JANGAN SAMPAI TIMBUL GELARAN ‘KLUSTER PELAHAP JAWATAN’….

 

Untuk kesekian kalinya, Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah terus membuat saranan agar Ahli-Ahli Parlimen parti itu yang memegang jawatan dalam kerajaan harus segera meletakkan jawatan.

Katanya, selepas putus hubungan dengan Bersatu dimuktamadkan dalam PAU kali ini, mereka tiada pilihan lain lagi selain perlu mengundurkan diri.

“Presiden UMNO menegaskan sekali lagi dalam ucapannya apa yang diputuskan oleh MT bahawa kita akan putus kerjasama dengan Bersatu.

“Ini bererti semua Ahli Parlimen UMNO yang menjadi menteri, timbalan menteri dan pegang jawatan pengerusi GLC mesti tarik diri.

“Kalau boleh hari ini juga,” tegas Ahli Parlimen Gua Musang itu.

Bagaimanapun sehingga ini hanya seorang menteri yang tampil menyatakan kesediaan berundur daripada kabinet jika itu yang diputuskan oleh parti.

Beliau ialah Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Shamsul Anuar Nasarah yang juga Ahli Parlimen Lenggong.

Dua orang menteri lain, Annuar Musa dan Reezal Merican Naina Merican seolah-olah enggan akur dengan saranan meletakkan jawatan itu, malah menyifatkan ia hanya pandangan peribadi Ku Li semata-mata.


Kata Annuar, keputusan parti setakat ini ialah UMNO terus berada dalam kerajaan sehingga Parlimen dibubarkan.

“Apa yang Ku Li cakap ini bercanggah dengan keputusan parti. Ia satu kesalahan,” katanya sambil mengingatkan bahawa Ku Li hanya sekadar ketua bahagian saja, sama jawatan sepertinya dalam UMNO.

Reezal Merican juga menyifatkan saranan Ku Li sekadar kenyataan peribadi pemimpin veteran itu.

“Pendirian parti ialah semua Ahli Parlimen UMNO akan kekal dalam kerajaan sehingga Parlimen dibubarkan,” tambah Reezal Merican yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas.

Hmmmm…nampaknya kedua-dua menteri ini amat sayang untuk melepaskan jawatan menteri mereka begitu saja.

Entah-entah, kalau ada keputusan parti agar semua Ahli Parlimen UMNO perlu segera menarik diri daripada kerajaan, nanti timbul pula hujah atau alasan lain daripada mereka untuk mewajarkan keseronokan menikmati kedudukan sebagai menteri, walau hakikatnya BN kalah dalam PRU14 lalu.

Selain itu, kalau kita perhatikan, dalam ucapan perasmian PAU pagi tadi, Zahid Hamidi juga ada menyentuh tentang keputusan MT UMNO bahawa sokongan atau keberadaan parti dalam kerajaan PN hanyalah sehingga Januari 2021 saja.

Selepas tarikh tersebut, sebagaimana pendirian asal UMNO, mandat hendaklah dipulangkan kepada rakyat membuat pilihan siapa yang mereka mahukan sebagai kerajaan.

Dengan apa yang disebut Zahid Hamidi itu, fahamlah kita akhirnya mengapa Muhyiddin Yassin beria-ia sangat mahu darurat dilaksanakan, meski cadangan kali pertama telah ditolak oleh Yang Dipertuan Agong dan Majlis Raja-Raja.

Meskipun begitu, sebagai parti yang bertanggungjawab dan berpegang kepada pendirian sendiri, walau ada darurat sebagai sekatan daripada Muhyiddin untuk menghalang kerajaannya dijatuhkan, UMNO masih boleh berbuat sesuatu agar PRU dapat diadakan segera.

Ia tidak lain ialah dengan Ahli Parlimen UMNO yang berada dalam kerajaan, tak kira sama ada sebagai menteri, timbalan menteri atau pengerusi GLC, harus meletakkan jawatan dengan segera, sekaligus mengumumkan penarikan sokongan terhadap Muhyiddin dan kerajaan PN.

Soalnya, selain Ku Li, kenapa hanya Ahmad Jazlan Yaakob dan Nazri Aziz saja yang sanggup berbuat demikian?

Kenapa yang lain-lain enggan berbuat demikian?

Bukankah sepatutnya mereka ini, jika benar mahukan PRU dan yakin UMNO boleh kembali berkuasa semula, harus segera berundur daripada semua jawatan dalam kerajaan?

Apa yang pelahap sangat dengan jawatan dalam kerajaan sehingga sanggup melihat UMNO terus dibuli dan diperkotak-katikkan oleh Bersatu?

Dan jangan sampai nanti ahli akar umbi UMNO menggelar semua yang ada jawatan dalam kerajaan sekarang sebagai “kluster pelahap jawatan” yang hanya memikirkan tembolok saja sendiri berbanding perjuangan? 

(Shahbudindotcom 28/03/2021)





No comments: