KALAU BERASA PELIK, LEBIH BAIK PN TUTUP TERUS BINCANG SOAL PERUNTUKAN



PN dilaporkan berasa pelik dengan syarat yang terkandung dalam MOU daripada kerajaan perpaduan berkaitan peruntukan kewangan kepada Ahli-Ahli Parlimen blok pembangkang.


Ketua Whip Ahli Parlimen PN, Takiyuddin Hassan berkata, pihaknya telah menerima draf berkenaan, tetapi belum membincangkannya lagi secara mendalam.


Katanya, draf yang diterima itu mengandungi tujuh syarat yang mesti dipenuhi sebelum perjanjian hendak dipersetujui.


Menurut Takiyuddin, antara aspek yang ditekankan oleh pihak kerajaan kepada pembangkang ialah pengisytiharan harta.


“Kita (PN) pun agak pelik sikit, sebab memorandum persefahaman ini sepatutnya untuk menyalurkan peruntukan wajib kepada pembangkang.


“Walaupun kami pembangkang (di Dewan Rakyat), pembangkang pun Ahli Parlimen juga.


“Zaman dulu (sewaktu kerajaan PN) kami bagi peruntukan kepada semua Ahli Parlimen.


“Tapi dalam (MOU kali) ni disebut tujuh prinsip berkaitan kehidupan awam, pertuturan kebencian, hasutan kebencian, mengenai isu bangsa, agama dan raja-raja.


“Maka isu 3R pun dimasukkan dalam memorandum sebelum kerajaan nak bagi peruntukan,” katanya lagi.


Sebab itu, tambah beliau, kandungan MOU yang disediakan kerajaan itu agak pelik sikit.


Ternampak di sini PN tidak begitu selesa dengan syarat-syarat yang dianggap sedikit pelik yang disediakan kerajaan dalam MOU tersebut.


Yang dirasakan pelik itu tentunya apabila syarat itu turut menyentuh soal agama dan bangsa.


Ini kerana PN, terutamanya Pas yang bertunjangkan agama dan Bersatu yang memperjuangkan bangsa Melayu, sudah tentu tidak dapat lari daripada kedua-dua isu berkenaan dalam perjuangan harian politik mereka.


Maka, apa pilihan buat PN?


Senang saja, jika PN berasa sedikit pelik dengan syarat-syarat dalam MOU itu atau merasakan ia bakal memerangkap mereka, lebih baik mereka lupakan saja soal untuk mendapatkan peruntukan kewangan daripada kerajaan.


Beritahu kerajaan – kami tidak setuju dengan syarat-syarat yang diberi itu dan menutup terus untuk berbincang dengan kerajaan bagi mendapatkan peruntukan kewangan.


Lagi pun, tempoh untuk tiba PRU16 bukan lama sangat lagi – hanya sekitar tiga tahun saja.


Hanya membuang masa jika mahu sebahagian syarat itu dipinda dan kemudian, perlu diadakan beberapa perbincangan semula lagi.


Akhirnya lebih banyak masa terbazir begitu saja.


Jika sudah hampir dua tahun boleh dilalui tanpa peruntukan kewangan daripada kerajaan, apa masalahnya untuk PN bersabar sikit bagi tempoh tiga tahun lagi?


Lebih baik masa yang berbaki ini dimanfaatkan sepenuhnya bagi memenangi PRU16 akan datang yang mana PN, dengan kemenangan 74 kerusi Parlimen pada PRU15 lalu, mereka hakikatnya hanya berbeza 8 kerusi saja berbanding PH yang menang 82 kerusi Parlimen. – ShahbudinHusin 2September2024.



No comments: