SELEPAS TUN FAISAL, KLUSTER MENTERI YANG DERHAKA PRESIDEN UMNO JUGA WAJIB DIAMBIL TINDAKAN

 

Mesyuarat MT UMNO malam tadi mengambil keputusan menggantung keahlian Tun Faisal Ismail Aziz selama enam tahun atau dua kali pemilihan atas kesalahan mengkritik Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi.

Tun Faisal adalah Timbalan Ketua UMNO Bahagian Putrajaya dan kini bertugas sebagai Setiausaha Akhbar kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa.

Annuar Musa juga didapati kerap melakukan tindakan mengkritik dan menyerang Presiden UMNO, baik melalui sidang media atau catatan di media sosialnya.

Keputusan MT menggantung keahlian Tun Faisal sehari sebelum menjelang PAU tidak lain adalah isyarat bahawa kepimpinan UMNO kini sedia bertindak tegas terhadap anasir yang cuba memecah-belah dan tidak menghormati institusi Presidennya sendiri.

Sesungguhnya dalam mana-mana organisasi pun, adab dan hormat kepada institusi Presiden itu harus ada, malah merupakan keutamaan.

Jika tidak hormat kepada ketua atau ketua boleh diperlekeh secara terbuka, parti akhirnya akan jadi kucar-kacur serta huru-hara.

Lagi pun, dalam era kepimpinan UMNO sebelum-sebelum ini, bukan sedikit mereka yang digantung dan dipecat keahlian hanya kerana mengkritik dan menyerang Presidennya.

Untuk itu, tindakan terhadap Tun Faisal ini bukan saja perkara biasa, malah sesuatu yang wajar dalam usaha UMNO memperkukuh kedudukannya menjelang PRU15 akan datang.

Bahkan, tidak setakat Tun Faisal saja sebenarnya, sesiapa yang lain juga yang kerap mengkritik Presiden secara terbuka, termasuk yang memegang jawatan menteri sekali pun, jika ada aduan, siasatan harus dijalankan dan kemudian mesti disusuli dengan tindakan yang sewajarnya.

Elemen derhaka kepada Presiden adalah penyakit yang perlu ditangani dan dibanteras oleh UMNO kalau ia serius mahu segala usaha ke arah kembali berkuasa dan memenangi PRU15 akan datang tidak tergendala di tengah jalan.

Lebih buruk lagi, sebahagian mereka yang mengkritik dan menderhakai Presiden UMNO sekarang ini turut menunjukkan kecendungan taksub kepada presiden parti lain semata-mata kerana pemimpin berkenaan memegang jawatan Perdana Menteri.

Mentang-mentanglah Presiden UMNO bukan Perdana Menteri, berdepan pula banyak kes mahkamah yang memungkinkannya lebih hampir ke penjara berbanding Bangunan Perdana Putra, maka dirinya seolah-olah tidak lagi dihormati.

Tetapi, selagi Zahid Hamidi adalah Presiden UMNO dan belum dijatuhkan hukuman oleh mahkamah, semua pemimpin dan ahli UMNO sepatutnya menghormati kedudukan beliau yang diperolehinya melalui pengundian dan tidak dipertikan keabsahannya.

Mahu mengkritik, menjatuhkan atau apa sekali pun terhadapnya, kenalah ikut cara yang betul dan jika mengikut cara yang tidak betul, maka bersedialah berdepan tindakan.

Dengan yang demikian, PAU yang bermula hari ini, selain bakal memuktamadkan putus hubungan dengan Bersatu, mengambil ketetapan untuk bertindak tegas kepada penderhaka, pengkhianat dan pembocor rahsia parti juga harus menjadi keutamaannya.

Bagi memastikan perjalanannya untuk kembali berkuasa tidak tergendala atau tersekat di tengah jalan, memecat atau menggantung mana-mana ahli, waima berjawatan menteri sekali pun, adalah kewajipan yang tidak dapat lagi dielakkan.

Apa lagi, mereka yang derhaka dan khianat itu, walaupun mereka ahli UMNO, terang-terang mahu mengekalkan lagi pemimpin daripada parti yang mahu ‘membunuh’ UMNO untuk dikekalkan lagi sebagai Perdana Menteri selepas PRU15 akan datang.

Ini tentu saja merupakan seburuk-buruk adab dalam berparti kerana sebelum ini mereka yang mengkritik Presiden tidak pernah pula ada ketaksuban kepada Presiden parti lain, cuma mereka hanya mahukan pemimpin UMNO lain saja dijadikan penggantinya.

Jadi, di mana tidak wajarnya golongan pengkhianat, musuh dalam selimut dan api dalam sekam dalam UMNO itu harus diambil tegas dengan segera?

 (Shahbudindotcom 28/03/2021)