Hanya 1 syarikat dibenar import telur dari India


Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu berkata kelulusan import khas itu berdasarkan keupayaannya menghantar bekalan telur dalam masa singkat.

Mohamad Sabu, berkata negara menghasilkan telur yang mencukupi untuk memenuhi penggunaan tempatan. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Kerajaan hanya memberikan kebenaran kepada satu syarikat sahaja bagi tujuan pengimportan telur dari India, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu.

Beliau berkata, syarikat berkenaan diberikan kelulusan import khas mengimport telur dari India selama enam bulan bermula Disember, berdasarkan keupayaannya menghantar bekalan telur dalam masa singkat.

“Syarikat tersebut diberikan kebenaran berdasarkan pengalaman mereka membawa masuk telur dari India ke Qatar bagi memenuhi keperluan ketika penganjuran Piala Dunia FIFA 2022 di Qatar,” katanya dalam jawapan bertulis kepada Parlimen.

Ads by Kiosked

Beliau menjawab persoalan Wan Saiful Wan Jan (PN-Tasek Gelugor) berhubung syarikat yang mendapat permit mengimport telur dari India dan tempoh permit.

Mohamad berkata, langkah mengimport telur dari negara itu bersifat sementara bagi memenuhi permintaan.

“Kawalan biosekuriti yang ketat dikenakan di mana setiap konsainan perlu menjalani ujian Hold Test Release (HTR) di pintu masuk bagi memastikan telur yang diimport bebas daripada patogen Selsema Burung (HPAI), Newcastle Disease (ND) dan Salmonella,” katanya.

Wan Saiful juga bertanya mengenai jumlah keseluruhan telur dikeluarkan secara tempatan bermula 2018 hingga Februari lalu.

Mohamad berkata, sejumlah 13.4 bilion dikeluarkan pada 2018, 10.9 bilion (2019); 12.9 bilion (2020); 13.6 bilion (2021), dan 13.3 bilion pada 2022.

Dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini, beliau berkata, sebanyak 2.4 bilion telur dikeluarkan.

“Puratanya, Malaysia memerlukan 11.6 bilion setahun bagi memenuhi permintaan domestik dengan kadar penggunaan purata 986 juta telur sebulan,” katanya.

“Rekod pengeluaran jelas menunjukkan ia mencukupi untuk keperluan domestik setiap tahun dan terdapat lebihan untuk Malaysia mengeksport ke luar negara.”

No comments: