NAJIB, PEMIMPIN YANG SUDAH TIADA RASA MALU DALAM DIRINYA




Seorang pemimpin UMNO yang baru kembali dari menunaikan umrah memberitahu, antara doanya di Multazam, satu tempat berhampiran Kaabah yang dianggap paling makbul untuk memohon sesuatu hajat ialah meminta kepada Tuhan supaya negara kita segera diberikan pemimpin yang baik dan bebas daripada segala skandal.

Katanya, selain meminta beberapa doa lain, tindakannya memohon doa sedemikian ialah kerana merasakan sudah tiada jalan lagi untuk mengharapkan Najib berundur daripada jawatannya.

Najib, katanya, seolah-olah tidak mahu mendengar suara dari dalam dan luar negara yang menolak dan mengutuknya berkaitan skandal 1MDB serta dana yang masuk ke akaun peribadinya, meskipun secara lumrahnya, jika di negara lain, mereka sudah pasti mengundurkan diri kerana tidak mahu terus-terusan mengorbankan rakyat dan negara.

Hanya dengan berdoa kepada Tuhan, ia merupakan usaha terakhir yang saya mampu lakukan untuk kepentingan negara sambil berharap doa saya akan dimakbulkan, kata pemimpin tersebut yang kemudian menunjukkan bulu roma di tangannya yang sedang tegak berdiri.

Sememangnya, Najib boleh dianggap mencipta sejarah yang tersendiri buat negara dan dirinya. Sepanjang masa, di seluruh dunia ada saja berita-berita buruk disiarkan mengenai dirinya melalui pelbagai saluran media.

Kadang-kadang, sepertimana yang dilakukan oleh Chanel 4, sebuah saluran TV di United Kingdom, berita mengenai dakwaan rasuah melibatkan Najib itu sengaja disiarkan ketika kunjungan rasmi Perdana Menteri ke London baru-baru ini.

Ia disiarkan seolah-olah sebagai bantahan atau protes terhadap lawatan rasmi Najib, pemimpin yang dianggap paling tercemar di dunia ketika ini.

Tidak ada mana-mana pemimpin lain, sama ada di dunia sebelah Asia, Afrika, Amerika Latin dan sebagainya yang paling menjadi fokus media antarabangsa sekarang ini melainkan Najib. 

Tetapi, di sebalik berita silih berganti dan pelbagai pendedahan baru mengenai dirinya, Najib masih lagi selamba saja menghadapi semua itu seolah-olah sedikit pun tiada perasaan malu dalam dirinya.

Beliau tetap mempamerkan wajah tidak bersalahnya, walaupun dalam masa yang sama semua orang juga tahu bahawa banyak media antarabangsa tidak dilayannya, malah diusir keluar hanya kerana bertanyakan soalan kepadanya.

Sesungguhnya, ia tidak pernah berlaku sebelum ini. Berbeza dengan Tun Mahathir yang tidak pernah lari daripada menjawab soalan, bahkan tidak pernah menolak sesiapa untuk bertanyakan soalan kepadanya.

Sebab itu, bagaimana sekali pun orang marah dan menolak Tun Mahathir, tetapi kerana sumbangan dan jasanya juga tak ternilai, tidak pernah kedengaran ada sesiapa sampai sanggup berdoa di depan Kaabah di sebalik dalam masa yang sama terus memberikan kepada UMNO dan pemimpin-pemimpin yang lain.

Hanya di bawah Najib, sementara secara berdepan ada yang tidak mampu melakukan penolakan secara terbuka sebagaimana banyak pihak lain yang sudah berbuat demikian, ada juga yang dalam diam menganggap beliaulah pemimpin paling menyusahkan rakyat dan negara. (SH 21/05/2016).

Husam: Pas Akan Tewas Di PRK Sungai Besar, Kuala Kangsar



PERISTIWA ULANGAN YANG PERLU RAKYAT FAHAMI IDEA PAS-UMNO







Ketua Audit Negara akui cukup bukti siasat 1MDB



Ambrin BuangAmbrin Buang
Laporan Jabatan Audit Negara berkaitan 1MDB boleh dijadikan asas yang cukup bagi siasatan dilakukan terhadap syarikat milik penuh Kementerian Kewangan itu, kata Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang.
Dalam satu wawancara dengan stesen TV Singapura, Channel News Asia semalam, Ambrin dilaporkan bersedia membantu mana-mana pihak untuk memulakan siasatan.
"Langkah selanjutnya seperti yang disyorkan oleh PAC (Jawatankuasa Kira-Kira Awam Negara), mereka mahu siasatan dilakukan terhadap beberapa individu tertentu di dalam syarikat berkenaan, biar polis melakukan kerja mereka, kami akan membantu mana-mana pihak yang ingin melakukan siasatan," wawancara itu dipetik.
Mengulas pengakuan Amrin itu, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara yang juga anggota PAC, Tony Pua menggesa polis mempercepatkan siasatan terhadap individu-individu yang dikaitkan dengan 1MDB seperti yang telah didedahkan di dalam laporan akhir PAC enam minggu lalu.
Tony yang juga Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan berkata, siasatan segera perlu dilakukan bagi memastikan dalang skandal kewangan RM50 bilion membabitkan syarikat sarat hutang itu dihadapkan ke muka pengadilan.
Rakan rapat Perdana Menteri, Jho Low dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) 1MDB, Datuk Shahrol Halmi adalah antara individu yang dikaitkan dengan skandal 1MDB.
Bagaimanapun sejak laporan akhir PAC dibentangkan di Parlimen pada 7 April yang lalu, polis masih belum memanggil individu-individu terbabit untuk disoal siasat, ujar Tony seperti dilapor Roketkini.com.
Tony mendakwa, Shahrol telah mengarahkan 1MDB dengan kapasitinya sebagai CEO untuk membayar US$1.03 bilion kepada Good Star Limited, sebuah syarikat yang disahkan Bank Negara Malaysia dan telah dimaklumkan kepada PAC sebagai "sebuah syarikat yang dimiliki oleh individu yang tidak ada kaitan dengan Petrosaudi International Limited".
Petrosaudi International Limited, syarikat yang menjalinkan usaha sama pelaburan dengan 1MDB, bagaimanapun tidak mengulas mengenai status Good Star Limited yang didakwa mempunyai kaitan dengan anak-anak syarikatnya.
"Kini PAC dan Ketua Audit Negara telah mengaitkan Datuk Shahrol Halmi dengan salah urus tadbir 1MDB, apa lagi yang ditunggu Ketua Polis Negara (IGP), Tan Sri Khalid Abu Bakar?" soal Tony dalam satu kenyataan hari ini.
Malah, katanya, kegagalan polis untuk bertindak, dan ironi kepantasan siasatan luar negara hanya akan mengakibatkan rakyat Malaysia membuat kesimpulan bahawa mereka (polis) dengan seboleh-bolehnya cuba untuk menutup jenayah yang melibatkan tokoh-tokoh politik berkuasa di negara ini.

KISAH PENCURI BALAK YANG BELUM DITANGKAP DI KELANTAN














BETUL KAH INI?





SELEPAS WARKAH DARI PENJARA, ADAKAH IA TANDA2 ANWAR AKAN BEBAS LEBIH AWAL?


Fakta lain yang terkandung dalam warkah dari penjara yang ditulis oleh Anwar Ibrahim ialah - "Dan tolong jangan percaya yang mengaku sebagai "sumber sahih, dipercayai"  yang mana Najib telah menghantar utusan bertemu saya dan telah berlaku satu pertemuan dengan Zahid di HKL minggu lepas.

"Ini adalah fitnah dan disebarkan dengan niat untuk melahirkan kesangsian dan perbalahan."

Mengapa, sementara Anwar melahirkan kebimbangan terhadap Tun Mahathir dan projek Deklarasi Rakyatnya sambil meminta pimpinan PKR agar sentiasa berwaspada terhadap bekas Perdana Menteri selama 22 tahun itu, beliau sendiri yang turut membangkitkan mengenai pertemuan sulit dengan geng Najib yang khabar anginnya tidak banyak pun diperbualkan oleh orangramai?

Ada yang mengatakan, selain mengadakan pertemuan dengan Zahid, Najib juga menghantar wakilnya iaitu Azeez Abdul Rahim, Pengerusi Tabung Haji untuk bertemu Anwar.

Adakah Anwar secara halus sedang cuba memberitahu sesuatu di sebalik warkahnya itu?
Adakah apabila berlaku penafian, sebagaimana yang kerap berlaku dalam banyak kes sebelum ini, ia sebenarnya adalah tanda-tanda kebenaran semakin hampir?

Malah, kata mereka yang arif dalam mengikuti perjalanan politik Anwar, ketika mahu melawan Tun Ghafar Baba dulu pun, beliau bermula dengan penafian juga.

Dalam hal ini, mungkinkah pertemuan Anwar dengan wakil Najib dan Zahid Hamidi  itu betul-betul telah berlaku?

Apakah Najib, di sebalik ditekan hebat oleh Tun Mahathir yang bekerjasama dengan Pakatan Harapan dan disokong sebahagian pemimpin pro Azmin Ali dalam PKR, turut mengintai peluang untuk mempergunakan Anwar bagi menyelamatkan masa depan politiknya?

Itukah sebabnya, maka warkah dari penjara itu banyak sekali menyentuh mengenai Tun Mahathir dan Deklarasi Rakyat?

Itukah juga puncanya Anwar diberikan kelonggaran, sebagaimana yang diakui oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri, Nur Jazlan Mohamed, untuk menyebarkan warkah tersebut di sebalik peraturan Jabatan Penjara yang melarang sesuatu barang dibawa masuk atau keluar dari penjara?

Apakah selepas ini kita akan menatap lebih banyak lagi luahan Anwar berkaitan Tun Mahathir dan Deklarasi Rakyat?

Dan akhirnya, apakah Anwar  bakal dibebaskan lebih awal daripada penjara melalui pengampunan yang akan diusulkan sendiri oleh Najib?

Apakah juga nanti, melalui pembebasan awal itu, bukan sekadar membuatkan Anwar, Dr Wan Azizah, Nurul Izzah dan lain-lain pemimpin yang masih setia dengan Ketua Umum itu rasa terhutang budi dengan Najib, malah penyudahnya akan turut  membawa perpecahan kepada PKR sama?

Di titik paling akhir sekali nanti, mungkinkah semua yang pro Anwar, termasuk Dr Wan Azizah dan Nurul Izzah yang memang diketahui tidak menyokong Deklarasi Rakyat akan bertaut erat dengan Najib, UMNO serta BN dan pakatan pembangkang akan diambilalih oleh Tun Mahathir bagi meneruskan hasrat menyingkirkan Perdana Menteri dari tampuk kuasa melalui pilihanraya? (SH 18/05/2016)

ADAKAH KAWASAN TRADISI KALAH YANG NAK DIBANGGAKAN?




PAS, JIKA MENANG DI SUNGAI BESAR & KUALA KANGSAR LEBIH MENJADI ANCAMAN KEPADA PAKATAN HARAPAN


Pembangkang utama dalam negara sekarang ialah Pakatan Harapan yang mempunyai tiga parti yang meliputi semua kaum iaitu PKR, DAP dan Amanah manakala Pas adalah pembangkang yang bersendirian sejak meninggalkan Pakatan Rakyat dan hanya baru-baru ini saja menubuhkan blok ketiga bersama sebiah parti kecil iaitu Ikatan.

Selain itu, Pakatan Harapan juga adalah gabungan tunggal yang berhasrat untuk menjadi kerajaan alternatif kepada BN sedangkan Pas hanya mahu menjadi penasihat semata-mata.

Lantaran itu, sekiranya ada pilihanraya kecil di mana-mana, Pakatan Harapan semestinya lebih layak meletakkan calon untuk berlawan dengan BN berbanding Pas.

Lebih-lebih lagi dalam PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar di mana pengundi bukan Melayu adalah 33 peratus dan 31 peratus, kesesuaian itu tentu saja lebih kepada Pakatan Harapan.

Sebagai pembangkang yang kedua, Pas boleh memilih sama ada untuk sama-sama bertanding dan membiarkan berlaku pertandingan tiga penjuru atau berunding dengan Pakatan Harapan untuk menjadikan satu lawan satu.

Jika mereka benar-benar ingin bersama dengan pembangkang menumbangkan BN dan menjadikan pilihanraya kecil Sungai Besar dan Kuala Kangsar sebagai mesej penolakan terhadap Najib, Pas seharusnya lebih sedia berlembut dan bertolak ansur dengan Pakatan Harapan.

Alasan bahawa Sungai Besar dan Kuala Kangsar kawasan tradisi yang ditandingi Pas sejak merdeka tidak boleh diterima sama sekali kerana ia adalah "kawasan tradisi kalah, bukannya tradisi menang", 

Kawasan tradisi menang mungkin boleh ditolak-ansur untuk orang lain tidak kacau daun, tetapi kawasan tradisi kalah, tolak ansur untuk pihak lain mencuba sepatutnya lebih terbuka.

Dengan itu, tentu saja tidak masuk akal apabila Pas pula yang meminta Pakatan Harapan agar jangan kacau daun dan membiarkan saja mereka bertanding di kedua-dua kawasan itu.

Bukankah yang menjadi pembangkang utama serta benar-benar ingin mengalahkan BN dan menjadi alternatif kepada kerajaan ialah Pakatan Harapan?

Walaupun pimpinan Pas seperti Tuan Ibrahim Tuan Man, Idris Ahmad dan Iskandar Abd Samad sebagai contoh, terlihat agak senada dengan Pakatan Harapan, tetapi Hadi Awang, Dr Haron Din dan Nasharuddin Tantawi jelas begitu merendah diri dan seakan-akan lebih menerima Najib.

Sudah pasti, di sebalik ada pimpinan Pas yang kekal dengan iltizam menumbangkan UMNO dan BN, kedudukan Hadi Awang sebagai Presiden dan Dr Haron Din sebagai Mursyidul Am, jauh lebih dominan dalam menguasai dan menentukan hala tuju parti itu.

Pas juga tidak pernah secara khusus mengatakan mereka akan bersama-sama dengan Pakatan Harapan mendepani BN dalam pilihanraya akan datang. Di sebalik bertahalul siyasi dengan PKR di Selangor, Pas juga amat memusuhi DAP dan Amanah.

Matlamat Pas lebih ingin bertanding bersendirian dalam pilihanraya umum akan datang, malah dalam video yang pernah tersebar tidak lama dulu, Tuan Ibrahim Tun Man mengatakan Pas akan "bernilai tinggi" dalam bersendirian ini dan akan menjadi rebutan selepas keputusan PRU 14 memandangkan sama ada BN atau Pakatan, kedua-dua dilihat tidak mampu memenangi jumlah kerusi yang betul-betul kukuh untuk membentuk kerajaan.

Maknanya apa?

Maknanya tidak lain ialah bahawa Pas boleh bekerjasama dengan sesiapa saja, asalkan parti mana lebih kuat atau yang mampu memberi tawaran lebih baik.

Tidakkah ini sebenarnya merbahaya kepada kedudukan Pakatan Harapan?

Oleh itu, meskipun pertandingan satu lawan satu adalah terbaik untuk menumbangkan BN di Sungai Besar dan Kuala Kangsar, Pakatan Harapan juga harus sentiasa berwaspada tentang matlamat dan kiblat sebenar Pas sekarang ini dan semenjak Hadi Awang pandai bersedondon merah jambu dengan Najib.

Kebulatan tekad Pas untuk terus bertanding tanpa kompromi di Sungai Besar dan Kuala Kangsar, sama sekali tidak membantu mengukuhkan barisan pembangkang untuk berlawan dengan BN, malah sekiranya mereka menang di salah satu atau kedua-dua kerusi itu, ia adalah ancaman sebenar kepada perjalanan Pakatan Harapan untuk menumbangkan BN dan menawan Putrajaya dalam pilihanraya akan datang.

Dalam keadaan tradisi kalah pun susah diajak berunding, setelah menang nanti bukan saja segala-galanya bertambah sukar, malah tidak mustahil "warna merah jambu akan lebih menyerlah kemerah-merahannya". (SH 19/05/2016).

HUDUD KELANTAN: ‘PENCURI BALAK GAGAL DIKERAT KUKU’ – HUSAM

AZMIN SIMPATI HADI ‘TIDAK TAHU’ PERKEMBANGAN RUNDINGAN 2 PRK

NIZAR JAMALUDDIN CALON PH DI PRK KUALA KANGSAR?

DEKLARASI: DR M TIADA AGENDA PERIBADI TAPI KITA PERLU HATI-HATI – MAT SABU

FEEL GOOD FACTOR DI SARAWAK, PRU 14 MUNGKIN TAHUN HADAPAN – KHALID

TIGA PENJURU HANYA DAPAT DIELAKKAN JIKA PAS TIDAK TERUS SYOK PAKAI BAJU UKURAN LAMA


SHAHBUDIN.COM


Walaupun semua yang membenci Najib Razak mengharapkan berlaku pertandingan satu lawan satu antara pembangkang dengan BN di Kuala Kangsar dan Sungai Besar, namun harapan itu nampaknya semakin sukar menjadi kenyataan.

Ia bukanlah disebabkan oleh Pakatan Harapan yang mempunyai tiga parti tidak sedia untuk bertolak ansur, sebaliknya lebih berpunca daripada Pas yang hanya ada rakan bernama Ikatan, sebuah parti paling kecil keahliannya, tetap berkeras mahu bertanding di kedua-dua kawasan tersebut.
Pas seolah-oleh merasakan Kuala Kangsar dan Sungai Besar adalah milik abadi mereka untuk ditandingi, walaupun Naib Presidennya, Idris Ahmad pernah mengatakan parti itu tidak beriman semata-mata kepada pilihanraya, manakala Hadi Awang tidak lama dulu mengatakan pihaknya tidak mahu berebut kuasa dan hanya mahu menasihati kerajaan saja.

Lalu, kenapa sekarang begitu bermati-matian mahu bertanding di kedua-dua kerusi tersebut dan seolah-olah akan gugur iman jika melepaskan salah satu daripadanya?

Dalam laporan Malay Mail Online, Hadi Awang juga berkata, pihaknya akan bertanding sendirian di kedua-dua pilihanraya kecil itu dan tidak akan bekerjasama dengan Pakatan Harapan.

Kata Hadi lagi, Pas sudah bertanding sejak merdeka di kedua-dua kawasan itu dan oleh yang demikian, mereka mempunyai hak mutlak untuk terus bertanding.
Dalam laporan Sinar Harian pula, Hadi dipetik sebagai berkata, Pas mempunyai sokongan akar umbi yang kuat di Kuala Kangsar serta Sungai Besar dan parti lain yang mahu bertanding harus mengukur baju di badan sendiri.

Sepatutnya semua pihak yang mahukan perubahan menghormati kedudukan Pas dan jangan nak berebut, katanya lagi.

Jika Pas merasakan kedua-dua kerusi itu hak mereka berdasarkan pernah bertanding sejak merdeka, ia adalah alasan jumud yang tidak semestinya boleh diterima pakai sepanjang masa serta berdasarkan perubahan serta keperluan semasa.

Jika kekalahan 399 undi di Sungai Besar dan 1082 undi Kuala Kangsar yang dialami oleh Pas dalam pilihanraya 2013 mahu dijadikan sandaran, Pas seharusnya sedar bahawa ketika itu mereka bersama dalam Pakatan Rakyat dan mendapat sokongan kuat daripada PKR dan DAP.
Untuk Sungai Besar, berdasarkan komposisi 2013, Pas tidak seharusnya lupa bahawa undi bukan Melayu ialah 33 peratus sementara di Kuala Kangsar sebanyak 31 peratus.

Oleh itu, jika mereka bertanding kali ini, tanpa dibantu PKR dan DAP sebaliknya bantuan gantian diperolehi daripada Ikatan yang jumlah keahliannya pun kita tak tahu, apakah mereka yakin pengundi bukan Melayu masih menyokongnya?

Katalah berlaku juga pertandingan tiga penjuru, potensi Pas sebenarnya hanyalah di kalangan 66 peratus pengundi Melayu di Sungai Besar dan 68 peratus di Kuala Kangsar, itu pun terpaksa berebut dengan BN dan Pakatan Harapan.

Bagi pengundi bukan Melayu, kecenderungan mereka sudah tentu lebih kepada DAP serta PKR dan walaupun dalam pilihanraya Sarawak terlihat ada kecenderungan kembali menyokong BN, tetapi sudah tentu pengundi bukan Melayu sekarang ini rasa tertipu apabila jawatan Timbalan Ketua Menteri tidak diberikan sebagaimana ada pemimpin yang menjanjikannya.
Maknanya, walaupun Pas tewas dalam majoriti kecil dalam pilihanraya umum lalu, situasinya sudah berubah sekarang ini.

Dalam pertandingan tiga penjuru, dengan undi Melayu berpecah tiga dan undi jika undi bukan Melayu dapat dikawal dengan baik oleh DAP dan PKR, calon Pakatan Harapan lebih peluang untuk menang.

Kalau berlaku pertandingan dua penjuru antara Pas dengan BN sekalipun, ia belum tentu menjamin kemenangan kepada Pas jika DAP dan PKR tidak memberikan komitmen sokongan.

Sebab itu, dalam Pas mahu berkeras dan bermati-matian ingin bertanding di kedua-dua kerusi tersebut, mereka juga harus rasional, terbuka, pandang kiri pandang kanan dan tidak cepat menutup pintu rundingan sebagaimana yang dituntut oleh Islam sendiri.

Sedia bertolak ansur dan berkompromi adalah lebih baik bagi pihak pembangkang iaitu Pas dan Pakatan Harapan daripada parti Islam itu terus berkeras dan masih "syok sendiri" memakai baju dengan ukuran lama, tambahan lagi Amanah yang disebut- sebut akan bertanding sudah pun menghulurkan kelembutan untuk bertanding satu kerusi saja.

Bertolak ansur dan berkompromi dengan Pakatan Harapan mungkin tidak baik jika Pas hanya ingin menjadi talian hayat kepada Najib Razak dalam mengekalkan kuasanya.  (SH 15/05/2016).
Anda mungkin juga meminati:

GAMBAR DSAI KETIKA MENZIARAHI ADINDA BELIAU MENINGGAL DUNIA







DSAI dibawa menziarahi jenazah adik beliau yang meninggal dunia PADA 12 Mei di Teras Jernangi..sedih mengenangkan pemergian ramai orang tersayang, tanpa beliau dapat berada disisi, kerana terpaksa dipisahkan oleh tirai besi penjara..








TREND PENGUNDIAN SARAWAK: MATA HATI ATAU MATA WANG?