Ketika muncul khabar mengatakan PAS ada
membincangkan cadangan menyertai kerajaan perpaduan, pemimpin tertinggi parti
itu dipetik lidah rasminya sebagai sedang memilih langkah sebaliknya.
Menurut Mursyidul Am PAS Hashim Jasin parti itu
“tidak akan memenuhi ajakan” untuk menyertai kerajaan seperti yang didakwa
sesetengah pihak.
Alasan Hashim, kerana di dalam kerajaan sekarang
ada Anwar Ibrahim dan DAP iaitu pihak yang pernah menjadi rakan kerjasama PAS
sebelum ini.
“PAS tidak akan memenuhi ajakan pihak-pihak
tertentu termasuk daripada Umno untuk bersama dan bercampur dalam kesepakatan
politik yang adanya DAP,” katanya dipetik Harakahdaily hari
ini.
Sebelum ini media melaporkan Hashim sebagai berkata
PAS sedang mengkaji kesan baik dan buruk jika mereka menyertai kerajaan
sekarang, sekali gus mengakui ada usaha pihak tertentu menarik mereka menjadi
kerajaan.
Malah, laporan Utusan Malaysia itu menyatakan,
perkara tersebut ada dibangkitkan pada Majlis Syura UlamaPAS dan
dibincangkan secara sepintas lalu, justeru belum ada sebarang keputusan
muktamad.
“Kita perlu kaji dan tengok baik buruk mengenainya
dan adakah dalam kerjasama di dalam kerajaan itu ada DAP dan sebagainya.
“Perkara itu akan diteliti sebelum sebarang
keputusan dibuat,” kata Hashim sebelum ini.
Dalam laporan Harakahdaily hari ini pula Hashim
berkata pengalaman bekerjasama dengan DAP dulu menunjukkan parti tersebut “tak
boleh dipercayai” dan membawa “agenda lain.”
Mengulas lanjut Hashim berkata suatu ketika dulu
Pengerusi DAP Lim Guan Eng menyebut dia mahu mentadbir Pulau Pinang seperti
Khalifah Umar Abdul Aziz.
Pengakuan Lim itu, kata Hashim membuatkan PAS
terbuka hati untuk berkawan.
“Puas hati apabila dia (Lim) nak memerintah seperti
itu. Tapi rupa-rupanya tak boleh percaya, bohong sahaja, dia ada agenda lain,”
katanya.
Hashim juga memberitahu pihaknya memutuskan untuk
tidak lagi bersama DAP kerana parti berkenaan menolak Presiden PAS Abdul Hadi
Awang.
“Apabila keputusan ini kita dah buat, dah kita
rasa, dah tahu dah selok-belok DAP ni, (sekarang) Umno nak ajak kita pergi
bersama semula?
“Saya rasa kalau dibawa dalam majlis syura pun, tak
akan ada seorang pun yang menyokong untuk kita (PAS) bersama (DAP).
“Sebab itu kita (PAS) tak mahu DAP, kita tak mahu
Anwar. Ini keputusan kita,” katanya yang ditemui Harakahdailybaru-baru
ini.
Sumber – Anwar,
DAP punca PAS enggan sertai kerajaan