PN umum calon PRK DUN Ayer Kuning selepas 20 Mac

 



Perikatan Nasional (PN) hanya akan membincangkan calon blok itu pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning pada minggu depan.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, senarai panjang calon sudah diterima melibatkan setiap sayap parti untuk diteliti.

“Setakat ini, banyak calon dikemukakan dan belum disenarai pendekkan nama calon berkenaan. Belum ada lagi.


“Tak muktamad lagi dan akan dibincangkan pada 20 Mac. Keputusan nama calon akan dibuat selepas tarikh berkenaan,” katanya selepas Majlis Pelancaran Jentera PRK DUN Ayer Kuning PN di Padang Awam Tapah Road, malam tadi.


Pada 11 Mac lalu, Pas dilapor sudah menghantar lebih empat calon bertanding dengan kesemuanya berusia kurang 50 tahun.

Sementara itu, Pemuda UMNO telah menyerahkan calon tunggal kepada pucuk pimpinan tertinggi parti tersebut bagi mewakili Barisan Nasional (BN) dalam PRK yang ditetapkan pada 26 April depan.


PRK DUN Ayer Kuning diadakan selepas penyandangnya, Allahyarham Ishsam Shahruddin, 59, pada 23 Februari lalu akibat serangan jantung (acute coronary syndrome).


Dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), Ishsam memperoleh 9,088 undi dan memenangi kerusi DUN Ayer Kuning dengan majoriti 2,213 undi.


Beliau menewaskan empat calon lain iaitu Mohd Nazri Hashim dari Pakatan Harapan (PH) yang memperoleh 6,875 undi; Muhammad Noor Farid Zainal dari PN (6,812 undi) serta K Bawani dari Parti Sosialis Malaysia (PSM) dan Maziah Salim dari Parti Pejuang Tanah Air (GTA) masing-masing hanya mendapat 586 dan 105 undi.




No comments: