Perwakilan Umno beri mandat untuk tarik diri dari kerajaan PN bila-bila masa, kata Zahid

  -

PETALING JAYA: Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi, berkata perwakilan memberikan mandat untuk parti itu untuk menarik balik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional pada bila-bila masa, lebih-lebih lagi jika tidak ada petunjuk bila PRU15 akan diadakan.

“Kalau dapat difahami tadi, perwakilan memberikan mandat kepada presiden dan majlis kerja tertinggi (bahawa) kita boleh tarik diri dari (kerajaan) PN pada bila-bila masa jika mereka tidak ada indikator untuk mengadakan PRU dalam waktu terdekat.”

Zahid yakin apabila Umno keluar daripada kerajaan PN, pemimpinnya yang menjadi menteri dan yang memegang jawatan kanan lain dalam kerajaan akan mendukung keputusan berkenaan dan menarik diri.

“Kalau ini jadi keputusan mereka (perwakilan), saya yakin rakan kita dalam MKT yang (menjadi)…menteri, timbalan menteri, pengerusi GLC malah seluruh Ahli Parlimen akan akur keputusan parti (dan) akan tarik diri,” katanya ketika berucap pada penggulungan Perhimpunan Agung Umno 2020.

Bagaimanapun, Zahid membayangkan kemungkinan ada menteri Umno tertentu yang tidak mahu melepaskan jawatannya, komen yang dilihat ditujukan kepada Menteri Wilayah Persekutuan Annuar Musa.

“Jika ada dalam kalangan mereka yang telah seronok berada di bilik berhawa dingin, lihat dan harus tahu mereka yang berada di sana, termasuk seseorang yang tiada di pentas ini, jangan tikam belakang.

“Kalau anak jantan, harus letak jawatan sebagai menteri,” kata Zahid.

Beliau menyifatkan menteri berkenaan sebagai “makhluk perosak, kalau bukan kerana Umno, tidak ada dia dalam kementerian berkenaan.”

Beliau berkata pemimpin berkenaan tidak harus menjadikan kekayaan dan jawatan sebagai keutamaan dan sepatutnya sedar mereka tidak mungkin meraih kedudukan itu tanpa Umno.

“Bila (kekayaan) dan jawatan jadi kegilaan maksimum, mereka harus sedar tanpa perwakilan dan akar umbi Umno, kita tak akan merasa kedudukan sebagai menteri semula,” kata Zahid.

Terdahulu, Timbalan Presiden Mohamad Hasan berkata Umno harus menyahut desakan perwakilan untuk parti itu keluar daripada kerajaan Perikatan Nasional pada Ogos.

Beliau berkata Umno tidak harus dilihat berdolak-dalik selepas ia dipersetujui perwakilan.



No comments: