Ini mengenai buku terbaru saya, "Isu Dalam Kartun"
Kenyataan akhbar kartunis Zunar
Penerbitan komik "Isu Dalam Kartun"
SAYA dengan ini mengumumkan penerbitan komik "Isu Dalam Kartun (IDK)", sebuah majalah kartun satira yang mengupas isu-isu semasa secara santai.
Seperti "Gedung Kartun" dan "Perak Darul Kartun", IDK sarat dengan karya-karya kartun dengan kritikan pedas terhadap isu seperti kes kehilangan enjit jet, penggunaan perkataan Allah, rasuah, GST, tol dan sebagainya.
Selain itu, dalam keluaran ini saya dan pasukan kartunis mempersembahkan dua cerita satira utama iaitu "Sumpah di Bumi Komisen" dan "Dari PD ke Mongoria".
"Sumpah di Bumi Komisen" adalah sebuah cerita fantasi di negeri antah berantah dibawah pemerintahan Datuk Komis dan isterinya Nek Mah. Datuk Komis dikatakan mempunyai hubungan cinta secara sulit dengan seorang gadis yang berasal dari Ular Batok, Antootuya. Malangnya Antootuya dibunuh di Puncak Segala Alam.
Cerita menjadi gawat apabila negeri itu dilawati hantu jelmaan Antootuya. Kartunis Jonos (Nor Azlin Ngah), Art (Azhar Saad) dan Lan (Azlan Isa) berpadu tenaga merelisasikan lukisan cerita yang memenuhi 29 muka surat ini diatas kertas, sementara skrip digarap oleh saya sendiri dan Ronasina (Apandi Ramli) yang bertindak sebagai Editor.
Manakala "Dari PD ke Mongoria" juga cerita rekaan mengisahkan bagaimana operasi sulit yang dilakukan oleh pemerintah sebuah negeri, Menteri Kecik untuk menyelamatkan sepasang kekasih yang tertangkap basah di sebuah hotel di selatan tanah air. Ia dilukis oleh kartunis Oly (Olihairi Othman).
Kartunis Enot (Zainal Misran) pula mengemukakan tujuh teori dari perspektif beliau sendiri mengenai kehilangan enjit jet dan pihak yang mencurinya. Enot juga meneruskan karyanya bertajuk “Nostalgia 98” yang mengimbas kembali sejarah ketika gelombang reformasi tercetus.
Kartunis Haili (Nor Halim) pula mengkritik pihak yang mempertahankan perkataan Allah dan dalam masa yang sama melakukan korupsi serta salah guna kuasa. Beliau juga mengulas isu isteri pembesar yang membazir jutaan ringgit untuk membeli-belah diluar negara.
Hishamuddin Rais meneruskan kisah satira popular "Riwayat Jantan Takubin" sementara Rahmat Haron menyambung nukilan bersiri "Bercakap Dengan Puaka." Pyan Habib menyingkap di sebalik tabir kontroversi majalah Gedung Kartun dalam kolumnya “Racau.” Peguam Puspa Ros memberi informasi kesedaran rakyat tentang hak-hak mereka yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan.
Saya juga suka mengumumkan bahawa "Isu Dalam Kartun" adalah sebuah majalah yang mempunyai permit penerbitan yang dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri (PP16565/12/2010(026185)).
IDK mempunyai ketebalan 84 muka surat ermasuk kulit dan dijual dengan harga RM10 setiap naskhah. Cetakan pertama adalah sebanyak 15, 000 naskhah dan akan diedarkan ke seluruh negara. Ia juga boleh dibeli secara online melalui website cartoonkafe.com atau berhubung terus dengan pejabat saya 03-22744931.
Majlis pelancaran akan disempurnakan oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar pada hari Sabtu 30 Januari jam 5 petang di Dewan Perhimpunan Cina, Jalan Maharajalela, Kuala Lumpur. Majlis ini terbuka kepada semua.
Zunar
Pengarah Urusan/Ketua Pengarang
Sepakat Efektif sdn bhd
28 Januari 2010
Pengarah Urusan/Ketua Pengarang
Sepakat Efektif sdn bhd
28 Januari 2010