PENGAKUAN BODOH BERMAKNA MAHIADDIN TIDAK BOLEH DISANDARKAN APA-APA HARAPAN LAGI

 

Selepas kerajaan PN pimpinannya ditanggapi sebagai #kerajaanbodoh oleh wargamaya berhubung SOP PKP yang celaru dan mengelirukan, Mahiaddin Md Yasin semalam dengan terbuka mengakui beliau tak kisah dianggap bodoh oleh rakyat.

“Bolehlah nak salahkan kerajaan, marah Perdana Menteri pun tak apalah, saya terimalah.

“Rakyat kata: ‘Apa bodoh Perdana Menteri’, tak apa…,” katanya dalam program bual bicara yang disiarkan melalui TV.

Rasanya inilah pertama kali dan satu-satunya Perdana Menteri negara kita yang tak kisah dianggap bodoh oleh rakyatnya sendiri.

Biasanya, jika seseorang pemimpin itu dikecam, diserang dan dipertikai oleh rakyat, lebih-lebih lagi sampai ke tahap kerajaan pimpinannya dianggap sebagai #kerajaanbodoh, mereka pasti akan bingkas memberi penjelasan untuk menangkis atau menjawab segala dakwaan yang dilemparkan itu.

Lagi pun, memang itulah peranan pemimpin, memberi penjelasan yang meyakinkan kepada rakyat terhadap apa juga isu yang berbangkit.

Sebab itu, seseorang pemimpin tidak boleh jadi diam, bisu dan bersembunyi di bilik pejabatnya saja.

Pemimpin mesti sentiasa keluar ke khalayak, tidak takut berjumpa sesiapa saja, jauh sekali bersikap gentar unruk berdepan soalan wartawan dan lensa kamera.

Pengakuan Mahiaddin yang tidak kisah dirinya dianggap bodoh adalah tanda beliau sudah mengalah, satu sifat yang tidak seharusnya ada pada seorang Perdana Menteri.

Perdana Menteri yang dengan mudah mengalah kepada tekanan rakyat adalah Perdana Menteri yang sudah kalah.

Tambahan lagi kalau sudah mengaku tak kisah dianggap bodoh, apa lagi yang boleh rakyat sandarkan harapan kepadanya?

Bolehkah kita meletakkan harapan dan masa depan kita kepada orang yang mengakui dianya tak kisah dianggap bodoh?

Sudah tentu hanya orang bodoh saja yang sanggup terus berketuakan orang yang tak kisah dianggap bodoh.

Rakyat yang cerdik dan pandai tidak mungkin mahu berketuakan orang mengakui dirinya bodoh sebagai ketua mereka.

Lebih-lebih lagi, dalam wawancara yang sama, Mahiaddin juga mengakui beliau tidak mampu menjaga keseluruhan 32 juta rakyat negara ini.

Aikkk…kalau bukan menjaga rakyat, apa lagi kerja seorang Perdana Menteri?

Apa guna ada kuasa, ada kabinet, ada kementerian, ada beratus jabatan, ada menteri, timbalan menteri, kewangan negara dan segala macam lainnya jika bukan untuk menjaga 32 juta rakyat negara ini?

Sekali lagi, pengakuan tidak mampu menjaga 32 juta rakyat ini, selain sikapnya tak kisah dianggap bodoh, ia dengan sendirinya bermakna Mahiaddin telah meletakkan dirinya bukan lagi sebagai pilihan di hati rakyat untuk terus memegang jawatan Perdana Menteri selepas ini.

Sudah sampai masanya rakyat harus mencari pemimpin lain yang tidak bodoh untuk memimpin, sekaligus mampu menjaga 32 juta rakyat Malaysia ini sebagai Perdana Menteri akan datang.Bodoh sangatlah kita jika terus memilihnya lagi mentadbir negara ini .  

(ShahbudinHusin 24/05/2021)