POSTED BY AMIR WRLR
Setahun selepas pengkhianatan Langkah Sheraton yang menyaksikan
Ahli Parlimen Gombak melompat membentuk kerajaan Perikatan Nasional (PN),
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yakin Gombak kekal sebagai
kubu kuat KEADILAN.
Berucap dalam majlis "Bicara Amanat Presiden, KEADILAN kekal relevan" di Dewan Sri Siantan, DUN Sungai Tua semalam, beliau menegaskan jentera pilihan raya Parlimen Gombak siap sedia menghadapi cabaran Pilihan Raya Umum ke 15 pada bila-bila masa.
"Setahun selepas Gombak ditilik oleh semua orang, apakah KEADILAN terus bertapak di Gombak?
"Hari ini sebagai bukti, bukan kita kumpulkan bukan sembarangan orang tetapi yang ada bersama kita adalah Ketua-ketua Daerah Mengundi (JDM), semua lengkap 48 Daerah Mengundi seluruh Gombak.
"Kita juga ada Ketua Ranting, Ketua Angkatan Muda, Wanita dan pimpinannya. Ini sebagai bukti KEADILAN bukan hanya tumbuh dan lahir, bukan hanya ikut-ikutan beberapa kelompok, tetapi kita lahir dengan semangat dan prinsip ingin mempertahankan maruah dan juga ingin membawa Reformasi di dalam negeri dan negara yang kita cintai.
"Saya cukup yakin, saya dan rakan-rakan membuat keputusan betul. Keputusan kita adalah kekal setia dengan KEADILAN.
"Saya yakin KEADILAN masih lagi menjadikan Gombak dan Selangor sebagai kubu kuat," katanya.
Menurut Ahli Dewan Negeri Sungai Tua itu lagi, perjuangan KEADILAN bukan setakat ingin menang pilihan raya. Menempatkan pemimpin di kedudukan menteri atau timbalan tetapi ingin membawa obor Reformasi. Membawa perubahan institusi dan memberi keadilan serta kesaksamaan kepada rakyat.
Dalam pada itu, beliau mengecam bekas pemimpin KEADILAN yang meninggalkan perjuangan tetapi tidak berasa malu mendakwa masih ada jiwa Reformasi walaupun duduk di dalam kerajaan PN.
"Kalau jiwa mereka itu masih ada reformasi tak kan mereka bersungguh-sungguh mempertahankan sebuah kerajaan yang double standard. Orang lain buat semua salah, dia buat boleh belaka," sinisnya.
Sebaliknya, Amirudin yakin kerajaan PN sedang goyah dan tidak mampu memerintah dengan baik.
Katanya, setiap hari kerajaan berkenaan sibuk memikirkan untuk mempertahankan kuasa, bukan ingin mempermudahkan kehidupan rakyat.
Beliau juga yakin pengkhianatan tidak akan kekal lama. Hanya beberapa orang meninggalkan parti tetapi 90% kekal setia dan meneruskan perjuangan.
"Hari ini kita pasakkan janji dan tekad yang bulat. Kita ingin kekalkan kemenangan Pakatan Harapan di Parlimen Gombak, di DUN Sungai Tua, di DUN Gombak Setia.
"Tidak cukup sekadar bersuara, semangat. Kita harus bekerja, santuni rakyat di bawah dan dapatkan maklumat serta sokongan kepada kita.
"Kita sudah ada asas yang kuat. Sekarang bola di tangan kita, jentera kita susun, jaga rakyat dan jaga mandat," katanya lagi.