PH Plus segera ambilalih kerajaan atau lebih banyak pengkhianatan
Pimpinan Pakatan Harapan (PH) Plus digesa segera mencari persepakatan bagi mempercepatkan langkah mengambilalih kerajaan persekutuan atau menghadapi lebih banyak pengkhianatan dan tindakan keluar parti.
Seruan itu disuarakan oleh Exco Armada Bersatu Nasional, Ustaz Abu Hafiz Salleh Hudin, yang menyifatkan siri mesyuarat tanpa titik noktah amat melelahkan dan membuat di bawah tawar hati.
“Reformasi institusi oleh PH di Putrajaya telah sedikit demi sedikit dirobek.
“Dan pimpinan PH Plus masih gagal mencari kata sepakat menyelamatkan Malaysia,” kata beliau melalui laman sosialnya.
Beliau berkata demikian mengulas tindakan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Selangor, Daroyah Alwi, yang juga Adun Sementa mengumumkan keluar dari PKR semalam.
Daroyah merupakan wakil rakyat terbaru yang dikaitkan dengan Mohamed Azmin Ali meninggalkan parti itu.
Kata Abu Hafiz, hal seperti ini akan terus akan berlaku selama mana pengambilalihan semula kerajaan mandat rakyat tidak dimuktamadkan secepat mungkin.
Tambahnya, ia tidak sahaja boleh berlaku pada PKR, tetapi ia boleh juga terjadi pada parti-parti lain termasuk AMANAH, DAP dan Bersatu.
“Saya sebagai pengundi N43-Sementa (P109-Kapar) dan mengundi calon PH/PKR, tindakan YB Daroyah adalah memalukan dan mengkhianati mandat 9 Mei 2018. Ia tidak boleh diterima.
“Nasihat saya buat pimpinan PH Plus. Segerakan kesepakatan kalian dan percepatkan langkah menyelamatkan Malaysia.
“Tolonglah…ia bukan berkenaan kalian. Ia masa depan kami anak muda dan Malaysia keseluruhannya,” kata beliau.