LRA Bukit Selambau: Sanusi selesaikan isu air, henti beri alasan




 

Oleh: Abdullah Zaid



Masalah bekalan air yang membelenggu rakyat Kedah terus menemui jalan buntu ekoran kelewatan syarikat Kerajaan Negeri menyiapkan projek Loji Rawatan Air (LRA) Bukit Selambau yang seharusnya selesai pada tahun lalu.



Malah, lebih mendukacitakan ‘projek sakit’ itu masih tidak diketahui bila akan diselesaikan susulan kenyatan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor mendakwa kelewatan menyiapkan LRA tersebut kerana kenaikan kos bahan binaan.



Sehubungan itu, Ahli Parlimen Sungai Petani, Dr Taufiq Johari mengingatkan pemimpin nombor satu Kedah itu untuk tidak terus memberi pelbagai alasan, sebaliknya mencari jalan menyelesaikan projek seberapa segera yang boleh.



"Sanusi sudah bertahun menjadi Menteri Besar dan isu bekalan air telah lama berlaku, beliau tidak sepatutnya terus memberi alasan sebaliknya perlu adakan perbincangan segera menyelesaikan masalah ini.



"Jangan bila Menteri turun padang baru hendak beri respon," katanya kepada Suara Keadilan.



Untuk rekod, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Guna Daya Awam, Akmal Nasrullah Mohd Nasir mempersoal punca kelewatan LRA itu minggu lalu dengan dengan membandingkan Projek LRA Layang 2 di Johor.



Katanya, kedua dua projek tersebut mempunyai persamaan garis masa sama dibina tetapi LRA Layang sudah siap sepenuhnya.



Susulan itu, Taufiq berkata, musim kemarau bakal melanda awal Mac nanti sememangnya akan memberi kesan buruk kepada rakyat Kedah berdepan krisis bekalan air bersih ketika ini.



"Rakyat menjadi mangsa menghadap musim kemarau, puasa dan hari raya, ia sudah tentu menjadi igauan mimpi buruk masyarakat Kedah



"Bayangkan anak-anak yang pulang dari perantaun balik untuk beraya dan berbuka dengan air yang masih tidak ada. Sudah tentu menjadi suatu masalah buat mereka.



"Oleh itu, saya menyeru Kerajaan Negeri selesaikan segera isu air ini supaya rakyat Kedah tidak menjadi mangsa," ujarnya lagi.

 

No comments: