Orang ramai mempertahankan tindakan Menteri Wilayah Persekutuan, Dr Zaliha Mustafa yang menghapuskan kegiatan orang tengah dari mengaut keuntungan melalui sewa tapak bazar Ramadan.
Dr Zaliha ketika ditemui media baru-baru ini ditanya mengenai dakwaan bahawa beliau gagal mengurus bazar Ramadan.
Beliau membalas kembali dengan bertanya adakah tindakannya mengurangkan caj sewa daripada ribuan ringgit kepada RM500 adalah satu kegagalan.
Menurut Dr Zaliha, pendekatan baharu yang diperkenalkan telah mendapat maklum balas positif daripada kebanyakan peniaga, sekali gus menepis dakwaan bahawa pengurusan bazar tahun ini lemah.
Kenyataan beliau itu dipersetujui ramai pihak yang menyifatkan kritikan terhadap menteri dan DBKL ketika ini disebabkan ada kartel tidak dapat cari makan dengan “duit tepi”.
“Dulu aku berniaga dekat Uptown Danau Kota. Dulu sebulan RM1,500. Kalau bulan Ramadan bayar double jadi RM3,000.
“Bayar dekat ayahanda-ayahanda musibat dekat situ. Bila DBKL ambil alih, meroyan cakap Melayu kena tindas lah periuk nasi kena tutup lah,” ciap @HarithHmzh.
Seorang lagi individu yang juga seorang peniaga bazar Ramadan, @muhammadafique pula berkata, seumur hidupnya dia tidak menyangka boleh berniaga bazar disebabkan harga tapak yang melampau.
Namun kini dia bersyukur dan mengucapkan terima kasih kepada menteri dan kerajaan atas usaha membanteras penglibatan orang tengah dalam isu tapak bazar Ramadan.
“Tak pernah seumur hidup aku terfikir boleh meniaga kat bazar di bawah DBKL. Dulu kalau nak mohon, kena lalu persatuan, nak kena kenal orang dalam. Kalau kenal ayahanda, dapat la harga RM1,500. Kalau kenal adik ayahanda, dapat RM2,000. Kau tak ada connection (kenalan dalam)? Jangan harap boleh dapat.
“Lepas DBKL ambil alih tapak, sistem telus, straightforward. Hiccup sikit-sikit tu ada lah sebab baru pertama kali. Tapi Alhamdulillah, dari tak pernah terfikir, tahun ni dapat join bazar Wangsa Maju. Terima kasih menteri & DBKL,” ujarnya.
Terdahulu, harga petak bazar Ramadan yang mencecah ribuan ringgit dan kegiatan sewa atas sewa menyebabkan DBKL membuat keputusan mengendalikan sendiri bazar Ramadan tahun ini.
Ia selepas kerajaan menerima banyak aduan mengenai harga sewaan petak bazar Ramadan di ibu kota yang mencecah ribuan ringgit.
Di bawah pengurusan DBKL, peniaga hanya perlu membayar tapak sebanyak RM500 sahaja.
Manakala bazar Aidilfitri pula yang melibatkan penjualan pakaian dan barangan lain, caj yang dikenakan adalah sebanyak RM700, dengan peniaga perlu membayar deposit sebanyak RM2,000.
No comments:
Post a Comment