AS tangguh serangan 2 minggu, sedia bincang 10 cadangan Iran


 


 

Donald Trump menangguhkan serangan Amerika Syarikat (AS) ke atas Iran selama tempoh dua minggu ketika Presiden AS itu terus mendesak pembukaan semula Selat Hormuz iaitu laluan penting untuk penghantaran minyaK.

Menurut kenyataan terbaharu, keputusan itu dibuat susulan penerimaan cadangan 10 perkara daripada Iran yang disifatkan Trump sebagai “boleh dilaksanakan” dan berpotensi menjadi asas kepada perjanjian damai jangka panjang.

Trump berkata, tempoh dua minggu itu akan digunakan bagi memuktamadkan serta memeterai perjanjian antara pihak-pihak terlibat.

Pengumuman yang disiarkan menerusi platform XThe White House itu dibuat kurang sejam sebelum tarikh akhir serangan yang sebelum ini ditetapkan oleh Trump.

Pemimpin Republikan berkenaan bersetuju untuk “menangguhkan pengeboman dan serangan ke atas Iran selama dua minggu”, sekali gus meredakan ketegangan yang semakin memuncak di rantau Asia Barat.

Dalam masa sama, Trump mendakwa Iran bersetuju untuk membuka semula Selat Hormuz secara “lengkap, segera dan selamat” serta menyebut bahawa gencatan senjata yang dicapai adalah bersifat “dua hala”.

Namun, dia tidak memperincikan penglibatan Israel, yang sebelum ini turut melancarkan serangan ke atas Iran dan Lubnan.

Trump turut optimis bahawa krisis yang berlarutan sejak serangan pertama AS-Israel pada 28 Februari lalu kini “hampir mencapai penyelesaian jangka panjang”.

Jenayah perang

Serangan AS ke atas Iran dilihat sebagai jenayah perang apabila sekolah, bangunan kediaman serta hospital menjadi sasaran serangan.

Lebih 53 hospital telah musnah di Iran sejak bermulanya serangan bersama AS-Israel selain mengorbankan lebih 3,500 orang termasuk Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khamenei, manakala lebih 10,000 lagi cedera.

Iran bagaimanapun tidak berdiam diri apabila berterusan melancarkan gelombang serangan peluru berpandu dan dron yang menyasarkan pangkalan serta aset Israel dan AS di Asia Barat, selain mengenakan kawalan ketat di Selat Hormuz.

Dalam gelombang ke-98 serangan Iran terhadap sasaran Israel dan AS kelmarin, Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) negara itu memberitahu telah menyasarkan sebuah kapal kontena milik Israel dan sebuah kapal serangan AS.

Menurut IRGC, kapal kontena terbabit terkena bedilan tepat peluru berpandu krus lalu terbakar.

Sementara itu, kapal serangan amfibia AS, USS Tripoli (LHA-7), yang membawa lebih 5,000 anggota tentera, terpaksa berundur ke selatan Lautan Hindi selepas menjadi sasaran.



No comments: