Trend pengundian Sarawak: Mata hati atau mata wang
Hampir seminggu berlalunya Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak, namun banyak pihak menganggap pertindihan kerusi antara parti pembangkang – PKR, DAP, Amanah dan Pas – sebagai punca BN meraih kemenangan besar pada keputusan 7 Mei, Sabtu lalu.
Hal itu tidak dapat dinafikan tetapi dilihat masih dalam konteks teknikal termasuk kesan persempadanan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana majoriti daripada 82 kerusi Dun yang ditandingi masih lagi tidak melibatkan pertembungan parti pembangkang.
Aspek lain perlu disedari adalah nilai sosio-politik masyarakat setempat khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman yang turut banyak menyumbang kepada pola pengundian yang menyaksikan BN menawan 88 peratus kerusi ditandingi.
Selain berjayanya sentimen anti-Semenanjung juga sebenarnya anti-Malaysia serta kempen Sarawak For Sarawakians seperti dapat dilihat pada papan kempen yang tidak lebih hanya propaganda BN untuk terus berkuasa, satu lagi ciri yang sangat dominan dalam kebanyakan pengundi Bumiputera di Sarawak ketika musim pilihan raya ialah wang.
Bukan sekadar tuduhan tetapi pengalaman hampir seminggu di kawasan majoriti Melayu Sarawak sebelum hari membuang undi mendapati gejala tersebut begitu menonjol.
Walaupun tidak dinafikan pilihan raya menuntut perbelanjaan yang besar tetapi pemerhatian terhadap interaksi antara jentera pilihan raya Amanah di Dun Sadong dengan penduduk tempatan mendapati hampir semua segi atas pertimbangan wang.
Mata wang
Gejala tersebut dilihat begitu konsisten dan ironinya berlaku di kerusi yang tidak melibatkan pertindihan kerusi dalam kalangan parti Amanah, Pas, PKR mahupun DAP.
Memilih pemimpin dengan mata hati bukan dengan mata wang meminjam pesanan Jalaluddin Ab Manap, 80, atau lebih dikenali Pak Amjal ketika di markas Amanah tidak keterlaluan dikatakan bukan menjadi pegangan majoriti pengundi di Bumi Kenyalang.
Pemilihan mereka banyak bergantung kepada parti mana yang memberi lebih banyak habuan. Tidak hairanlah, BN terus menang besar hasil penyelewengan dana serta salah guna lembaga kerajaan untuk parti selain eksploitasi terhadap akses media yang hanya menyebelahi mereka. Realitinya, wang menjadi punca utama parti pembangkang kalah teruk.
Segala-galanya wang. Ada wang semua kerja jalan. Kebanyakan pengundi di Sarawak menganggap pilihan raya sebagai peluang besar untuk mereka mengaut sebanyak mungkin wang bukannya satu peluang untuk mengubah kehidupan lebih baik pada jangka panjang.
Anak Melayu Sarawak kelahiran Saratok mahu dikenali sebagai Hamizan, 32, merupakan penjawat awam yang kini berkhidmat di Putrajaya sejak 2008 lalu turut mengakui hakikat tersebut berdasarkan pengalamannya sebelum ini.
Beliau yang juga anak kepada pemimpin tempatan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) di kampungnya secara sarkastik mencadangkan parti pembangkang menyediakan dana jauh lebih besar pada PRN akan datang berbanding pilihan raya baru-baru ini jika mahu meraih kemenangan.
“Sebulan sebelum penamaan calon, orang PKR atau Amanah sudah boleh datang jumpa ketua-ketua tempatan atau suku kaum termasuk Pemuda dan Wanita PBB.
“Berikan RM2,500 sebagai contoh kepada Pemuda dan Wanita parti komponen BN di sesebuah kampung itu untuk dia agihkan pula kepada pengikut-pengikut mereka bagi tujuan gerak kerja parti termasuk tampal poster dari rumah ke rumah,” ujarnya ketika ditemui.
Selanjutnya, beliau menganggap Pas sudah tidak relevan dengan mood perubahan rakyat dan tidak lebih hanya pengacau dalam pilihan raya.
Beliau berkata, PKR dan Amanah sekali lagi harus membawa sejumlah wang lagi untuk tujuan kempen pula sehingga tiba hari pengundian.
Pendapat Hamizan itu dilihat selari dengan trend penawaran hadiah lumayan yang dapat dilihat pada slot cabutan bertuah sepanjang berlangsungnya ceramah kempen.
Umpan lumayan
Selain BN yang menawarkan hadiah cabutan bertuah berupa kereta, Pas pada malam pembuangan undi di Dun Sebuyau contohnya turut mengumpan motosikal untuk cabutan bertuah dalam ceramah kempennya.
Apapun, sudah tentu secara keseluruhannya, BN lebih mampu menabur lebih banyak lagi durian runtuh.
Penulis juga pada hari pembuangan undi, 7 Mei lalu di SK Haji Kelali, Dun Sadong Jaya secara kebetulan menemui individu yang bertanggungjawab membuka cawangan Pas di kampungnya menjelang PRN 2011.
Namun, ketika ditemui beliau yang memakai tshirt berlogo PBB dan berada di barung panas parti komponen tulang belakang BN Sarawak itu pada PRN kali ini telah bersama PBB. Tidak mustahil untuk tempoh lima tahun akan datang, individu sama akan menyarung t-shirt Amanah pula.
Pemasangan semua bendera parti di rumah serta kesediaan menyarung semua jenis baju atau topi berlogo parti yang kononnya sebagai politik mesra dan terbuka orang tempatan daripada satu segi cuba menyembunyikan realiti budaya politik yang dianggap ketara bersifat ‘lalang’.
Sepanjang tempoh kempen di kawasan perkampungan di Dun Sadong Jaya yang dihuni majoriti Melayu Sarawak, dapat diperhatikan bukan sedikit orang kampung ditemui meminta diberikan t-shirt Amanah bahkan payung atau beg Amanah. Lazimnya, gejala meminta tanpa segan silu itu datangnya daripada warga tua dan kaum ibu.
Mungkin mereka menganggap Amanah kaya seperti BN. Sikap mereka yang meminta itu dan ini daripada petugas dan jentera pilihan raya Amanah itu turut datang daripada kalangan yang berpakaian tshirt BN atau di perkarangan rumah terpampang bendera dan logo BN.
Bahkan, pada pagi pengundian ada yang selamba memakai topi dan t-shirt bertulisan Pas Sarawak tetapi selamba masuk ke pusat operasi atau markas Amanah kononnya untuk menemui calon Amanah, Ustaz Othman Mustafa.
Ketika dalam perjalanan menuju ke salah satu pusat pengundian pula, penulis terserempak dengan seorang lelaki dewasa memakai t-shirt berwarna oren yang sinonim dengan Amanah tetapi vest terang-terang tertulis BN. Bersamanya ketika itu seorang wanita dewasa.
Namun, apabila berselisih kembali, individu sama sedang menyarung tshirt warna biru tua yang kemudiannya menutup keseluruhan tshirt warna oren yang mulanya dipakai. Timbul persoalan, apa tujuannya lelaki di jalan masuk utama kampung itu memakai tshirt dua lapis pada pagi yang semakin dipanahi cahaya matahari itu?
Pasang, cabut orang sama
Paling konsisten diakui penduduk tempatan ialah hari ini mengambil upah memasang bendera parti pembangkang, esok lusa ambil upah mencabut bendera yang mereka pacakkan.
Bahkan, beberapa orang penduduk tempatan yang penulis temui dari surau sampailah di pintu masuk pusat pengundian juga mengakui dalam hati mereka hanya BN jadi mereka tidak perlu bimbang melihat ahli keluarga atau jiran sekampung mereka memasang bendera atau memakai tshirt berlambangkan parti Amanah, PKR atau Pas.
Di beberapa buah kampung, sekiranya tuan rumah itu terang-terang penyokong Pas, dia tidak akan keluar menyambut kehadiran orang Amanah yang sedang berkempen.
Pada masa sama, diperhatikan di perkarangan dan di ruang tamu rumah penyokong Pas itu, tidak akan dipasang bendera atau logo BN apalagi ‘musuh’ terbaharunya, Amanah seperti kelaziman majoriti yang lain.
Pemerhatian mendapati gejala berajakan wang di mata ini berkait rapat dengan latar ekonomi. Golongan yang dianggap menganut politik lalang ini daripada anak muda sehingga warga tua terdiri daripada mereka yang tidak berpendapatan tetap, nelayan pesisir pantai dan bekerja kampung termasuk suri rumah sepenuh masa.
Struktur sosio-ekonomi dalam mempengaruhi tahap penyertaan politik masyarakat setempat ini turut diakui Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisomudin Bakar.
Wang faktor utama
Beliau menyifatkan faktor wang tidak dapat ditolak dalam kalangan majoriti pengundi di Sarawak khususnya di kawasan luar bandar dan pedalaman memandangkang mereka terpaksa meninggalkan kerja seharian bagi tujuan kempen pilihan raya.
“Kita juga perlu adil dalam menilai kaitan wang dengan budaya politik pengundi di Sarawak. Sebahagian besarnya berpendapatan rendah dengan persekitaran mereka yang saling bergantung dan mempunyai tali persaudaraan antara satu sama lain.
“Hal ini sebenarnya tidak jauh beza dengan keadaan di sebahagian kawasan luar bandar dan pedalaman di Semenanjung.
“Tidak hairanlah pilihan raya dianggap sebagai durian runtuh kerana dalam tempoh itu mereka dapat menambah pendapatan bagi menampung kos kehidupan yang semakin meningkat,” ujarnya lagi ketika dihubungi Malaysia Dateline.
Justeru, banyak perkara perlu dilakukan terutama dari segi pendidikan literasi politik dan peningkatan sosio-ekonomi bagi mewujudkan kesedaran pengundi di Sarawak untuk memilih pemimpin bukan berdasarkan mata wang.
Memilih pemimpin dengan mata hati dan akal budi penting supaya mereka tidak terus dihanyutkan dengan sentimen kenegerian melampau yang sengaja dimainkan bagi kelangsungan hegemoni elit BN.
Hal ini termasuklah menyedari bahawa isu nasional dengan apa yang berlaku di Semenanjung akibat dasar dan keputusan dari Putrajaya sebenarnya turut memberi tempias kepada kualiti dan kesejahteraan hidup mereka di Bumi Kenyalang. malaysia dateline