Vaksin segera anggota badan kehakiman, kata bekas timbalan menteri

 


 FMT Reporters -May 24, 2021

Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh berkata, anggota badan kehakiman harus diberikan layanan sama rata seperti badan eksekutif dan perundangan.

PETALING JAYA: Anggota badan kehakiman perlu divaksin segera dalam fasa ke-2 Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan, kata Ahli Parlimen Segambut Hannah Yeoh.

Mengakui bahawa kedua-dua cabang eksekutif dan perundangan kerajaan telah divaksin di bawah fasa pertama program itu, melainkan badan kehakiman, bekas timbalan menteri itu berkata, ketiga-tiga badan itu seharusnya diberi layanan sama rata dan adil.

Beliau berkata, sewaktu kesemua anggota badan perundangan telah divaksin walaupun Parlimen tidak bersidang, anggota badan kehakiman “ketinggalan” walaupun mahkamah terus dibuka.

“Badan kehakiman merupakan tempat rakyat Malaysia mendapatkan keadilan dan pembelaan,” katanya dalam kenyataan.

“Kita perlu memastikan akses orang ramai kepada keadilan tidak terganggu. Justeru hakim, majistret dan kakitangan mahkamah perlu divaksin dengan segera di bawah fasa ke-2.

“Mereka adalah petugas barisan hadapan yang menjalankan keadilan. Kita tidak boleh membenarkan roda keadilan terhenti atau terhalang dengan apa-apa cara sekalipun. Keadilan yang tertangguh adalah keadilan yang dinafikan.”

Fasa ke-2 program imunisasi negara yang bermula bulan lepas akan berakhir pada Ogos depan. Ia melibatkan kira-kira 9.4 juta individu seperti warga emas, kumpulan berisiko tinggi dan orang kelainan upaya (OKU).

Fasa pertama yang berjalan dari Februari hingga April menyaksikan 428,710 individu divaksin, termasuk Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta petugas barisan hadapan seperti pekerja penjagaan kesihatan, pertahanan, keselamatan serta perkhidmatan perlu lain.

 


No comments: