Jangan khayal, sediakan RM500 juta untuk rakyat hadapi PKP, PKPB, Anwar beritahu Muhyiddin

 

Mulai Rabu hingga 26 Jan ini, PKP akan dilaksanakan di Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan, Melaka, Johor dan Sabah.

PETALING JAYA: Ketua pembangkang, Anwar Ibrahim mendesak kerajaan segera menyediakan dana RM500 juta bagi membantu rakyat terkesan akibat pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) dan PKP bersyarat.

Beliau juga mahukan moratorium pembayaran balik pinjaman bank diperkenalkan semula dan subsidi upah serta bantuan kepada perniagaan diperkukuhkan.

Ahli Parlimen Port Dickson itu bersama beberapa wakil rakyat lain lantang membidas Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin kerana memperkenalkan pelbagai sekatan untuk membendung Covid-19, termasuk larangan merentas negeri dan aktiviti sosial mulai Rabu, tanpa menyediakan bantuan diperlukan rakyat.

Petang tadi, Muhyiddin mengumumkan PKP selama dua minggu mulai Rabu ini hingga 26 Jan di Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan, Melaka, Johor dan Sabah.

PKP bersyarat pula dilaksanakan di Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah, Terengganu dan Kelantan, serta PKP pemulihan di Perlis dan Sarawak.

“Ramai yang akan kehilangan kerja. Ramai yang akan dihempap kemiskinan. Kerajaan digesa mengumumkan segera peruntukan RM500 juta untuk dua minggu seterusnya, termasuk bantuan lain seperti subsidi upah dan bantuan untuk perniagaan terjejas,” kata Anwar.

Pengerusi Pakatan Harapan itu berkata, kerajaan harus “sedar daripada berkhayal supaya keadaan tidak memburuk”.

Dalam pada itu, bekas perdana menteri, Najib Razak turut menggesa Muhyiddin untuk peka kepada keperluan rakyat, khususnya mereka yang terkesan dengan pelaksanaan semula PKP itu.

“Jika mahukan jutaan orang duduk diam-diam di rumah tanpa pendapatan, umumlah sekali sedikit bantuan untuk meringankan beban,” kata Ahli Parlimen Pekan itu.

Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman terkejut dengan pengumuman “saat terakhir” PKP itu dan ketiadaan sebarang bantuan untuk rakyat.

“Amalan ‘last minute’ begini janganlah dibuat lagi. Saya desak kerajaan segera umum bantuan wang dan moratorium kepada rakyat. Jangan tangguh-tangguh,” kata beliau.

Ahli Parlimen Bandar Kuching, Kelvin Yii berkata, kerajaan Perikatan Nasional gagal menghayati pengalaman negara menempuhi PKP sebelum ini.

Kegagalan ini, menurut beliau, menyebabkan sistem kesihatan awam ketika ini tertekan akibat kenaikan mendadak kes positif Covid-19.



No comments: