Sebar Berita Palsu: 22 Individu Disiasat MCMC, Enam Ke TPR

 


Antara individu yang disiasat berhubung penyebaran berita palsu berkaitan krisis tenaga global menerusi kenyataan media MCMC pada 8 April 2026. Foto MCMC

CYBERJAYA, 8 Apr – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) membuka sebanyak 36 kertas siasatan berkaitan penyebaran berita palsu di media sosial dan media digital, melibatkan krisis tenaga global.

Menurut MCMC, seramai 22 individu dari pelbagai lokasi di seluruh negara telah dipanggil untuk rakaman percakapan bagi membantu siasatan.

“Sebanyak enam kertas siasatan telah dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya (TPR) bagi penelitian dan tindakan selanjutnya.

“Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588),” katanya dalam kenyataan hari ini.

MCMC menegaskan, pihaknya memandang serius sebarang penyalahgunaan platform media sosial dan media digital yang bertujuan untuk mengelirukan orang ramai dengan penyebaran maklumat palsu.

Tambahnya, tindakan tegas akan dikenakan terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang sedia ada.


No comments: