SELEPAS SEMALAM UMUM PKP HARI INI DARURAT PULA


Yang di-Pertuan Agong telah memberi perkenan supaya Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sebagai langkah proaktif untuk membendung gejala wabak Covid-19.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin memaklumkan perkara berkenaan pada kenyataan hari ini.

“Seri Paduka Baginda turut memberi perkenan untuk tempoh pelaksanaan darurat ini sehingga 1 Ogos, 2021 atau sehingga suatu tarikh yang lebih awal jika angka kes positif COVID-19 harian dapat dikawal dan diturunkan dengan berkesan.

“Al-Sultan Abdullah turut berkenan terhadap cadangan Kerajaan bagi pembentukan satu Jawatankuasa Bebas yang akan dianggotai oleh Ahli-ahli Parlimen Kerajaan dan Pembangkang serta pakar-pakar kesihatan dan yang berkait.

“Jawatankuasa Bebas ini akan mengesyorkan kepada Seri Paduka Baginda sekiranya pelaksanaan darurat ini dapat ditamatkan lebih awal,” kata kenyataan itu lagi.

Perisytiharan darurat ini tentu saja agak mengejutkan kerana ia diumumkan setelah semalam Muhyiddin Yasson mengumumkan perintah kawalan pergerakan (PKP) untuk tempoh 14 hari bermula Rabu ini (13 Jan) dan akan berlangsung sehingga 26 Jan.

Jelas Muhyiddin, perintah PKP kali ini melibatkan tiga peringkat pelaksanaan.

Peringkat pertama, PKP dikenakan ke atas lima buah negeri dan tiga wilayah persekutuan iaitu Pulau Pinang, Selangor, Melaka, Johor, Sabah, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan.

Peringkat kedua, PKP Bersyarat (PKPB) ke atas enam buah negeri iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan.

Peringkat ketiga pula, PKP Pemulihan (PKPP) pula akan dilaksanakan bagi negeri Perlis dan Sarawak dan akan diteruskan sepanjang tempoh tersebut.

Maka, sehingga 1 Ogoa depan, tiada apa-apa, termasuk PRU yang didesak oleh UMNO akan dibenar untuk dilaksanakan.

Malah, jika Hari Raya Aidil Fitri tahun lepas disambut dalam suasana PKP, Hari Raya Aidil Fitri tahun ini pula dalam tempoh darurat Covid19.

 (Shahbudinditcom 12/01/2021)


No comments: