KENYATAAN MEDIA PKR TERENGGANU


Imej mungkin mengandungi: satu atau lebih orang, orang duduk dan dalaman



9 FEB 2019
SABTU

SKANDAL PENERIMAAN WANG RM90 JUTA PIMPINAN PAS :
RAKYAT TERENGGANU KELUAR MULUT HARIMAU MASUK MULUT BUAYA
KEADILAN Terengganu memandang serius akan laporan pelbagai portal media berhubung tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang telah memulakan siasatan terhadap penglibatan beberapa orang pemimpin kanan Parti Islam SeMalaysia (PAS) yang dikatakan terlibat dengan skandal penerimaan wang haram 1MDB berjumlah RM90 juta. Umum telah mengetahui bahawa beberapa orang pimpinan utama PAS adalah dari kalangan kepimpinan PAS Terengganu.
Walaupun siasatan baru sahaja bermula, KEADILAN TERENGGANU berpendapat adalah sesuatu yang amat malang bagi rakyat Terengganu khususnya kepada 310,252 orang pengundi PAS yang telah memberi amanah dan kepercayaan kepada PAS sebagai pemerintah baru Kerajaan Negeri Terengganu pada Pilihan Raya Umum Ke 14 yang lepas,memilih parti yang terpalit dengan skandal rasuah seperti ini. Nasib malang rakyat Terengganu ini tidak ubah seperti ibarat ‘keluar dari mulut harimau masuk ke dalam mulut buaya’.
Sebagai sebuah parti yang lantang memperjuangkan Islam, skandal sebegini sudah tentu akan memberi imej yang buruk dan gambaran yang salah tentang Islam. Rakyat Terengganu sudah tentu merasa risau dan resah akan situasi seperti ini kerana ia jelas telah merobek kepercayaan bahawa Islam akan lebih terpelihara dan terjamin dibawah Kerajaan PAS..Sesungguhnya pentadbiran yang diterajui oleh parti yang bersekongkol dengan perbuatan salah laku sebegini bukan sahaja mencemarkan agama Islam tetapi memalukan rakyat yang pernah mengundi mereka.
KEADILAN TERENGGANU dan seluruh rakyat negeri Terengganu percaya dan yakin bahawa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menjalankan siasatan yang adil dan terperinci terhadap beberapa orang pemimpin kanan PAS yang didakwa terlibat. Adalah diharapkan hasil siasatan ini nanti akan dimaklumkan kepada umum demi menjaga keharmonian dikalangan rakyat di Negeri Terengganu.Sesungguhnya rakyat Terengganu berhak mengetahui status dan wajah sebenar pemimpin-pemimpin parti yang memerintah Terengganu pada masa kini..
Haji Azan bin Ismail
PENGERUSI
PARTI KEADILAN RAKYAT
NEGERI TERENGGANU.


No comments: