Malaysia Harap Gencatan Senjata Iran-AS Dapat Diterjemah Untuk Asia Barat – PM Anwar

 




Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Malaysia bersedia memberi sokongan dan melengkapi segala usaha bagi proses keamanan dan kestabilan di rantau Asia Barat menerusi pelan gencatan senjata itu. Foto X Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 8 Apr – Malaysia menyifatkan 10 perkara pelan gencatan senjata Amerika Syarikat (AS) dan Iran perlu diterjemahkan kepada satu perjanjian damai yang komprehensif untuk rantau Asia Barat termasuk Iraq, Lubnan dan Yaman.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata Malaysia bersedia memberi sokongan dan melengkapi segala usaha bagi proses keamanan dan kestabilan di rantau Asia Barat menerusi pelan gencatan senjata itu.

Beliau berkata, pelan perjanjian damai membabitkan 10 perkara itu adalah petanda baik bagi pemulihan keamanan dan kestabilan bukan sahaja di rantau terbabit malah untuk seluruh dunia.

Kenyataan media Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disiarkan pada 8 April 2026. Foto Facebook Anwar Ibrahim/Reuters

“Saya menyambut baik sepenuhnya perkembangan terbaru dalam konflik membabitkan AS dan Iran pada saat ini, khususnya berhubung pelan 10 perkara yang dicadangkan Iran dan diterima secara positif AS.

“Rundingan damai tidak akan membuahkan hasil sekiranya prosiding tersebut diselubungi dengan penipuan dan kepura-puraan.

“Adalah sangat mustahak untuk pelan 10 perkara ini diterjemahkan kepada satu perjanjian damai yang komprehensif, bukan sekadar untuk Iran, tetapi juga buat Iraq, Lubnan, dan Yaman,” katanya melalui kenyataan media, di sini.

Terdahulu, Presiden AS, Donald Trump mengumumkan penangguhan serangan ketenteraan ke atas Iran selama dua minggu.

Menurut Anadolu Ajansi, Trump dilaporkan bersetuju untuk menghentikan serangan yang dirancang, bergantung kepada Iran untuk membuka semula Selat Hormuz ‘sepenuhnya, serta-merta, dan selamat’, selepas perbualan dengan Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif dan Panglima Tentera Darat negara itu, Asim Munir.

Sepuluh perkara dalam pelan gencatan itu ialah jaminan bahawa Iran tidak akan diserang lagi, penamatan perang secara kekal, bukan sekadar gencatan senjata, penamatan serangan Israel di Lubnan dan penarikan semua sekatan AS ke atas Iran.

Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi berkata Iran setuju melaksanakan gencatan senjata serta membenarkan pembukaan Selat Hormuz secara bersyarat pada 7 April 2026.

Selain itu ia membabitkan penamatan semua konflik serantau terhadap sekutu Iran, sebagai balasan, Iran akan membuka Selat Hormuz, Iran akan mengenakan bayaran sebanyak AS$2 juta bagi setiap kapal melalui Selat Hormuz.

Perkara kelapan ialah Iran akan berkongsi hasil bayaran tersebut dengan Oman; Iran akan menetapkan peraturan bagi laluan selamat melalui Selat Hormuz dan Iran akan menggunakan hasil bayaran Selat Hormuz untuk pembinaan semula, bukan sebagai pampasan.

Pada masa sama, Anwar berkata, Malaysia juga menggesa komuniti antarabangsa untuk memastikan akses kemanusiaan tanpa sekatan kepada semua penduduk awam yang terkesan akibat peperangan itu.

Selain itu, katanya, menjadi tanggungjawab pihak berkenaan untuk memastikan berhentinya genosid dan rampasan hak rakyat Palestin, terutamanya di Gaza.

“Biarlah ini menjadi titik tolak ke arah keamanan yang abadi. Dunia tidak mampu lagi untuk berhadapan dengan sebarang kemungkinan selain daripada kedamaian,” katanya.

Perdana Menteri turut melahirkan penghargaan buat Shehbaz dan Pakistan atas diplomasi yang tanpa lelah dan berani dalam membantu mewujudkan perkembangan terbabit.

“Sekali lagi, saya merakamkan ucapan tahniah yang tulus dan penghargaan setinggi-tingginya kepada Pakistan dan Perdana Menteri (Shehbaz Sharif) atas diplomasi yang gigih dan berani dalam membantu mewujudkan detik ini.

“Kesediaan Pakistan untuk berbicara dengan semua pihak, tanpa rasa gentar atau pilih kasih, mencerminkan tradisi tertinggi solidariti Muslim dan tanggungjawab antarabangsa,” katanya.



No comments: