersebut.
Pas kemudian membalas dengan mengatakan ia lebih sesuai disebut kerajaan persahabatan berbanding kerajaan campuran.
Kedua-dua parti, UMNO dan Pas seterusnya mengumumkan penubuhan sebuah jawatankuasa teknikal untuk memperhalusi dan meningkatkan lagi kerjasama kedua-dua parti.
Bagi pihak UMNO, Naib Presidennya, Khaled Nordin telah dilantik sebagai penyelarasnya, manakala di pihak Pas pula ialah Idris Ahmad yang juga Naib Presiden Pas.
Tetapi, setelah seminggu pengumuman persandingan itu diperkatakan ramai, hari ini seorang Naib Presiden Pas, Mohd Amar Nik Abdullah berkata, hubungan UMNO dan Pas sebenarnya masih lagi di peringkat bermain mata.
UMNO dan Pas belum bersanding lagi, katanya.
Sehubungan itu, tambah beliau, adalah terlalu awal untuk mewujudkan kerajaan campuran antara UMNO dan Pas di empat negeri itu.
Katanya lagi, kerajaan negeri sedia ada patut dikekalkan sehingga PRU akan datang dan kedua-dua parti hanya perlu menumpukan usaha untuk menjadi pasukan pembangkang yang lebih baik serta berkesan.
Aikkk…kenapa tiba-tiba Pas berubah nada?
Baru main mata saja pulak?
Heboh diumumkan sudah bersanding, mengapa dikata baru main saja?
Habis, yang bersama ke sana sini dalam kempen di Cameron Highlands dan Semenyih, kemudian selepas ini mahu ke Rantau pula, apa namanya itu?
Bolehkah sekadar bermain mata sudah boleh ke sana ini bersama?
Adakah ini kerana Pas tidak mahu berkongsi kuasa dan kekayaan mereka dengan UMNO lantaran Kelantan dan Terengganu ada hasil minyak dan kedua-dua negeri baru saja menerima hasil royaltinya, sedangkan Pahang dan Perlis hanya ada hasil bauksit dan tebu yang tidak seberapa saja?
Jika begitu, bagaimana mereka mahu berkongsi mengurus kerajaan Pusat nanti? (Shahbudindotcom 13/03/2019)

No comments: