Krisis Tenaga Global: FAMA Sasar 2,399 Sesi ‘Jimat Dapur Rakyat’ Seluruh Negara

 



Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu (dua, kanan), meninjau jualan barangan keperluan pada majlis Program Sentuhan Agro MADANI di Dewan JAPERUN Bukit Katil, Melaka pada 4 April 2026. Foto FAMA

KUALA LUMPUR, 8 Apr – Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) hari ini mengumumkan pelaksanaan Pelan Intervensi Pembekalan dan Pemasaran Hasil Pertanian komprehensif bagi mendepani impak krisis tenaga global.

 

Melalui pelan itu, FAMA akan memperkasa pelaksanaan Jualan Agro MADANI (JAM) dengan memperluas inisiatif ‘Jimat Dapur Rakyat’ yang menyasarkan sebanyak 2,399 sesi di seluruh negara bermula April hingga September tahun ini.

“Pelaksanaan ini akan dijalankan secara berfasa, dengan Fasa 1 dari April hingga Mei melibatkan 872 sesi, manakala Fasa 2 dari Jun hingga September dipertingkatkan kepada 1,527 sesi,” menurut agensi itu dalam kenyataan hari ini.

Program berkenaan turut akan dilaksanakan secara berterusan di premis seliaan FAMA termasuk Agrobazaar FAMA, Pusat Operasi FAMA dan lokasi strategik lain.

Menurut FAMA, melalui inisiatif Jualan Kombo MADANI dan jualan promosi itu, kumpulan sasar bakal menikmati potongan harga antara 10 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran tempatan, sekali gus bertindak sebagai mekanisme perlindungan kepada pengguna daripada kesan kenaikan kos sara hidup.

Selain itu, FAMA memaklumkan bahawa langkah itu selari dengan usaha Kerajaan MADANI dalam memastikan kestabilan rantaian bekalan makanan serta akses barangan asas kepada rakyat pada harga rendah di seluruh negara.

“FAMA komited untuk terus memainkan peranan sebagai pemudah cara melalui kerjasama erat dengan pengeluar, pemborong dan peruncit, bagi menjamin keterjaminan makanan negara, selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI untuk membina sistem makanan lebih berdaya tahan dalam menghadapi sebarang krisis global pada masa hadapan,” menurut kenyataan itu.



No comments: