Banyak yang menulis tentang manhaj atau pendekatan yang diambil oleh Almarhum Tok Guru Nik Aziz di dalam memperkatakan soal kerjasama politik.
Di dalam kemelut menentukan siapa layak dipilih oleh PH untuk menjadi PM sekiranya kita berjaya merampas kembali kerajaan mandat rakyat ini dari puak pengkhianat, mereka mengambil contoh kebijaksanaan Almarhum Tok Guru Nik Aziz. Memang diakui, Almarhum bukan sahaja seorang ulamak tetapi seorang ahli politik yang pintar. Tidak semua ulamak bijak berpolitik, contohnya Hadi Awang atau Nik Amar, tentu sekali termasuk Mokhtar Senik.
Oleh kerana hebatnya Almarhum Tok Guru, maka di eranya parti Pas amat dikagumi dan dihormati. Tidak pernah berlaku sejak Pas tertubuh ramai kaum Cina dan India memakai baju berlogo bulan dan gambar Almarhum Tok Guru dan tidak segan lagi mereka mengibarkan bendera Pas. Ini berlaku di era Almarhum Tok Guru Nik Aziz yang mengajar erti persahabatan sesama insan ciptaan Tuhan.
Almarhum tangani isu hudud yang dimainkan oleh Umno dan disambut oleh beberapa pimpinan Dap dengan begitu bijak sekali. Ketegasan mendiang Karpal Singh di dalam soal hudud berjaya dilembutkan oleh Almarhum. Beliau tidak menghentam Dap jauh sekali melabel Dap anti Islam. Semakin banyak pimpinan Dap mempersoalkan isu2 berkaitan Islam, semakin dekat Almarhum dekati Dap. Itu cara Almarhum berpolitik. Kematiannya amat dirasai oleh pemimpin2 Dap dan pimpinan utama Dap turut hadir dihari Almarhum disemadikan.
Kebijaksanaan Almarhum ini cuba untuk dijadikan contoh oleh beberapa orang termasuk dari pimpinan politik. Mereka menyatakan, apa salahnya kita terima Tun M untuk menjadi PM kali ketiga asalkan PH dapat kembali ke Putrajaya? Mereka lupa untuk bertanya, apa salahnya untuk memilih Anwar sebagai PM asalkan PH kembali ke Putrajaya?
Isunya bukan kita tolak Tun M. Kebijaksanaan politik seperti Almarhum Tok Guru Nik Aziz itu telah pun kita lakukan seawal sebelum PRU14 lagi. Kita pilih Tun M sebagai calon PM dan kita letakkan di dalam manifesto PH. Alhamdulillah, kita menang berkat kebijaksanaan pimpinan PH ketika itu. Adakah kita tidak beri peluang kepada Tun M?
Sekali lagi, manhaj politik bijaksana Almarhum Tok Guru Nik Aziz juga digunakan oleh Anwar Ibrahim asalkan PH terus memerintah, apabila beliau sendiri membuat cadangan di dalam mesyuarat Majlis Presiden PH pada saat getir ketika itu, iaitu memberikan laluan kepada Tun M untuk terus menjadi PM sehingga selepas APEC dan terpulang kepada Tun M bila mahu berundur dan serahkan kepada beliau seperti perjanjian di dalam PH. Cadangan Anwar berupa tolak ansur yang amat bijak ini telah menggagalkan nawaitu jahat para pengkhianat terutamanya Azmin dan kumpulannya yang mahu PH berpecah pada mesyuarat tersebut. PH dan Anwar telah lakukan kesemuanya demi PH, demi mempertahankan mandat rakyat.
Apakah untuk kali ini setelah Tun M sendiri gagal bertindak bijak menangani kemelut yang dicipta oleh para pengkhianat itu maka Anwar sekali lagi mahu dipersalahkan dan diminta untuk mengikuti cara Almarhum Tok Guru Nik Aziz iaitu berikan peluang kepada Tun M menjadi PM, asalkan PH menjadi kerajaan? Kita lupa bahawa Tun M telah terlalu banyak mendapat manafaat dari sikap Anwar. Tun M sendiri secara gopoh meletakkan jawatan dari PM tanpa berbincang dengan Timbalannya Kak Wan, atau dengan Anwar bahkan tidak dibincang pun di dalam Majlis Presiden. Kegopohan Tun M ini memberi ruang besar untuk para pengkhianat masuk dan telah menjatuhkan kerajaan PH. Ini kesilapan Tun M paling besar dan beliau wajar minta maaf kepada rakyat.
Mungkin faktor usia menjadikan Tun M tidak lagi mampu berfikir untuk bertindak lebih bijak apabila berdepan dengan tekanan politik. Maklumlah, bila telah berumur sedemikian tentulah mudah terasa dan mudah merajuk. Dipujuk oleh Agong pun beliau tetap mahu meletak jawatan. Akhirnya kita dikhianati.
Benar, tanpa sokongan Tun M, kita tidak boleh mengambil semula Putrajaya. Begitu juga, tanpa sokongan Anwar kita tidak boleh kembali memerintah. Hak Tun M kita telah berikan iaitu hak dia sebagai PM. Kehendak Tun M juga kita telah turutkan iaitu beliau mahu jadi PM sehingga selesai APEC. ini telah pun Anwar lakukan kerana beliau berpegang kepada manhaj politik Almarhum Tok Guru Nik Aziz juga iaitu berunding dan bersabar.
Apakah Tun M hargainya? Setelah kerajaan PH tumbang, apa komen Tun M terhadap Anwar? Saya malas mahu ungkap semula apa yang Tun M perkatakan kepada Anwar walaupun setelah kerajaan PH tumbang kerana ianya pasti lebih menyakitkan hati kita semua. Sehingga sekarang, beberapa pimpinan dari penyokong Tun M yang menghentam Anwar kerana hingga kini Anwar belum putuskan untuk terima Tun M untuk kali ketiga menjadi PM.
Di dalam kita memperkatakan dan menasihati Anwar agar mengikuti manhaj politik Almarhum Tok Guru Nik Aziz, kita jangan lupa ingatkan Anwar tentang pesanan dari Almarhum juga iaitu *"Jangan masuk lubang ular dua kali"*. Almarhum sentiasa beringat tentang ini, sebab itu sampai beliau mati beliau tidak terima Umno bersama Pas kerana Umno pernah khianat Pas. Anwar juga perlu beringat. Kami di bawah akan patuh arahan pimpinan parti di dalam isu *"Siapa PM"* walaupun tidak seperti yang kami mahukan kerana sebagai ahli parti kami berhak menegur dan mengingatkan, tetapi kami juga perlu berdisiplin.
Semoga Allah beri taufik dan hidayah kepada semua pimpinan PH.
WFAUZDIN NS