MP Machang bagi 9 sebab kenapa tarik sokongan terhadap Muhyiddin

 

MP Machang bagi 9 sebab kenapa tarik sokongan terhadap Muhyiddin

Sembilan sebab kenapa Ahli Parlimen Machang, Datuk Jazlan Yaakub mengumumkan menarik sokongannya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Sambil berulang kali menegaskan, tindakannya itu tidak dipengaruhi mana-mana pihak, beliau berkata, antara sebab itu ialah kegagalan kerajaan PN menunaikan janji untuk melanjutkan tempoh moratorium selama enam bulan lagi dan pengeluaran akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Katanya, sebab lain ialah kes positif Covid-19 semakin parah, pengangguran membimbangkan, prestasi ekonomi semakin menguncup, kes Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim belum terbela, pemulangan duit UMNO, ahli UMNO dicuri, gagal membela pelajar IPT dan golongan M40 tidak diberi perhatian secara bersasar.

“Secara jujur, ini sebabnya kenapa saya menarik sokongan terhadap Perdana Menteri dan kerajaan PN, selain menghormati memorandum daripada Badan Perhubungan UMNO empat peringkat negeri Kelantan.

“Keputusan saya ini tidak terpengaruh atau dipengaruhi oleh mana-mana pihak. Saya buat seikhlas hati saya demi rakyat dan parti saya, dan dalam sidang media pun, saya tidak menyentuh pun soal Pilihan Raya Umum (PRU), atau memberi sokongan kepada mana-mana pihak.

“Saya bukan orang pertama menarik sokongan. Saya adalah Ahli Parlimen kedua selepas Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Pada Isnin minggu lalu, Ahmad Jazlan yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan mengumumkan peletakan jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) sebagai tanda tidak berpuas hati dengan Muhyiddin dan kerajaan PN.

Katanya, beliau membuat keputusan itu selepas mengambil kira pandangan Badan Perhubungan empat peringkat UMNO Kelantan dan telah memberi ruang secukupnya kepada semua pihak yang hendak membangkitkan apa-apa bantahan atau isu diketengahkan.

Ujarnya, keputusan sebulat suara pada mesyuarat empat peringkat Perhubungan UMNO Kelantan itu menyokong penuh tindakannya.

“Dalam situasi begini, apa pilihan saya ada? Sama ada mementingkan rakyat dan parti sebagaimana disarankan Badan Perhubungan empat peringkat ataupun berdiam diri sebagai pemimpin yang bertanggungjawab kepada organisasi parti di Kelantan.

“Maka, pengumuman saya untuk tidak menyokong kerajaan yang ada di bawah pimpinan Perdana Menteri sekarang berlandaskan kepada naratif sembilan sebab itu.



No comments: