KE HADAPAN ANWAR YANG SUDAH ADA KUASA, SEELOKNYA BERHENTILAH MENGULANG-ULANG CERITA RASUAH GOLONGAN KAYA

 

Anwar Ibrahim sekarang ini sudah memegang jawatan Perdana Menteri sekitar 15 bulan lamanya dan dalam tempoh berkenaan, rasa-rasanya tidak kurang 30 kali beliau mengulang-ulang cerita tentang rasuah golongan kaya yang sedang dlgiat mahu diperanginya.

Ertinya, dalam sebulan, sekurang-kutangnya dua kali beliau bercakap mengenainya.

Ketika PRN enam negeri lalu dan PRK di beberapa kawasan sebelum ini, pantang jumpa mikrofon, isu rasuah golongan kaya yang selalu dinaik-tarafnya sebagai golongan maha kaya itulah yang hampir tidak pernah terlepas daripada disentuhnya.

Saya ada seorang kawan yang begitu gemar makan nasi kandar atau nasi daun pisang dan sekurang-kurangnya sebulan sekali, beliau wajib menikmati salah satu daripada makanan kegemarannya itu.

Kalau disamakan dengan tempoh 15 bulan Anwar jadi Perdana Menteri, bermakna 15 kali atau mungkin 20 kali jugalah kawan saya itu makan nasi kandar atau nasi daun pisang.

Mafhum yang mudah difahami di sini, kekerapan Anwar mengulang-ulang cerita rasuah golongan maha kaya adalah sekali ganda melebihi daripada kekerapan kawan saya berulang-alik menikmati nasi kandar atau nasi daun pisang yang digemarinya itu.

Kata orang Indonesia, luar biasa ini Pak!!

Soalnya, wajarkah Anwar terlalu kerap mengulang-ulang cerita yang sama berkali-kali?

Semalam ketika berucap di Pulau Pinang, sekali lagi Anwar menyentuh itu tersebut.

Ini barangkali sudah kali yang ke-31.

Jika sebelum itu beliau selalu menggelar mereka sebagai golongan kaya dan maha kaya, kali ini ini label itu dinaikkan lagi kepada golongan yang tidak boleh disentuh yang didakwanya menggelapkan wang dalam jumlah yang besar tetapi sentiasa dapat mengelak daripada hukuman kerana berpengaruh.

Anwar seterusnya berkata, usaha kerajaan memerangi rasuah bukan kerana dendam lama tetapi kerana mahu membebaskan negara daripada gejala rasuah.

“Saya sudah beritahu…hang Datuk Seri ka, Tan Sri ka, hang Tun ka… hang baik kita salute (hormat), hang rompak kita tangkap, sumbat dalam penjara.

“Bilik saya di Sungai Buloh masih ada, (masih) kosong,” katanya lagi.

Rasanya ucapan sebegini bukan saja tidak perlu, tetapi juga sudah melebihi sempadan yang sepatutnya bagi seorang Perdana Menteri.

Anwar harus sedar, beliau kini adalah Perdana Menteri dan semua kuasa ketika ini sedang terhimpun dalam lingkungan kehendak serta keinginannnya.

Beliau petik jari saja, semua urusan pasti segera berjalan pantas.

Dengan demikian, setelah ada kuasa dalam tangan seperti sekarang, tidak manis lagi bercakap seolah-olah rindu atau kepingin kembali jadi Ketua Pembangkang.

Dengan kuasa yang ada, apa yang perlu dilakukan ialah memastikan semua usaha yang dilakukan, baik memerangi rasuah, membebaskan negara daripada rasuah dan menangkap golongan pendurjana kepada negara, benar-benar membuahkan hasilnya.

Begitu juga gembar-gembar mahu mengembalikan kekayaan yang dicuri itu kepada khazanah negara semula, ia juga mesti dipastikan ada kejayaannya.

Setelah kuasa dalam genggaman, kuasa suara tidak perlu ditonjolkan lagi dan kadang-kadang ketika diam atau tidur pun, kuasa itu boleh digerakkan.

Lagi pun, dalam kes rasuah melibatkan golongan kaya yang pernah berkuasa sebagaimana selalu disebut Anwar itu, sebahagian tindakan sudah diambil dan sebahagian lagi sedang berjalan, sama ada dalam bentuk penyiasatan atau pendakwaan.

Jadi, kenapa masih mahu mengulang-ulang dengan nyaring lagi ke telinga rakyat?

Bukankah lebih baik diserahkan sepenuhnya kepada SPRM menjalankan kerja mereka?

Mengulang-ulang terlalu kerap, bahkan sampai menyebut bilik penjara yang pernah didiaminya di Penjara Sungai Buloh masih kosong, selain Anwar sebagai Perdana Menteri seperti cuba mendahului mahkamah, bahkan secara tidak langsung memercikkan dendam lama yang masih terlihat tebal dalam jiwanya.

Kalau Anwar selalu menyebut beliau tidak campur tangan urusan SPRM dan tidak juga mempunyai dendam lama, tak usahlah diulang-ulang lagi menyebut perkara yang sama, lebih tidak patut hingga ke soal penjara pun mahu disebut secara terbuka.

Kalau ketua cabang dan ketua ranting yang bercakap sedemikian rupa dalam ceramah kempen pilihanraya, ia barangkali boleh lagi diterima, tetapi amat tidak sesuai bagi seorang Perdana Menteri mengucapkannya.

Meski setakat ini rakyat suka dan memberi sokongan atas usaha Anwar memerangi rasuah yang dilakukan sejak awal lagi, tetapi apa yang mahu dilihat selepas ini ialah hasilnya, di samping dalam tempoh menanti hasil itu, lebih banyak usaha meringankan beban hidup dan memakmurkan poket rakyat terus diperhebatkan.

Lebih baik dibanyakkan cakap tentang usaha memulihkan ekonomi, melegakan ringgit, menambah pelaburan serta peluang pekerjaan dan lain-lain hal yang mampu menjadikan kehidupan rakyat bertambah selesa.

Isu rasuah golongan kaya, kelompok maha kaya, golongn tak boleh disentuh, Tun, Tan Sri dan sebagainya elok diserahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa tanpa diulang-ulang retorik yang lebih bertujuan menyedapkan halwa telinga semata-mata.

Diulang-ulang pun harga beras madani tidak juga turun harga.

Jangan sekadar mengulang-ulang cerita rasuah golongan kaya itu, takut nanti sampai tarikh PRU16 pun masih tiada harta, tiada kekayaan dan tiada wang yang mereka miliki itu dapat dikembalikan semula kepada khazanah negara, walau dalam teriakan di atas pentas selalu digambar ia sebagai hasil rompakan kekayaan negara.

Jika sampai begitu, sudah tentu bilik penjara yang pernah didiami Anwar akan terus kosong tanpa berpenghuni.

Cuba renung sejenak, kalau itu keadaannya, masih mampukah Anwar dengan peluang berkuasa sebagai Perdana Menteri sudah diberikan, terus mendapat sokongan rakyat pada PRU16 akan datang? – ShahbudinHusin 17/02/2024.