PETALING JAYA: Di ambang darurat yang akan berlarutan sehingga 1 Ogos, Umno hari ini mendesak kerajaan selesaikan isu sekitar pengeluaran wang caruman KWSP dan lanjutan moratorium ke atas pembayaran pinjaman bank.
Presiden Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan kerajaan ia masih perlu selesaikan dua tuntusan Barisan Nasional itu, yang menurut beberapa pemimpinnya masih belum sempurna.
Katanya, kerajaan harus “mengotakan janji bagi menyelesaikan isu-isu yang menyentuh kelangsungan hidup rakyat, terutamanya mengenai tuntutan berkenaan pengeluaran i-Sinar KWSP tanpa syarat, lanjutan moratorium, dan kemaslahatan rakyat secara keseluruhannya”.
Desakan ini menyusuli mesyuarat biro politik Umno yang bersidang petang tadi, untuk membincangkan pengisytiharan darurat pagi tadi.
Ia merupakan seruan terbaru selepas desakan demi desakan daripada pimpinan Umno lain termasuk Ketua Pemuda Asyraf Wajdi Dusuki dan bekas presiden Najib Razak.
Pada Disember, Najib yang juga ketua Kelab Penyokong Kerajaan BN berkata gabungan itu masih berpeluang “m
embuat sesuatu kelak” sekiranya Perikatan Nasional tidak memperbaiki dua tuntutan utama itu.
Pengisytiharan darurat pagi tadi berlatarkan persoalan mengenai bilangan sebenar sokongan ahli Dewan Rakyat kepada pentadbiran Muhyiddin, selepas beberapa Ahli Parlimen Barisan Nasional menarik balik sokongan dan desakan supaya pilihan raya diadakan.
Sementara itu, Zahid mengingatkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bahawa segala kuasa bawah Ordinan Darurat hendaklah tertumpu kepada urusan pengawalan wabak semata-mata.
“Memandangkan rasional yang dikemukakan oleh perdana menteri dalam memohon pengisytiharan darurat hanyalah untuk menguruskan pandemik Covid-19,” katanya.
Ia juga menggesa kerajaan untuk segera berusaha mengembalikan dan memulihkan fungsi Perlembagaan dan amalan demokrasi berparlimen sejurus darurat mencapai matlamatnya.