MAKSUD TA'ZIR

 

Abu Miskhat


Maksud Ta'zir: Jawapan dan soalan kepada Dato Hj. Muhamad Asri Abdullah, Mantan Ketua Hakim Syar'ie Negeri Perak dan Hakim Rayuan Syariah JKSM






Assalamualaikum Dato', 

Tahniah dan terima kasih atas tulisan pencerahan Dato. 


Namun saya masih merasa gelap atau samar2 tentang huraian Dato pada para no. 2. MEMAHAMI PERKATAAN JENAYAH. 


Dato ada menyatakan bahawa fahaman ahli perundangan sivil bahawa kesalahan-kesalahan jenayah yang ujud di Mahkamah Awam / Sivil juga hukum ta'zir sebagai tidak tepat. 


Dato menyatakan tafsiran jenayah di Mahkamah Awam tidak termasuk jenayah syariah yang disebut hudud, qisas dan ta'zir. 


Dengan hormat, saya mohon berbeza pendapat dengan Dato. 


Hujah Dato bahawa penghakiman jenayah dalam undang-undang sivil tidak boleh dianggap ta'zir ialah kewujudan beberapa kesalahan dalam sivil (Penal Code) yang bercanggah dengan hukum syarak. Contoh yang Dato berikan ialah judi, minum arak dan zina. 


Pada pandangan saya, hukuman kesalahan judi, minum arak dan zina itu berbeza di antara sivil dan syariah kerana undang-undang sivil dibuat untuk mengawal semua rakyat, sama ada yang beragama Islam atau tidak. 


Undang-undang sivil dibuat bersesuaian dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, Perkara 5 Kebebasan Diri (4) "... Dan dengan syarat selanjutnya bahawa dalam hal penangkapan bagi sesuatu kesalahan yang bileh dibicarakan oleh Mahkamah Syariah, sebutan-sebutan dalam Fasal ini mengenai seorang majistret hendaklah ditafsirkan sebagai termasuk sebutan-sebutan Syariah. "


Jika kesalahan-kesalahan yang Dato sebutkan itu (judi, minum arak dan zina) tidak dibezakan kesalahannya di antara pelaku orang Islam dan orang bukan Islam, maka sudah tentu penangkapan ke atas orang bukan Islam menjadi satu percanggahan dengan Perkara 5(4) Perlembagaan Persekutuan.


Oleh sebab itu, undang-undang sivil menjenayahkan judi tanpa lesen, mabuk arak ketika memandu dan zina paksa (rogol) supaya orang bukan Islam yang tidak percaya kepada dosa judi, mabuk dan zina juga diikat dengan peraturan dalam bentuk hukuman ta'zir. 


Walaupun ia Dato sifatkan sebagai bercanggah dengan Hukum Syarak, ia tetap sah dinamakan ta'zir, iaitu hukuman untuk mencegah perbuatan judi secara berleluasa tanpa kawalan pelesenan, mabuk arak yang boleh mencederakan diri dan orang lain dan kezaliman ke atas mangsa rogol.  (Definisi ta'zir oleh Syeikh Abdul Qadir Awdah dalam kitabnya al-Tasyri' al-Jina-i al-Islami Muqaranan bi al-Qanun al-Wadh'ie saya sertakan di bawah) 


Untuk orang Islam, Perlembagaan Persekutuan telah membenarkan undang-undang syariah dikuatkuasakan melalui kuasa DUN dalam Senarai Negeri. 


Menghairankan juga, kewajaran Dato membawa contoh judi, minum arak dan zina di atas premis perbincangan 16 seksyen EJSK 2019 yang dibatalkan, sedangkan kesalahan-kesalahan berkaitan 3 perkara itu masih kekal tidak terusik. 


Mungkinkah kesilapan contoh yang Dato bawa jni menyebabkan berlakunya parodi lawak salah yang dibuat DD Chronicle itu?


Nota: Pautan tulisan Dato Muhamad Asri Abdullah di bahagian komen di bawah.



No comments: