RUU 355 gagal dibentang Pas, bakal dibentang Kerajaan Perpaduan tahun ini


 

Rang Undang-undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (RUU 355) yang menjadi bahan polemik politik parti pembangkang Pas kerana cuba dibentang melalui usul persendirian oleh Ahli Parlimen Marang, Hj Hadi Awang namun tidak diusik langsung sepanjang parti itu berkuasa pada 2020 - 2022 akan dibentangkan oleh Kerajaan Perpaduan pada tahun ini.



Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar, sesi libat urus meminda RUU itu kini di peringkat akhir dan laporannya akan dibawa ke Kabinet sebelum dibentangkan di Parlimen.



"Setakat ini libat urus yang dilakukan telah berjalan, dan semua negeri termasuk Majlis Agama Islam Negeri, Mahkamah Syariah Negeri dan Jabatan Agama Islam Negeri telah dijemput menghadiri sesi libat urus tersebut.



"Saya difahamkan oleh Ketua Pengarah JAKIM Datuk Hakimah Mohd Yusoff bahawa libat urus itu di peringkat akhir, jadi laporan belum lagi disediakan dan mereka akan sediakan laporan libat urus itu kepada saya," katanya dipetik Bernama.



Beiau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran Karnival Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) 2024 yang dilakukan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di ibu negara, pagi tadi.



Pihak Pas sebelum ini mempersoalkan kenapa RUU 355 tidak diteruskan bagi menambah hukuman jenayah syariah agar hukum takzirnya menyamai hukuman di Mahkamah Sivil.



Sebelum ini, kertas cadangan RUU itu sudah berada di peringkat Jabatan Peguam Negara namun tidak sempat dibentangkan berikutan Parlimen dibubarkan pada 10 Oktober 2022.

 

No comments: